hati

Gaya santai hujung minggu

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

BERPAKSIKAN komitmen kepada rekaan berkualiti dan berfungsi untuk semua, himpunan menarik untuk lelaki yang mahu tampil bebas, santai serta maskulin dengan helaian selesa ini benar-benar menarik perhatian.

Gabungan ilham klasik, eksentrik dan eklektik melatari keseluruhan koleksi terkini COS, The Weekend Edit di samping kecenderungan menggunakan fabrik berkualiti tinggi.

Bersesuaian dengan konsep jenama itu iaitu kemas, moden dan minimalis, koleksi itu menampilkan pelbagai persalinan lengkap daripada kemeja-T, kemeja, jaket, seluar hinggalah sandal.

Setiap rekaan diolah bagi menyerlahkan peribadi pemakai tapi dalam gaya lebih santai dan menyeronokkan.

Masyarakat era ini mula menyerlahkan gaya lebih eksentrik dan eklektik, justeru jenama itu juga makin berani bermain dengan teknik suai padan yang boleh menghasilkan satu gaya segar dan berbeza.

Fesyen sentiasa berputar yang mana kebanyakan trend lalu diangkat kembali dalam musim ini dan jenama itu bijak mengolahnya agar lebih relevan dengan trend semasa.

Cara itulah yang membuatkan fesyen berkembang dan makin fleksibel untuk digayakan apatah lagi pada zaman ini, fesyen dilihat sebagai wadah untuk menonjolkan keperibadian dan imej seseorang.

Selain lelaki, koleksi terbaru itu juga turut mengetengahkan rekaan polos tanpa perincian berlebihan buat wanita yang gemar bergaya ringkas. Hujung minggu kini pasti lebih indah dengan koleksi santai, bebas dan pada masa sama selesa digayakan ke mana saja destinasi yang ingin dihabiskan bersama tersayang.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 5:15am
d