hati

Bukan penyebab mandul

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

DIANGGARKAN tiga peratus remaja Malaysia berdepan dengan masalah skoliosis iaitu pembengkokan tulang belakang ke arah tepi sama ada kiri atau kanan. Peratusan remaja perempuan berdepan dengan penyakit ini lebih tinggi berbanding lelaki. Puncanya masih belum dapat dikenal pasti namun sebahagian kecil berkait rapat dengan palsi serebrum dan distrofi muskular atau lebih dikenali sebagai kelemahan otot.

Jika pada awalnya perkara ini hanya dipandang ringan namun apabila menginjak dewasa, kebanyakan pesakit mula risau dengan masalah yang dihadapi terutama bagi wanita. Majoriti daripada wanita yang menghidap skoliosis mula bimbang untuk hamil dan khuatir sama ada mereka mampu hamil atau tidak.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada mereka mampu mempunyai zuriat seperti wanita lain. Malah, wujud persoalan adakah masalah ini akan memberi kesan kepada anak yang dikandung dan risiko yang perlu mereka hadapi sepanjang tempoh kehamilan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nur Azurah Abd Ghani berkata, wanita yang menghidap skoliosis tidak mempunyai masalah untuk hamil seperti wanita lain. Malah ia bukan punca atau penyebab kemandulan seperti yang dibimbangkan.

Katanya, kecacatan pada tulang belakang tidak mengganggu fungsi hormon dan sistem reproduktif wanita, jadi mereka tidak perlu risau untuk hamil. Malah skoliosis juga tidak menyebabkan mereka berisiko untuk mengalami keguguran atau mengandungkan bayi yang tidak normal.

“Disebabkan tulang belakang yang tidak normal, kehamilan menyebabkan si ibu berdepan dengan sakit belakang yang lebih berbanding wanita lain. Namun, ini simptom biasa dan sering dihadapi pesakit skoliosis. Malah mereka juga tidak perlu bimbang masalah tulang belakang menjadi lebih teruk sehingga memudaratkan diri.

“Kadar sakit belakang ini bergantung kepada posisi dan penjagaan tulang belakang mereka ketika kehamilan. Lazimnya, risiko sakit belakang pesakit skoliosis sama dengan wanita yang memiliki tulang belakang normal ketika kehamilan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keadaan sedikit berbeza kepada wanita yang mengalami skoliosis yang teruk. Mereka mungkin berdepan dengan kesukaran untuk bernafas pada trimester ketiga.

Ini kerana perut yang semakin membesar akan membataskan perkembangan paru-paru ketika menarik nafas. Simptom yang sama terpaksa dihadapi ibu yang tiada skoliosis ketika hamil bayi kembar, saiz anak yang besar atau air ketuban yang banyak.

Dr Nur Azurah berkata, tidak dinafikan selain bimbang kesihatan diri, si ibu yang menghidap skoliosis juga bimbang anak yang dikandung bakal mewarisi penyakit sama.

Katanya, jika bayi yang dikandung perempuan, risikonya lebih tinggi iaitu 29 peratus berbanding bayi lelaki sebanyak sembilan peratus sahaja.

Tambahnya, pemeriksaan ultra bunyi semasa kehamilan sukar menentukan sama ada bayi ini mengalami skoliosis atau tidak kerana kedudukan bayi di dalam rahim. Sehingga kini belum ada cara yang boleh dilakukan si ibu bagi mengurangkan risiko bayi mereka daripada menghidap penyakit ini.

“Bagi ibu yang menghidap skoliosis, mereka tidak perlu bersedih atau bimbang dengan keadaan bayi yang dikandung. Ini kerana, peluang untuk si anak dilahirkan sebagai bayi yang normal masih tinggi. Malah, si ibu juga tidak perlu risau untuk melalui proses melahirkan kerana mereka masih mampu bersalin secara normal,” katanya.

Ujar Dr Nur Azurah, wanita yang mengalami skoliosis tidak perlu menjalani pembedahan Caesarean untuk kelahiran bayi mereka. Mereka boleh bersalin secara normal seperti wanita lain. Pembedahan hanya dilakukan jika berlaku sebarang kemungkinan bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi.

“Jika ibu dan bayinya dalam keadaan baik dan bersedia untuk bersalin secara normal, tiada alasan untuk melakukan pembedahan. Si ibu yang mengalami skoliosis juga masih boleh mendapat suntikan epidural sebagai kaedah mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran. Jadi, tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Tetapi, bagi wanita yang pernah menjalani pembedahan spinal fusion sebelum kehamilan, epidural tidak boleh diberi sewaktu proses kelahiran. Namun, mereka boleh menggunakan kaedah lain seperti menyedut gas ethanoks atau mengambil ubat penahan sakit (pethidine) untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.

Bagi wanita yang menghidap skoliosis dan kini dalam usaha untuk hamil, anda perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk menempuh tempoh kehamilan ini. Ujar Dr Nur Azurah, paling penting mereka perlu menjaga postur tulang belakang bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami.

“Ada pelbagai senaman regangan otot yang boleh diamalkan wanita yang mengalami skoliosis. Antaranya posisi ‘kucing dan unta’, regangan latissimus, pelvic tilt, posisi bayi, senaman bridging dan regangan tangan dan kaki. Semua gerakan ini baik untuk mereka cuba dan tidak menyakitkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:00am
d