hati

Jaga imej semudah ABC

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

WANITA kini kian memberi perhatian serius terhadap imej dan penampilan diri. Namun, tidak semua berjaya menonjolkan gaya sepadan personaliti diri, tuntutan kerjaya atau sekadar di majlis formal.

Bagi mereka yang berkemampuan, khidmat perunding imej dibayar untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri. Namun, yang kerap menjadi rujukan adalah sumber dari Internet.

Menurut Perunding Imej, Siti Norwanda Mohd Yusoff, asas pembentukan imej seseorang sebenarnya semudah ABC iaitu Appearance (penampilan), Behaviour (perilaku) dan Communication (komunikasi). Tiga perkara ini jika digabung akan menonjolkan siapa diri kita dalam khalayak ramai.

“Penampilan adalah bahasa pertama untuk orang kenal diri kita. Bagaimana kita mahu orang kenal tanpa beritahu siapa diri kita. Adakah kita seorang yang ceria, unik, peramah atau jenis yang lebih tertutup.

“Ia juga membantu memberi mesej kepada orang yang bertemu dengan diri kita buat kali pertama. Jadi, sebagai wanita, imej dalam penampilan sangat penting. Lebih-lebih lagi bagi yang berkerjaya.

“Imej bukan saja dilihat dari luaran, tapi juga dinilai dari sudut kebersihan luaran serta dalaman. Ini termasuk penjagaan rambut, wajah, bau badan, kuku dan seumpamanya,” katanya.

Jelas Siti Norwanda, untuk mendapatkan penampilan menarik, setiap individu harus mempunyai sedikit pengetahuan mengenai asas penjagaan peribadi.

“Kenali dan fahami personaliti diri sendiri, kenali saiz dan bentuk tubuh. Asas ini boleh membantu setiap wanita membuat pilihan pakaian yang sesuai.

“Pilihan warna umpamanya, ia memainkan peranan untuk menyampaikan mesej. Sebab itulah pentingnya untuk kita tahu masa, majlis dan tempat yang hendak dituju,” katanya.

Melihat kepada trend kebanyakan wanita kini yang cenderung untuk tampil berlebihan dengan imej profesional, Siti Norwanda berkata, ada banyak sudut yang perlu diperhatikan supaya penampilan tampak seiring dengan personaliti diri.

“Untuk kelihatan lebih profesional, biar apa pun personaliti kita, kita perlu cuba untuk menjuruskan diri ke arah personaliti klasik. Dari segi bentuk tubuh, kita perlu ada sesi ukur-mengukur untuk mendapatkan sumber rujukan yang betul.

“Menerusi ukuranlah baru kita boleh tahu sama ada diri tergolong dalam bentuk tubuh epal, pir atau jam kaca (hour glass),” katanya.

Tambah Siti Norwanda, selepas mengetahui jenis dan bentuk tubuh, barulah analisis seterusnya boleh dilakukan dengan terperinci. Untuk peringkat seterusnya, wanita mungkin diklasifikasikan dalam zon selamat atau berbahaya.

“Kalau dilihat dari sudut umum, wanita yang mahu tampil dengan imej profesional digalakkan memilih warna untuk personaliti klasik. Antaranya, rona gelap seperti hitam, kelabu, coklat, merah manggis, hijau gelap dan biru kelasi. Elakkan pakaian yang terlalu ketat atau terlalu besar.

“Pilih padanan ringkas yang sesuai dengan saiz tubuh. Lebih cantik jika pakaian yang dikenakan itu dijahit mengikut ukuran, bukan dibeli siap pakai (RTW),” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 4:30am
d