hati

Membantu semampu mungkin

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MELIHAT kedaifan dan merasai kehidupan serba kekurangan golongan yang pernah dibantunya menjadikan wanita ini tekad untuk terus menabur bakti buat mereka yang memerlukan.

Dikurniakan kehidupan serba lengkap tidak sekali pun menjadikan wanita ini terus berada di zon selesa, malah kudrat yang ada disalurkan pula kepada mereka memerlukan melalui inisiatif kebajikan dipeloporinya sejak lebih enam tahun lalu.

Menerusi penyertaan pertama dalam misi kemanusiaan di Kemboja sebagai sukarelawan pada 2013 membuka mata Shafezah Abdul Wahab, 37, dan dia tidak pernah berhenti selepas itu.

Menurut Shafezah, menyaksikan sendiri keadaan masyarakat Muslim di Kemboja yang tersisih dan tidak diberi hak kemanusiaan di sana ketika itu membuatkan mereka sangat mengharapkan bantuan dari Malaysia.

Namun, katanya, dalam keadaan serba kekurangan itu mereka sangat bersyukur dan tidak memilih apa jua bantuan yang diberikan sebaliknya ucapan terima kasih tidak lekang di bibir dan memeluk setiap sukarelawan yang datang memberi bantuan.

“Melihat kedaifan di sana dengan keadaan tempat tinggal mereka yang serba kekurangan bahkan ada yang tidak ubah seperti reban ayam membuatkan saya menjadi manusia lebih bersyukur. Saya sangat bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan kepada saya selama ini.

“Saya mula berhenti merungut dengan masalah yang datang dalam hidup dan belajar untuk lebih banyak bersyukur. Daripada misi ini, saya rasakan Allah sedang membuka mata saya untuk melihat sisi lain kehidupan di dunia ini. Saya rasa seakan-akan menjadi tanggungjawab untuk sama-sama membantu sebanyak mana yang mampu.

“Saya juga mulai sedar apa juga rezeki yang Allah berikan adalah sebagai amanah yang perlu dijaga dan dikongsikan bersama. Rezeki itu bukan hak kita, kita cuma pemegang amanah saja. Jadi kita perlu berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain,” katanya.

Bertitik tolak daripada misi itu, Shafezah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka menubuhkan projek Suspended Meal Malaysia pada 2016 untuk membantu seberapa banyak komuniti yang memerlukan.

Katanya, Suspended Meal Malaysia adalah gerakan sosial untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu sosial di samping menyebarkan segala aspek yang membawa kepada gaya hidup positif bagi mengubah kehidupan kepada lebih baik melalui peluang, pendidikan, perkongsian dan inspirasi.

Malah gerakan itu bercita-cita menanamkan kepercayaan dalam setiap individu bahawa semua orang mampu dan mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.

Matlamat utama Suspended Meal adalah menyebarkan kebaikan kepada seluruh kelompok masyarakat. Menurut Shafezah, kerja amal berkonsepkan sedekah ini bukan saja memberi makanan percuma kepada mahasiswa, tetapi turut mendidik penuntut berganding bahu dengan pihak universiti sebagai sukarelawan. Inisiatif program juga katanya turut diperluaskan di luar kampus dengan pelbagai aktiviti sumbangan kepada golongan sasaran.

Dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, tumpuan tidak hanya kepada penduduk tempatan sebaliknya melangkau pelbagai komuniti yang memerlukan termasuk golongan pelarian.

“Masyarakat sekeliling menjadi pendorong saya kerana setiap orang mempunyai jalan cerita yang pelbagai. Saya suka dekatkan diri dengan masyarakat dan daripada situlah kita boleh mengetahui kisah kehidupan mereka.

“Saya menjadi semakin seronok dapat mengenali setiap orang yang dibantu dan membuatkan mereka gembira dengan sumbangan kecil yang kami berikan.

“Perkara yang paling tidak dapat dilupakan setiap kali menjalankan misi adalah apabila penerima manfaat datang memeluk dan mengucapkan terima kasih atas apa yang kami bawakan atau lakukan. Kegembiraan dan kepuasan setiap kali melihat wajah gembira mereka itu sukar untuk dinyatakan. Ini antara penguat semangat untuk saya meneruskan misi kemanusiaan ini,” katanya.

Katanya, meskipun bergelar pendidik, tidak menjadi penghalang buatnya bergiat aktif dengan program kebajikan malah peluang berjumpa ramai orang dari latar berbeza seperti anak Chow Kit, gelandangan, pelarian Syria, Somalia dan Rohingya, warga psikiatrik, autisme dan keluarga mangsa korban tsunami Aceh adalah pengalaman kehidupan yang sangat bermakna buat dirinya.

Mendengar kisah hidup mereka yang meruntun jiwa membentuk dirinya menjadi insan yang lebih baik, bersyukur dan menghargai kehidupan dan masyarakat sekeliling.

Menurut Shafezah, keluarga adalah tunjang utama yang memberi galakan dan sokongan untuk dia terus melakukan kerja kebajikan di dalam mahupun luar negara meskipun mereka tidak terbabit secara fizikal dalam kerja kebajikan.

“Harapan saya kini untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda mempunyai sikap peduli terhadap masyarakat sekeliling. Inilah yang saya tekankan kepada sukarelawan yang membantu saya dalam semua misi kami,” katanya.

Shafeza turut menasihatkan mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kerja kebajikan agar memahami apa pun perancangan dan mesti ada matlamat yang jelas.

Ini kerana kejelasan matlamat ini akan membantu untuk menjadikan sebarang program kebajikan kalis tekanan dan mampu dilakukan secara berterusan. Projek kebajikan sebenarnya tidak memerlukan modal yang banyak, hanya memerlukan semangat yang besar.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang melihat dan terbabit dalam misi kemanusiaan. Sebenarnya setiap orang boleh memberi sumbangan ini dalam pelbagai bentuk, fizikal, wang, masa, buah fikiran, tenaga, penyebaran maklumat juga rangkaian.

“Semua mempunyai habuan jika amal ini dibuat dengan ikhlas dan mengikut syariat Islam. Semoga semua amal kita diterima Allah dan menjadi pemberat kepada timbangan kita pada hari kiamat, hari yang tiada pertolongan dan perlindungan melainkan dengan amal kita dan rahmat Allah,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 5:30am
d