hati

Inspirasi wanita berhijab

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

HUKUM mengenakan hijab adalah wajib bagi setiap wanita Muslim. Namun, masih ramai yang teragak-agak mengenakan hijab kerana bimbang tidak dapat bergaya, selari dengan perubahan fesyen hari ini.

Meskipun alasan ini kedengaran tidak munasabah, ia bukanlah tiket untuk kita menghina, menjatuhkan atau menempelak kaum wanita yang belum berhijab.

Cuba tonjolkan lebih banyak gaya bersesuaian dengan wanita bertudung. Pilih padanan baju bersesuaian, ringkas, santai, mudah diurus dan paling penting selari dengan trend pemakaian terkini.

Anda mungkin boleh bereksperimen dengan warna, corak, gaya, jenama mahupun jenis fabrik itu sendiri. Lazimnya, wanita lebih tertarik pada fesyen kasual.

Mungkin juga ia sudah menjadi sebahagian daripada trend, berhijab tidak seharusnya menampakkan wanita itu tertutup dari sudut penampilan dan gaya.

Wanita berhijab kini boleh kelihatan feminin, lasak, sofistikated, santai, hip hop, menggayakan elemen berbeza sama ada jengki, chic atau pada masa sama funki.

Pokok pangkalnya, kenali jiwa dan keinginan anda dalam fesyen. Kemudian, pilih padanan sesuai mengikut keselesaan diri. Tiada yang betul atau salah dalam dunia fesyen Muslimah hari ini asalkan pakaian yang dikenakan sopan, menutup aurat serta tidak menampakkan susuk tubuh mengghairahkan.

Cuba lihat gaya berikut. Mungkin ia boleh dijadikan inspirasi untuk anda yang sudah berhijab mahupun wanita yang baru berjinak-jinak menutup kepala.

1. Ringkas dan tidak memerlukan perbelanjaan lebih. Gaya ini sesuai untuk wanita yang memiliki saiz pinggul lebar. Lagipun, kardigan labuh kini mudah didapati dan tidak terhad kepada jenama mahal saja. Buat pilihan bijak. Anda mungkin nampak lebih menarik biarpun dengan kardigan yang dibeli di pasar malam!

2. Kenapa harus memikirkan celana ratusan ringgit jenama barat untuk tampil dengan imej hip hop sedangkan kita punya banyak pilihan pakaian dengan identiti tersendiri? Padanan sebegini biasanya lebih selesa berbanding denim ketat.

3. Wanita tidak bertudung mungkin punya koleksi baju sabrina. Blaus mendedahkan bahu ini yang dulunya dipakai dengan skirt atau seluar denim. Usah disimpan atau dibuang jika sudah mengenakan hijab. Baju sabrina juga sesuai dipadankan dengan baju luar (overall). Elakkan baju-T lengan panjang rona kulit sebagai pakaian dalam. Anda tentu nampak sopan dan manis.

4. Seluar denim rabak tidak lagi terhad buat mereka yang berpenampilan seksi. Perubahan arus fesyen kini banyak mempertimbangkan keperluan wanita bertudung. Ada banyak jenama yang menawarkan pilihan denim rabak dengan alas di bahagian dalam.

Anda sendiri boleh menghantar denim rabak yang lama ke kedai jahit untuk ditambah kain alas bersesuaian atau pakai saja seluar ketat di dalam.

5. Sesekali memilih gaya urban klasik ketika bersantai mungkin boleh mengubah mood anda. Pilih kemeja, skirt paras betis, tudung polos dan sepasang but. Gaya ini masih boleh disesuaikan mengikut personaliti anda. Gantikan dengan skirt labuh dan pilih sepatu bertali. Mudah bukan?

6. Gaya sedikit formal tidak boleh dielakkan dalam pemakaian wanita. Sama ada ke pejabat, bersantai atau berjumpa rakan, gaya ringkas ini tidak mencacatkan penampilan.

7. Berjubah pada awal penghijrahan mungkin boleh jadi mimpi ngeri buat segelintir wanita. Tambahan bagi yang mempunyai ramai rakan suka mengusik atau bergurau kasar. Tentu

pedih telinga dibuatnya. Ada baiknya jika busana polos jadi pilihan. Selain ringkas, anda juga nampak lebih kasual daripada berjubah.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 4:30am
d