hati

Lelaki kasar, wanita lembut

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

DUNIA kanak-kanak penuh warna-warni, kebanyakan daripada mereka tentu saja mempunyai kecenderungan menyukai sesuatu permainan atau tingkah laku tersendiri mengikut jantinanya. Kanak-kanak lelaki sukakan permainan kereta, lori, pedang, topeng, dinosaur dan sesuatu bersifat lasak manakala yang perempuan suka bermain anak patung, pondok-pondok, bersolek dan apa juga menunjukkan sikap kasih sayang serta kelembutan.

Ada segelintir ibu bapa atau penjaga yang bimbang apabila mendapati si anak seolah-olah keterlaluan dengan jantinanya seperti berkelakuan terlalu ganas atau sangat feminin untuk yang perempuan.

Hakikatnya, tingkah laku kanak-kanak yang memaparkan pemilihannya terhadap sesuatu permainan, objek, aktiviti atau perwatakan yang menggambarkan jantinanya adalah suatu perkara normal dan ia adalah lumrah dalam dunia kanak-kanak.

Menurut kaunselor keluarga dan kanak-kanak, Aminah Isa, meskipun kanak-kanak berusia sekitar dua tahun masih belum boleh mengenali serta memahami jantina diri sendiri, kajian ilmiah menunjukkan kanak-kanak seawal usia itu biasanya sudah boleh mengaitkan lelaki sebagai ‘kasar’ manakala perempuan sebagai lemah-lembut.

“Dalam lingkungan usia tiga tahun pula, si kecil biasanya sudah boleh membezakan jantina lelaki dan perempuan serta sudah boleh ‘meletakkan’ dirinya sama ada dia adalah lelaki atau perempuan.

“Dalam usia antara tiga hingga enam tahun, kanak-kanak biasanya akan menunjukkan sifat ‘perempuan’ atau kelelakian melebihi golongan dewasa,” katanya.

Menurutnya, ia bermaksud, setiap kanak-kanak sememangnya akan melalui fasa pengenalan diri mengikut jantina.

“Atas sebab itu juga, ada kanak-kanak yang marah apabila mendapati rakan yang sama jantina dengannya melakukan atau menyukai sesuatu yang bertentangan dengan jantina diri contohnya jika kanak-kanak perempuan bermain dengan pistol permainan atau ada kanak-kanak lelaki menyukai anak patung.

“Situasi itu akan membuatkan kanak-kanak terbabit memilih untuk tidak berkawan dengan rakannya itu kerana merasakan terdapat sesuatu yang salah atau ‘tidak kena,” ujarnya.

PERBEZAAN SIFAT

Menurut Aminah, tingkah laku stereotaip yang menggambarkan kefahaman kanak-kanak itu berkenaan perbezaan sifat atau sikap antara lelaki dan perempuan dapat diperhatikan bukan saja melalui cara bermain, jenis permainan dipilih atau cara berpakaian.

“Mereka sudah boleh mengaitkan warna, peralatan, bentuk tingkah laku dan perwatakan individu dengan jantina apabila memasuki usia tiga tahun ke atas.

“Secara umumnya, anak lelaki akan kelihatan lebih agresif, menunjukkan kekasaran dan ketegasan manakala anak perempuan kelihatan lebih lembut, mudah mendengar dan mengikut arahan, suka mengambil berat serta menunjukkan simpati,” katanya.

Namun, Aminah berkata, walaupun sudah dapat membezakan dengan baik antara jantina, kanak-kanak di peringkat usia tiga hingga enam tahun ini sebenarnya belum memahami dengan baik banyak perkara lain yang boleh dilakukan kedua-dua jantina seperti pekerjaan.

“Mereka masih tidak dapat memahami dengan jelas, wanita dan lelaki boleh berkecimpung dalam kerjaya yang sama seperti doktor, peguam, guru dan bermacam-macam lagi jenis kerjaya.

“Dalam situasi ini, peranan ibu bapa amat penting dalam membantu si anak supaya dapat memahami dengan lebih jelas mengenai perbezaan jantina ini,” ujarnya.

Tambah Aminah, kanak-kanak pada usia itu sebenarnya banyak belajar melalui peniruan dan amat memerlukan seseorang untuk dijadikan sebagai contoh.

“Pembelajaran bagi kanak-kanak ialah apa saja yang dapat diperhatikan dan didengari daripada persekitaran mereka. Jika di rumah dia lihat atau mendapati ibunya selalu di dapur manakala ayahnya selalu sibuk dengan kereta, si kecil akan berpandangan dan mempelajari bahawa tugas mencuci pinggan itu adalah ‘kerja’ orang perempuan manakala mencuci kereta itu adalah tugas orang lelaki.

“Jika si ibu seorang yang suka bersolek, ia tentu saja mudah diikuti kerana kanak-kanak sememangnya akan terikut-ikut telatah, tingkah laku dan sikap ditonjolkan ibu mereka kerana ibunya adalah contoh teladan paling dekat bagi dirinya sebagai kanak-kanak perempuan,” katanya.

Menurutnya, dalam apa juga situasi, ibu bapa perlu mendidik si anak sebaik mungkin mengikut jantinanya supaya tidak berlaku sebarang masalah kecelaruan jantina pada kemudian hari.

“Sekiranya si anak menunjukkan sikap semula jadi diri mereka, jangan sesekali bantah namun berilah nasihat dan bimbing secara baik. Jika dia terlalu ganas bagi yang lelaki, nasihatilah supaya si anak tidak berkelakuan sebegitu.

“Jangan panik kerana semua ini adalah lumrah setiap manusia pada usia itu, kita juga melalui perkara yang sama dengan anak ketika berada pada usia ini dan bantulah mereka sebaik mungkin untuk memahami dengan jelas mengenai jantina,” ujarnya.

Aminah berkongsi tip kendali tingkah laku anak supaya jelas mengenai soal jantina sendiri:

- Menjadi contoh teladan yang baik kepada si kecil.

- Tidak sewenang-wenangnya melabelkan si kecil anda terlalu ganas atau terlalu lembut, sebaliknya mencari punca dan faktor kenapa tingkah laku itu berlaku.

- Memastikan hak dan keperluan asas kanak-kanak dipenuhi.

- Melihat dari ‘perspektif kanak-kanak’ bukan perspektif orang dewasa.

- Memberi peluang kepada kanak-kanak bermain kerana kanak-kanak belajar melalui eksperimen, penerokaan dan pengalaman langsung yang mana bermain adalah ‘kerja’ kanak-kanak dan kecenderungannya secara semula jadi.

- Mengelakkan memberikan tekanan emosi dan mental kepada kanak-kanak.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 4:30am
d