hati

Kurta, kemeja-T batik jawa

Oleh Siti Zarinah Sahib

BERMULA dengan rekaan baju bercorak batik untuk pakaian sendiri pada 2014, tidak sangka ramai yang berminat dan memintanya menghasilkan busana untuk dijual.

Tuan Mohd Kharul Azhar Tuan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tengku Kery mula membuat lakaran pertama bermotifkan batik corak abstrak pada sehelai kemeja.

“Lari daripada tema flora dan fauna yang biasa digunakan, untuk rekaan ini saya tidak menggunakan sepenuhnya batik sebaliknya campuran fabrik polos kapas pada bahagian bawah.

“Ternyata ia digemari remaja yang inginkan gaya sederhana dan tidak nampak berusia,” jelasnya.

Menggunakan label Tuanbytengkukery, lama-kelamaan dia semakin matang menilai kegemaran pelanggan sehingga terhasilnya rekaan kurta dan kemeja-T pada tahun ini.

“Konsep ini kami hasilkan untuk majlis keraian seperti perkahwinan atau hari raya. Sesuai kedatangan Aidiladha ini, dua rekaan kami tampilkan iaitu kurta dan kemeja-T menggunakan batik Jawa,” katanya.

Rekaan ini diinspirasikan daripada trend fesyen masa kini di Korea yang mengetengahkan pakaian longgar atau berukuran besar.

Ini bagi memberikan kelainan untuk fabrik batik Jawa yang sinonim dengan rekaan kemeja. Selain itu ia dapat menarik minat anak muda yang gemar mengenakan batik dalam aktiviti harian.

Tambahnya, pemilihan kapas bermotifkan batik Jawa kerana ia ringan dan sesuai dengan iklim di Malaysia.

“Lebih penting saya dapat mempelbagaikan lagi rekaan bermotifkan batik kerana batik adalah hasil seni tempatan yang unik dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan di peringkat antarabangsa. Ia bukan sekadar baju, seluar dan perhiasan sahaja,” jelasnya.

Sesuai jiwa lelaki yang gemarkan warna semula jadi, untuk rekaan kali ini Tuan Mohd Kharul menggunakan ton bumi yang boleh didapati dalam tiga variasi.

“Lebih penting rona sebegini sesuai dipadankan mengikut warna kulit berbeza,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkannya boleh membeli menerusi dalam talian pada harga RM99 sehingga RM129.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 4:30am
d