hati

Tabiat pelik proses normal si cilik

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

TABIAT menggigit kuku, mengorek hidung dan menghisap jari dalam kalangan anak kecil mungkin biasa dialami mana-mana ibu bapa.

Puas dimarahi dan dibebel namun masih gagal menghentikan tabiat itu. Meskipun tabiat itu mungkin mengganggu anda sebagai ibu bapa bahkan sehingga tahap menimbulkan kegusaran, jangan bimbang.

Ini kerana kebanyakan kes, tabiat seperti ini hanya satu fasa dalam proses perkembangan normal kanak-kanak dan tidak mendatangkan situasi yang perlu diberi perhatian serius.

Kebanyakan tabiat ini akan hilang apabila anak anda mula memasuki usia persekolahan.

Namun, jika anda fikir sudah tiba masa untuk menghilangkan tabiat itu, beberapa langkah boleh diambil:

1.Dengan tenang, tunjukkan apa yang anda tidak suka dengan perbuatan dan kenapa

Pendekatan ini boleh digunakan dengan kanak-kanak pada usia tiga atau empat tahun untuk membantu meningkatkan kesedaran terhadap masalah itu. Katakan sesuatu seperti, “ibu tak suka apabila kamu menggigit kuku. Ia kelihatan tidak bagus, bolehkah kamu cuba hentikannya?”

Paling penting, jika anda melihat anak menggigit kuku, jangan memarahi atau membebel kepadanya. Hukuman, penolakan atau kritikan boleh menyebabkan tabiat itu tidak berkurangan.

2. Babitkan anak anda dalam proses menghentikan tabiat

Sekiranya anak anda yang berusia lima tahun menangis ketika pulang ke rumah dari tadika diejek kanak-kanak lain kerana menghisap jari, fahamilah bahawa ini adalah cara anak itu meminta bantuan anda.

Ibu bapa boleh bertanya kepada anak-anak mereka apa yang mereka fikir boleh dilakukan untuk menghentikan tabiat itu. Fikirkan beberapa cara dan usaha bersama.

3. Cadangkan tingkah laku alternatif

Contohnya, jika anak anda gemar menggigit kuku, selain memintanya ‘jangan gigit kuku’ cuba katakan, ‘jom goyangkan jari.’ Ini akan meningkatkan kesedaran berkenaan tabiatnya itu dan boleh menjadi peringatan buatnya. Untuk mengalihkan perhatian anak anda, cuba sediakan ‘gangguan’ seperti ajak anak anda membantu anda di dapur, melukis atau melakukan kraf bersama.

4. Ganjaran dan pujian

Contohnya, izinkan anak kecil anda menggunakan pengilat kuku jika dia membiarkan kukunya tumbuh. Atau setiap kali anak lelaki anda berhenti daripada menghisap ibu jarinya, puji tindakan positifnya itu dengan memberinya pelekat comel yang disukai atau hadiah kecil lain.

5. Bersikap konsisten dalam memberi ganjaran kepada tingkah laku yang baik

Jika anda gagal melihat perkembangan positif terhadap tabiat itu, ia akan hilang dari semasa ke semasa. Untuk hasil terbaik, adalah penting supaya anak-anak bermotivasi untuk menghapuskan tabiat itu dan kerana tabiat mengambil masa untuk berkembang maka pasti akan mengambil masa juga untuk menggantikan tingkah laku alternatif, jadi ibu bapa harus bersabar hingga berjaya.

6.Dapatkan nasihat pakar

Jika keadaan masih berlanjutan walaupun anak sudah melepasi umur yang sepatutnya, berjumpa dengan pakar bagi memastikan tabiat itu tidak menjurus kepada keadaan psikologi luar biasa seperti tekanan dan kegelisahan.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 5:30am
d