hati

Selesa, mudah bergerak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

APABILA ditanya mengenai soal pakaian sesuai yang perlu ada kala mengerjakan ibadat umrah dan haji tentu saja semua memberi jawapan ia perlulah selesa dan memudahkan pergerakan. Paling utama busana itu dihasilkan daripada fabrik menyerap peluh, tidak panas selain direka dalam rekaan minimalis iaitu ringkas namun selesa dan praktikal.

Atas faktor itu, setiap bakal jemaah perlu peka dan teliti dalam soal pemilihan busana yang ingin dibawa sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Berusaha dalam membantu jemaah wanita seawal remaja hingga ke warga emas mendapatkan busana sesuai dipakai ketika mengerjakan umrah dan haji, jenama Pakaryta Exclusive yang bertapak di Skudai, Johor Bahru tampil dengan koleksi jubah seluar bersama tudung iaitu koleksi Sumayyah, Fatimah Ekslusif dan Aisyah.

Pengasasnya, Nurul Hasnita Taharim berkata, tiga koleksi terbaru itu direka khas untuk dipakai ketika menunaikan ibadat umrah dan haji.

Menurutnya, pihaknya menghasilkan jubah seluar untuk wanita daripada fabrik berkualiti tinggi yang bukan saja selesa dipakai malah memudahkan pergerakan ketika di Tanah Suci.

“Jika sebelum ini ramai jemaah wanita yang menyarungkan jubah mengatakan pergerakan menjadi sedikit terbatas namun masalah itu dapat diatasi dengan adanya jubah seluar ini.

“Semua koleksi ini didatangkan bersama tudung mengikut cita rasa masing-masing pada saiz bermula S hingga 3XL,” katanya.

Tambahnya, untuk harga promosi, koleksi ini dijual bermula daripada RM139 hingga RM199 untuk setiap set dan ia amat berbaloi kerana busana ini sesuai dipakai untuk sebarang majlis bersesuaian.

“Kami amat mementingkan keselesaan pada semua koleksi dan diharap semua koleksi ini dapat membantu bakal jemaah di Tanah Suci.

“Semua koleksi boleh didapati di butik juga secara atas talian,” ujarnya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 5:00am
d