hati

Tudung khas Hari Kebangsaan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KEMERDEKAAN negara yang dikecapi sejak 62 tahun lalu pasti membawa semangat yang menjulang tinggi bagi setiap rakyat dan tidak sah jika hari istimewa itu tidak disambut meriah saban tahun.

Begitu juga sokongan setiap pihak, baik individu mahupun syarikat pasti tidak ketinggalan melakukan sesuatu yang bermakna untuk dikongsi bersama bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut bulan depan.

Menyahut seruan itu, jenama tudung bawal DivaScarf memeriahkan lagi sambutan tahun ini dengan pelancaran tudung bawal edisi terhad khusus untuk menghargai dan menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan generasi muda menerusi helaian tudung.

Pengasasnya, Mohamad Hafiz Nassir tidak mahu ketinggalan dalam menzahirkan kecintaan terhadap negara dengan mencipta rekaan unik dan menarik bertemakan kemerdekaan sejajar nilai patriotisme yang mahu diterapkan dalam diri setiap orang.

Jenama itu mahu menjadi sebahagian daripada nilai itu dengan menghasilkan helaian tudung yang diterapkan secara simbolik dan benar-benar memberi makna kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Rekaan tudung merdeka ini kami bawakan dengan beberapa koleksi antaranya Tanggal 31, Bahtera Merdeka, Laskar Cinta, Hati Malaya, Bawal Malaysia, Jawi Merdeka, Dedaun Merdeka dan Garden Merdeka.

“Tema Jawi Merdeka misalnya mengangkat tulisan Jawi iaitu antara warisan Melayu yang dilupakan. Jadi kami bawakan tulisan itu pada tudung untuk mengangkat martabat Melayu dan sejarah kemelayuan.

“Selain itu, setiap koleksi jenama ini didatangkan dengan corak berbeza di empat penjuru tudung memboleh

kan sehelai tudung dipakai dengan empat gaya,” katanya.

Katanya, koleksi tudung bawal butiknya juga memiliki ciri eksklusif terdiri daripada lebih 20 rekaan dan warna menarik, mudah digayakan dan menjimatkan masa.

Menariknya, tudung yang diketengahkan rata-ratanya daripada fabrik kapas dan tanpa perincian berlebihan untuk menarik minat mereka yang gemarkan penampilan ringkas dan sederhana. Ia pasti menjadi pilihan buat wanita berhijab yang mementingkan penggayaan tudung.

Katanya, idea menghasilkan tudung berkenaan tercetus apabila mendapat maklum balas pemakai yang meminati fabrik kapas yang dikatakan lebih selesa terutama ketika cuaca panas.

Bersandarkan rekaan ringkas dan tidak berlebihan, tudung ini masih memiliki kelompok peminatnya tersendiri biarpun dengan kewujudan pelbagai gaya, corak dan rekaan tudung dan selendang di pasaran.

Jenama itu turut mengeluarkan tudung edisi Aidiladha dengan setiap koleksi dinamakan sempena menu

hidangan antaranya Tribal Cendol, Jagung Mega Mendung, Soya Cincau Bunga, Kathira, Ais Batu Campur dan pelbagai nama unik lain.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:00am
d