hati

Bendung sebelum lebih parah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KEJADIAN rogol membabitkan suspek remaja bukan lagi isu baharu. Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan kes seumpamanya. Kali ini suspek adalah murid tahun enam, manakala mangsanya kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Apa yang menyedihkan, pelaku dalam kes ini adalah anak kepada wanita yang mengasuh mangsa. Suspek dipercayai sudah melakukan perbuatan jijik itu terhadap mangsa sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan lalu.

Tamparan besar buat ibu bapa yang sibuk bekerja dan terpaksa menghantar anak ke rumah pengasuh. Apakah masyarakat kini sudah terlalu ‘sakit’ hinggakan anak remaja gagal berfikir secara rasional?

Mengulas kejadian yang berlaku, Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, insiden berkenaan adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak sepatutnya dilakukan remaja berusia 12 tahun.

Bahkan, katanya, pada umur sebegitu, anak remaja sepatutnya tidak mampu melakukan kesalahan jenayah seksual apatah lagi merogol seorang kanak-kanak kecil.

“Kalau dilihat kepada punca dan penyebab lazim berlakunya kes rogol atau cabul dalam kalangan anak remaja, saya percaya ia terjadi berikutan perasaan ingin tahu, selain terpengaruh dengan bahan rangsangan seksual yang tidak terkawal, dalam masa yang berpanjangan,” katanya.

Jelas Zaid, remaja secara amnya sangat mudah mengikut emosi dan belum betul-betul mampu berfikir secara rasional. Jika terangsang dan mempunyai peluang, mereka tidak mampu mengawal diri.

“Pemantauan adalah segalanya. Walau sesibuk mana pun kita, sebagai ibu bapa, jangan sesekali membiarkan anak terlalu bebas tanpa kawalan.

Isikan masa mereka dengan aktiviti positif seperti kokurikulum, pembelajaran, mahupun aktiviti sosial yang sihat. Terlalu bebas dengan gajet dan Internet selalunya akan mengundang padah.

Naluri ingin tahu mengenai perlakuan seksual akan mendorong remaja melayari laman web dan video pornografi. Hadkan masa dengan gajet. Sekiranya kelonggaran diberi, pastikan mereka tidak melayari Internet secara tertutup di bilik masing-masing. ” katanya.

MEDIA SOSIAL JADI PUNCA

Dalam era serba pantas ini kata Zaid, adalah sukar untuk menjauhkan pengaruh negatif yang datang daripada Internet, khususnya pentas media sosial.

“Tidak kira zaman sekarang atau sebelum ada media sosial dan Internet, pengaruh negatif sentiasa wujud. Namun yang menyelamatkan anak kita adalah pendidikan yang selari dengan cabaran masa kini.

“Jika anak sentiasa diingatkan terhadap bahaya media sosial dan Internet serta dipantau secara berkesan, pengaruh negatif pastinya mampu dikekang.

“Dalam kebanyakan situasi, ibu bapa yang terbabit secara positif dalam memantau dan menguruskan anak biasanya akan terselamat daripada ancaman moral ini,” katanya.

Meneliti senario yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, Zaid berkata, dia yakin peratusan kejadian rogol dan cabul membabitkan pengaruh Internet dalam kalangan remaja masih kecil.

Namun, ia tidak boleh dipandang remeh kerana ancamannya semakin hari semakin besar.

“Kejadian seumpama ini perlu dibendung secara proaktif. Kita tidak boleh lagi menunggu sehingga kes berlaku, kemudian baru hendak bertindak.

“Ibu bapa perlu sentiasa bersedia dan berjaga-jaga untuk memastikan anak mereka tidak terjebak dalam aktiviti seksual yang dipengaruhi Internet.

“Mereka perlu tahu usia muda menjadikan remaja sangat mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling dan rakan, lebih daripada pengaruh ibu bapa itu sendiri.

“Jika mereka terus dibiarkan bersama rakan tanpa pengawasan, pengaruh ini akan lebih cepat tersebar dan memudaratkan seisi masyarakat. Ini kerana, sesiapa yang pandai mempengaruhi emosi remaja, merekalah yang akan berjaya mempengaruhi kelakuan anak muda terbabit,” katanya.

Kata Zaid, ibu bapa perlu sentiasa berdialog dengan remaja mengenai rasa ingin tahu seksual remaja. Lakukan segera sebaik anak mencapai usia baligh atau dilihat sudah mula tertarik dengan isu berkaitan.

“Tanggungjawab pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif tidak boleh dilepaskan kepada pihak lain walaupun guru sekolah. Ibu bapa perlu memulakan perbualan tersebut sama ada secara proaktif atau reaktif.

“Secara proaktif, ibu bapa boleh bertanya apa yang anak fahami mengenai gejala seksual. Berikan jawapan yang sesuai dengan tahap pemahaman mereka.

“Ramai yang melihat gejala seksual hanya dari sudut fizikal. Terdapat aspek lain yang lebih mudah diperjelaskan seperti spiritual (agama), sosial, budaya dan perundangan,” katanya.

Zaid amat bersetuju dan menyokong usaha kerajaan menjadikan pendidikan seks awal usia sebagai fokus dalam melengkapkan sistem pembelajaran di sekolah.

Mulakan intervensi ini seawal mungkin, bersesuaian dengan umur anak-anak. Dalam masa sama, perbetulkan salah faham orang ramai terhadap pendidikan seksual di sekolah ini.

Kita kena tahu kajian menunjukkan pendidikan seksual pada usia muda tidak akan menggalakkan anak melakukan hubungan terlarang, sebaliknya memberi kesan holistik dalam aspek sosial, perundangan, etika dan spiritual. Jika dilakukan dengan betul, ia terbukti mencegah salah laku seksual dalam kalangan remaja, katanya.

TIP PENCEGAHAN

1. Pastikan anak tidak sesekali terdedah kepada bahan seksual.

2. Pantau penggunaan Internet mereka.

3. Hadkan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan, walaupun saudara-mara sendiri.

4. Berikan pengetahuan mengenai pendidikan seksual dan kesihatan reproduksi supaya remaja perempuan khasnya, tahu menjaga diri dan akibat dari salah laku seksual.

5. Remaja lelaki pula mesti diajar mengenai tanggungjawab menjaga kehormatan wanita.

PANDUAN UNTUK PENGASUH

1. Pengasuh perlu mempunyai sistem keselamatan yang melindungi anak jagaan daripada gangguan seksual, penderaan mahupun risiko penculikan.

2. Jangan mudah percaya dengan orang lain walaupun ahli keluarga sendiri.

3. Sentiasa pastikan anak jagaan dalam pemantauan sepanjang masa.

4. Jangan mengambil anak jagaan melebihi had kemampuan demi mengejar upah.

PANDUAN IBU BAPA

1. Pastikan pusat jagaan mempunyai prosedur arahan standard (SOP) keselamatan yang baik.

2. Pastikan cukup petugas dengan kadar anak jagaan dalam tanggungjawab mereka.

3. Sentiasa berdialog dengan anak untuk pastikan penjaga menjalankan tugas dengan baik.

4. Berdialog juga dengan penjaga untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang masalah di pusat asuhan.

5. Peka akan perubahan fizikal dan emosi anak.

6. Buat lawatan mengejut sekali-sekala untuk memastikan segalanya dalam keadaan baik.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 5:30am
d