hati

Usah bantutkan intelek mereka!

Oleh Siti Zarinah Sahib

ISU gajet dan kanak-kanak pada zaman milenium ini sememangnya tidak pernah selesai malah menjadi lebih parah apabila gajet dijadikan sebagai ‘gula-gula’ untuk mengumpan, memujuk dan mengawal tingkah laku si kecil.

Walaupun segelintir ibu bapa mengatakan telefon pintar membantu pembelajaran anak mereka, peratusannya sangat kecil berbanding masalah mental dan pseudo-autisme yang sangat membimbangkan pada masa sekarang.

Menurut pengasas yang juga Pengetua Smart-IQ, Ruha Dani, pseudo-autisme adalah tingkah laku menyerupai atau hampir sama seperti autisme tetapi ia tidak disebabkan faktor genetik.

“Golongan kanak-kanak ini tidak mempunyai kemampuan atau kemahiran bersosial dan hidup dalam dunia sendiri.

“Mereka juga menunjukkan perkembangan pembelajaran yang lambat seperti membaca, mengira dan menulis disebabkan menghabiskan terlalu banyak masa secara rutin bermain gajet atau menonton televisyen,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, pada usia satu hingga enam tahun adalah tempoh yang kritikal (sangat penting) dalam pembinaan neuron kanak-kanak. Tetapi si kecil yang didedahkan terlalu awal kepada gajet kurang melakukan aktiviti fizikal dan berkomunikasi.

Apabila kurangnya pergerakan dan interaksi, ia mengganggu pertumbuhan otak mereka yang sepatutnya berkembang sehingga 90 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Neuron yang tidak dikembangkan atau digunakan sepenuhnya ini akan mati, sekali gus mewujudkan pelbagai konflik pada kanak kanak terbabit.

“Ini menyebabkan mereka gagal berfikir dengan waras, tiada daya pemikiran kreatif, tidak mampu berinteraksi dan bertutur dengan baik selain perkembangan emosi serta intelek turut terbantut,” jelasnya.

Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak tidak peka kepada sekeliling. Apabila kita bercakap dengan mereka, anak-anak akan buat tidak tahu. Begitu juga apabila disuruh, mereka tidak mengambil tindakan sepatutnya. Ini terjadi kerana kesan permainan video akan melatih otak menjadi lambat bertindak.

Paling teruk ia akan menjerumuskan kanak-kanak ini ke dalam satu situasi iaitu mereka tidak mampu mengawal perasaan atau tekanan yang dialami sehingga menyebabkan kemurungan.

“Gajet menyebabkan anak kecil gagal menunjukkan ekspresi wajah kerana mereka berinteraksi dengan benda. Apabila berada dalam keadaan marah, suka atau benci, mereka suka menyimpan berbanding meluahkannya. Akibat perasaan yang tersimpan ini akan meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi,” katanya.

Bagi anak, gajet adalah satu cara melepaskan diri daripada tekanan, akibat ibu bapa dan guru yang kurang memahami kehendak mereka. Namun ia lebih banyak mengundang negatif berbanding positif.

Menurut Ruha lagi, anak pada zaman dulu melakukan banyak aktiviti di luar rumah. Apabila bergerak hormon gembira akan dirembeskan.

Berbeza dengan anak zaman sekarang yang banyak berada dalam rumah. Jadi permainan mereka hanyalah telefon pintar atau tablet.

“Walaupun mereka tetap mengeluarkan hormon gembira namun ia disertakan dengan rasa ketagih yang berlebihan.

“Pernah berlaku di luar negara apabila anak ini dibawa menjalani imbasan MRI, otak mereka sama seperti individu yang sedang ketagihan dadah,” katanya.

Ini dapat dibuktikan apabila anak akan mengamuk dan menangis apabila gajet mereka diambil, sama seperti penagih yang sanggup bertindak di luar kawalan apabila tidak mendapatkan bahan berbahaya ini.

CARA ELAK KETAGIH GAJET

1. BUAT PERATURAN

Jadikan gajet sebagai hadiah dengan mengehadkan masa mereka bermain. Untuk anak berusia satu hingga tiga tahun berikan satu jam sahaja sehari manakala untuk anak berusia empat hingga tujuh tahun berikan mereka dua jam sehari.

2. GANTI AKTIVITI LAIN

Alihkan tumpuan anak dengan menyediakan aktiviti yang mereka sukai. Misalnya lego, kereta, melukis atau permainan kad. Jangan ambil gajet tanpa sebarang permainan gantian. Beritahu mereka apa yang anda sedang lakukan. Tunjukkan contoh terbaik dengan menghormati perasaan mereka.

Apa yang berlaku pada masa sekarang ibu bapa termasuk guru tidak tahu cara menyelesaikannya. bu bapa dan guru lebih banyak memarahi tanpa menyedari ia hanya akan melukakan perasaan anak.

Ibu bapa perlu terbabit dalam setiap aktiviti agar anak merasakan mereka lebih dihargai. Apabila gajet dapat dikurangkan perlakuan anak akan berubah. Mereka akan petah bercakap dan menunjukkan ekspresi ceria.

3. BUANG PERSEPSI DALAM MINDA GAJET BAGUS UNTUK PEMBELAJARAN

Sebenarnya ia akan menjadi bagus di bawah pengawalan ibu bapa. Namun berapa ramai ibu sedar mengenai perkara ini. Ini kerana gajet diberikan bagi memudahkan urusan ibu bapa di rumah atau di luar rumah.

Ia menjadikan anak lebih diam, nampak tertib dan sopan. Sebenarnya ia menjerumus mereka kepada kesan yang lebih besar iaitu emosi dan intelektual.

Menurut Ruha, dia menerima banyak kes membabitkan kanak-kanak lambat bercakap dan membaca yang berpunca daripada penggunaan telefon pintar yang keterlaluan.

“Apabila diselidiki mereka didedahkan kepada gajet terlalu awal dan dalam jangka masa yang lama. Setelah didiagnos masalah mereka bukan disebabkan autisme tetapi memiliki ciri-ciri autisme.

“Memang tiada genetik autisme dalam diri mereka. Namun jika tidak dirawat ia sudah tentu akan menyebabkan pertumbuhan emosi dan intelektual mereka terbantut sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku,” luahnya.

Oleh itu selain menggunakan kaedah tertentu menerusi cara ‘memperbetulkan’ semula proses pemikiran, yang diibaratkan sebagai lampu (yang berfungsi apabila jaringan penerimaan elektriknya sempurna) barulah anak-anak ini kembali normal.

Malah anak akan menunjukkan perilaku yang positif, taat orang tua, rajin belajar, berani meluahkan perasaan dan ekspresi diri apabila otak mereka dirangsang dan berfungsi dengan baik.

“Kami juga mengharapkan pembabitan ibu bapa agar apa yang mereka pelajari di sini dapat digunakan ketika di rumah. Tidak guna jika anak-anak sahaja berubah apabila kembali ke rumah keadaan tidak berubah.

“Ibu bapa masih dengan telefon 24 jam, televisyen terpasang sepanjang masa malah tiada permainan berbeza disediakan. Sudah tentu si kecil akan kembali kepada perilaku asal,” nasihatnya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:00am
d