hati

Kentang, lemon rawat jeragat

Oleh Siti Zarinah Sahib

JIKA ditanya kepada kaum wanita, apakah perkara paling dibimbangi mengenai kecantikan pasti jawapannya jeragat serta bintik hitam pada muka. Walaupun bintik hitam tidak berbahaya tetapi ia menyebabkan penampilan menjadi kurang menarik. Situasi ini tentunya menjadikan wanita berasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang ramai.

Secara amnya bintik hitam atau jeragat terjadi apabila wanita terlalu lama atau kerap membiarkan kulit dimamah pancaran matahari. Tanpa mengenakan sebarang krim perlindungan, kesan pancaran ultra ungu akan menyebabkan kulit menjadi lebih teruk dan ia mengambil masa untuk dirawat.

Jeragat misalnya memerlukan rawatan khas oleh pakar kecantikan menerusi beberapa sesi. Selain kos yang semakin bertambah wajah yang mula ditutupi jeragat kurang menyerlah walaupun selepas memakai alat solek.

Perkara ini turut diakui Noor Hafizah Mohd Shah mengenai jeragat yang menghantui wanita sekiranya tidak dijaga sejak awal usia. Selain memastikan wanita mempunyai rejim penjagaan sempurna seperti membersih, menyegar dan melembap, memakai serum juga dapat melindungi kulit daripada jeragat selain krim pelindung matahari untuk mereka yang banyak melakukan aktiviti di luar rumah.

Dia yang aktif berkongsi amalan penjagaan wajah menggunakan bahan semula jadi menerusi Facebook, Fyza Shah menjelaskan memang ada bahan semula jadi yang mampu merawat masalah ini.

“Saya menggunakan dua bahan utama iaitu lemon dan kentang yang bagus untuk merawat jeragat. Kentang mengandungi enzim unik, katekolase untuk merangsang kulit menjadi lebih sihat dengan cara mengurangkan perubahan warna daripada terus menjadi gelap,” katanya.

Ujarnya lagi, vitamin A, B, C dan E dalam kentang akan melambatkan penuaan pada wajah, seterusnya mengelak kehadiran bintik penuaan dan pigmentasi.

Kentang adalah bahan berkanji yang sifatnya mencerahkan kulit, melawan proses cepat tua daripada usia. Ia turut menambah kilauan kulit lebih cantik dan semula jadi.

Lemon pula adalah sejenis tumbuhan serba guna bersifat mencerahkan kulit secara berganda. Ini kerana kandungan antioksidan yang sangat tinggi dan vitamin C mampu menghentikan penghasilan melanin, menutup pori dan melawan jerawat.

Malah mereka yang memiliki jerawat tebal juga boleh mencuba merawat wajah menggunakan lemon. Ramai yang mencuba memberi maklum balas positif dan gembira melihat keadaan kulit mereka selepas menggunakan sapuan lemon. Jerawat mula mengecut dan kering selepas beberapa hari.

Jelas Noor Hafizah, apabila dua bahan alami ini digabungkan kedua-duanya bersifat mencerah dengan selamat tanpa rasa pedih dan menggelupas. Bintik hitam, jeragat dan parut jerawat akan lebih mudah menjadi pudar dan seterusnya hilang.

“Apa yang penting untuk hasil terbaik, wanita perlu mengamalkannya secara konsisten setiap hari. Mereka juga harus tahu cara merawat kulit supaya dapat mengekalkan kecantikan seterusnya mencapai matlamat kulit sihat,” katanya.

MASKER KENTANG DAN LEMON

Bahan-bahan:

- 1 biji ubi kentang

- 1 biji lemon

1. KENTANG dibuang kulit dan dipotong dadu.

2. REBUS kentang sehingga empuk.

3. MASUKKAN kentang ke dalam pengisar bersama campuran air lemon. Kisar sehingga halus.

4. BAHAN pupur kentang lemon yang siap dikisar.

5. HASILNYA seperti dadih.

6. SAPU ke seluruh wajah dan biarkan selama 20 minit. Alami aroma segar lemon dan biarkan ia meresap ke dalam wajah anda. Selepas itu basuh wajah dengan air biasa. Lakukan setiap hari agar bintik hitam dan jeragat semakin pudar dan terus hilang.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 4:30am
d