hati

Inspirasi wanita seluruh dunia

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

JENAMA perhiasan dan aksesori Sepanyol, Tous baru-baru ini menjalin kolaborasi bersama Habib Group bagi mengukuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Urusan Habib, Datuk Seri Meer Habib bersama Pengarah Pengembangan Tous, Levan Tsulukidze pada majlis pelancaran butik baharu barangan kemas itu di Pavilion, Kuala Lumpur.

Menurut Levan Tsulukidze, pihaknya teruja untuk terus memberi inspirasi gaya, pilihan aksesori unik dan barangan kemas eksklusif buat wanita di seluruh dunia.

“Jenama ini mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri. Di Timur Tengah umpamanya, Tous antara jenama perhiasan paling popular dalam kalangan wanita.

“Di Mexico pula, kami sudah membuka kira-kira 80 butik jualan. Kami juga mendapat perhatian pengikut fesyen di Hong Kong, Filipina, China, Qatar dan Arab Saudi.

“Dengan kolaborasi bersama Habib ini, kami jangkakan Malaysia akan menjadi tumpuan peminat aksesosi mewah pada harga mampu milik pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Meer Habib mengakui berbesar hati bekerjasama dengan jenama terkenal di dunia itu seiring sambutan ulang tahun ke-100 tahun Habib.

“Ini adalah perkongsian menarik antara Habib Group dan Tous. Kami mahu melangkaui jangkaan pelanggan, memberi lebih banyak pilihan barang kemas unik, sepadan dengan kualiti dan harga yang ditawarkan.

“Berbeza dengan jenama yang diperkenalkan Habib sebelum ini, Tous mempunyai identiti unik dan disukai bukan hanya wanita, bahkan menarik perhatian pemakai lebih muda. Ia juga sesuai dijadikan hadiah buat insan istimewa.

“Setiap perhiasan ditawarkan mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. Ada yang asasnya diperbuat daripada perak dan disadur emas berkilau. Ada juga yang digabungkan dengan pelbagai jenis batu permata berkualiti untuk membangkitkan keunikan dalam gaya,” katanya.

Melihat latar belakang jenama ini, Tous adalah jenama dikehendaki di seluruh dunia kerana menawarkan perhiasan dan aksesori halus buat mereka yang sentiasa menghargai saat indah dalam kehidupan. Ia tidak terhad kepada perhiasan saja, bahkan turut menawarkan pelbagai pilihan aksesori lain termasuk beg tangan, cermin mata hitam dan skarf.

“Jenama ini mempunyai potensi besar di Malaysia. Saya percaya kerjasama ini akan membawa Habib dan Tous ke tahap membanggakan, menjadi jenama paling sesuai untuk rakyat tempatan,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran adalah selebriti Rozita Che Wan bersama anaknya Aaisyah Dhia Rana, Elena Sui, Hannah Delisha, Nadia Brian dan Miss World Malaysia 2012/2013, Yvonne Lee.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 4:00am
d