hati

Gadis cilik berjiwa besar

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

BARU berusia 12 tahun namun semangat juang dan kesungguhan gadis cilik ini dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan tempatan sungguh luar biasa.

Melihat jari-jemarinya yang lemah gemalai sambil kaki menyusun langkah mengikut rentak tarian lagu inang dan suara merdu menyanyikan lagu bangsawan membuatkan mata penulis terpukau dengan bakat semula jadi si manis ini.

Dia sangat berbeza dengan kanak-kanak seusianya yang kebanyakannya lebih gemar menghabiskan masa melakukan aktiviti harian bersama rakan sebaya atau menghabiskan masa menghadap telefon pintar masing-masing.

Memiliki bakat dan minat dalam bidang kesenian sejak berusia empat tahun lagi membuatkan jiwa Nur Dahiyah Kirana Mohd Nazri sangat dekat dengan bidang kesenian.

Gadis manis ini bukan saja memiliki kemahiran menari dan menyanyi lagu tradisional dengan sangat baik, bahkan mampu menjiwai watak utama dalam teater bangsawan.

Tidak mahu mensia-siakan bakat yang dianugerahkan kepada dirinya, Nur Dahiyah Kirana memilih untuk bergiat aktif dalam bidang seni dan teater, sekali gus dapat memperluaskan bakatnya ke peringkat lebih tinggi.

Memulakan bicara, Nur Dahiyah Kirana berkata, semuanya bermula sejak dia berusia empat tahun dan sangat gemar menari mengikut pelbagai rentak lagu.

“Tarian bagaikan jiwa saya. Saya membesar dengan meneruskan minat ini sehingga tahun lalu dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan tarian dan zumba. Ia menjadi detik permulaan kepada saya dalam bidang ini sebelum mula menceburi bidang teater.

“Ramai remaja kini gemarkan tarian dari negara luar sehingga tidak tahu asal usul tarian tradisi sendiri dan ia melahirkan kebimbangan kepada saya sebagai pencinta seni,” katanya.

Menurutnya, perjuangannya dalam bidang itu diteruskan apabila terpilih sebagai ketua kumpulan tarian tradisional bersama 38 individu lain mewakili Malaysia untuk menyertai pertandingan Asian Championship of Folklore, Asia Folk, di Mongolia bulan lalu dan berjaya menggondol tempat kedua dalam kategori tarian.

“Pertandingan itu bertujuan memperkenalkan Asia sebagai negara kesenian dan kebudayaan di mata dunia yang turut disertai 80 negara lain seperti Afghanistan, Australia, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, British, Brunei Darussalam, Kemboja, China, Fiji, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Israel, Jepun, Jordan, Kazakhstan, Kiribati, Korea, Kuwait, Maldives, Myanmar dan Palestin.

“Pertandingan selama 15 minit dengan lima segmen itu mempersembahkan silat tari, inang, zapin, joget dan persembahan Malaysia Truly Asia yang menonjolkan identiti seni budaya tempatan.

“Kami sangat gembira kerana berjaya menduduki tempat kedua dalam kategori tarian,” ujarnya.

KORBANKAN MASA DAN TENAGA

Apabila ditanya mengenai pembahagian masa, Nur Dahiyah Kirana berkata, dia tidak menafikan masa dan tenaga antara cabaran terbesar kepadanya.

“Tahun ini saya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memerlukan saya lebih fokus. Bayangkan masa seharian saya sangat padat dan hampir setiap hari saya pulang ke rumah jam 2 pagi kerana perlu mengikuti latihan tarian dan teater.

“Bohong jika saya kata tidak penat tapi tidak boleh mengeluh kerana ini adalah pilihan sendiri,” katanya.

Menurut Nur Dahiyah Kirana, dia juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak sekolahnya setiap kali tidak dapat datang ke sekolah.

“Syukur, semua guru sangat memahami dan memberi sokongan kepada saya. Disebabkan selalu tidak dapat hadir ke sekolah, ibu mengambil guru peribadi untuk mengajar saya di rumah terutama mengenai topik pelajaran yang saya tidak dapat ikuti di sekolah.

“Mungkin ini pengorbanan saya demi masa depan yang lebih baik. Walaupun aktif bergiat dalam bidang seni, saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran kerana kedua-duanya perlu seiring,” ujarnya.

Katanya, dia tidak mahu terhenti separuh jalan sebaliknya tekad menjadikannya sebagai satu kerjaya profesional suatu hari nanti.

“Bidang ini sudah sebati dengan diri saya sendiri. Saya juga berazam membuka akademi seni dan kebudayaan bagi memberi peluang kanak-kanak dan remaja di negara ini mengenali seni tradisional tinggalan nenek moyang kita.

“Bidang seni terutama seni tradisional semakin relevan untuk digemari generasi muda kerana ia tidak sekadar sebagai hobi, sebaliknya boleh menjana pendapatan lumayan apabila ia diteroka secara profesional,” katanya.

Nur Dahiyah Kirana yang turut berlakon dalam teater bangsawan kanak-kanak berjudul Raja Lumu dan menggalas watak sebagai permaisuri di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), pada 5 hingga 7 Julai lalu berharap segala yang dilakukan kini mampu membanggakan ibu dan keluarganya.

“Ibu banyak berkorban untuk membesarkan saya dan abang serta menyokong minat saya ini. Pada masa sama dia juga yang menguruskan semua jadual saya kini, betapa bersyukurnya saya kerana dianugerahkan seorang ibu hebat sepertinya,” ujarnya.

SENTIASA BERI SOKONGAN

Sementara itu, ibu kepada Nur Dahiyah Kirana, Ruzita Jamaludin berkata, bakat anak bongsunya itu dalam bidang seni dikesan sejak kecil apabila sangat meminati seni tarian dan nyanyian.

“Ketika kecil dia akan menari dan menyanyi mengikut apa saja muzik yang didengarnya selain sangat aktif menyertai apa saja pertandingan dan aktiviti berkaitan.

“Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong minatnya itu selagi tidak bercanggah dengan agama kita. Syukur, rezekinya dalam bidang ini semakin diperluaskan,” katanya.

Menurut Ruzita, selain gemar menari, Nur Dahiyah Kirana juga suka bercakap di depan cermin sejak kecil.

“Mungkin disebabkan dia hanya ada seorang abang dan tidak ada adik beradik lain menyebabkan dia suka bercakap sendiri di depan cermin namun secara tidak langsung cara itu membuatkan dia lebih bijak mengawal emosi dan berlakon dalam teater.

“Bagi saya paling utama adalah disiplin memandangkan kini dia mempunyai jadual harian yang padat. Saya sering ingatkan dia, tidak mudah untuk berjaya dan perlu terus fokus dan kuat dalam berdepan apa saja dugaan,” katanya.

Katanya, sebagai seorang ibu, tidak salah untuk menyokong minat anak kerana ia secara tidak langsung dapat meningkat keyakinan dirinya dan melahirkan generasi pelapis yang serba boleh.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:30am
d