hati

Berinai kini jadi trend [METROTV]

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

TIDAK sempurna penampilan pengantin kini tanpa ukiran inai pada tangan dan jari. Dalam masyarakat Melayu dan India, pemakaian inai antara perkara utama yang diberi perhatian oleh bakal pengantin untuk melengkap­kan hari bahagia.

Berbeza 10 atau 20 tahun dulu, adat berinai hanya membabitkan kaum keluarga seperti ibu atau saudara terdekat. Pengantin akan dipakaikan inai yang digiling sendiri pada setiap hujung hujung jari dan tapak tangan.

Ada juga yang mengenakan inai di sekeliling kaki termasuk jari dan kuku untuk menonjolkan seri serta aura pengantin. Ada saja petua dan pantang larang dikongsi orang tua supaya inai kekal merah sehingga tiba saat pengantin disatukan.

Kini, adat berinai sudah melangkau jauh daripada tradisi lama. Masyarakat moden me­nyambut malam berinai sama meriahnya dengan hari pernikahan.

Kata pelukis inai, Siti Nurazlina Mat Saad, 34, kebanyakan bakal pengantin kini lebih suka mengadakan majlis khas dipanggil malam berinai dan menjemput tetamu daripada kedua-dua pihak.

“Biasanya, pada malam ini, bakal pengantin perempuan dan pengapit akan mengenakan busana indah mengikut tema tertentu. Mereka akan menjemput kita datang ke rumah untuk mengukir inai di jari dan kaki.

“Pengantin perempuan biasanya akan diukir corak mewah, manakala pengapit pula memilih yang ringkas dan tidak berlebihan. Selain pengapit, ibu, saudara terdekat dan teman rapat juga akan menghulurkan tangan untuk merasai pengalaman berinai.

“Sesetengah bakal pengantin lelaki juga memilih untuk dipakaikan inai. Bezanya, mereka ini menggunakan inai celup saja. Tidak berukir seperti pengantin perempuan,” katanya.

Jelas Siti Nurazlina, selain inai asli, dia juga menerima permintaan ukiran inai dari cat putih, perak dan emas. Pilihan unik ini biasanya bergantung kepada tema perkahwinan pelanggan sama ada gaya Inggeris, Bollywood atau Melayu moden.

“Sebenarnya, saya dulu berniaga barangan kosmetik. Namun kerana pasaran semakin mencabar, saya berusaha mencari perniagaan yang tidak memerlukan modal besar.

“Kebetulan memang meminati seni, jadi saya berusaha belajar me­ngukir inai menggunakan henna yang dijual di kedai dan toko jamu.

“Tiga bulan berlatih, hampir seluruh badan saya dipenuhi ukiran inai. Idea ukiran saya cari di Internet. Apabila sudah semakin mahir, saya beranikan diri mengukir inai di eks­po dan pameran dengan harga RM5,” katanya.

Mana tahu, rezeki berpihak pada diri, Siti Nurazlina akhirnya berjaya menghasilkan inai sendiri dan mula menawarkan perkhidmatan menginai pengantin dan mereka yang memerlukan.

“Zaman sekarang, hari raya pun orang cari pengukir inai. Di majlis keraian, ekspo, kenduri, acara korporat, program kesenian dan makan malam, ramai yang mahu mengukir inai di tangan.

“Ia sudah jadi sebahagian daripada trend. Apatah lagi dengan adanya ukiran cat akrilik yang mudah dicuci selepas dipakai. Ramai yang menganggap ia sebagai aksesori pelengkap gaya.

“Kalau perlukan corak tradisional, kita akan cadangkan ukiran sarat. Jika mahu gaya moden dan ringkas, kita minta mereka pilih tema. Selain inai, kita juga gunakan campuran berlian tumpah dan manik untuk kesan yang lebih mewah,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 5:30am
d