hati

Latih anak mengemas

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KENAPA selepas main tidak kemas balik? Bersepahnya rumah, penatnya ibu nak kena kemas semua ini! Itu antara rungutan paling biasa yang diluahkan hampir setiap ibu bapa apabila si kecil dalam fasa aktif bermain.

Sudah menjadi lumrah bayi dan kanak-kanak berusia sembilan bulan dan ke atas gemar bermain dengan apa saja barangan permainan dalam keadaan bersepah.

Ada ibu bapa yang ‘sakit mata’ melihat rumah bersepah dengan barang mainan anak. Oleh itu, ada yang mengambil pendekatan menyediakan bilik khas untuk anak bermain.

Ada pula yang tidak kisah dengan keadaan itu asalkan anak gembira dan tidak menangis. Bahkan, ada ibu bapa yang mengambil peluang mengajar anak mengemas semula barang mainan ke dalam bakul selepas habis bermain.

Ini adalah pendekatan terbaik tetapi ia bukan mudah. Perlukan kesabaran dan untuk melatih si kecil memahami konsep kebersihan, kekemasan, disiplin dan tanggungjawab.

Berkongsi mengenai situasi ini, Perunding Kanan Pendidikan & Keibubapaan, Nur Firdaus Abdul Razak berkata, bermain dalam suasana barang mainan berterabur adalah peringkat awal dalam proses pembesaran seseorang kanak-kanak.

“Seawal usia sembilan bulan, kebanyakan anak kecil sudah boleh duduk sendiri dan ia adalah tempoh permulaan mereka semakin rancak bermain dan membuat sepah.

“Ia sememang memeningkan ibu bapa khususnya bagi orang yang sangat mementingkan kekemasan. Ibu bapa yang bekerja juga akan mudah berasa tertekan apabila perlu berdepan dengan situasi itu setiap hari namun ada baiknya anda berlapang hati dan menerimanya sebagai lumrah kanak-kanak. Anda boleh mendidik anak secara perlahan-lahan untuk mengemas semula barang permainannya selepas selesai bermain dengan bersama-sama memasukkannya ke dalam bekas khas,” katanya.

Menurutnya, apabila anak sudah pandai, boleh minta dia lakukan sendiri. Pada permulaannya memang agak susah, namun ajar secara perlahan-lahan. Ajar anak untuk mengutip barang permainannya satu persatu dan masukkan semula ke dalam kotak atau bekas simpanan.

“Ibu atau bapa perlu menunjukkan contoh berulang kali kepada anak dan jangan sesekali memarahi atau memaksa sekiranya baru mengajar kerana anak anda perlukan masa untuk memahami, apatah lagi pada usia kecil.

“Jangan pula sekadar memberi arahan menggunakan ayat tanpa menunjukkan contoh kerana proses ini perlukan tunjuk ajar, contoh dan kesabaran,” katanya.

Katanya, letak kotak simpanan berhampiran ruang anak bermain dan pada tempat yang sama supaya anak tahu itu adalah tempat simpanan barang permainannya.

“Biarkan mereka masukkan barang permainan itu mengikut kemahuan mereka. Lumrah sekiranya apa yang dikemas anak anda tidak mengikut apa yang anda mahukan kerana mereka masih terlalu kecil untuk memahami maksud sebenar kekemasan dan bersih.

“Ibu atau bapa boleh membuat mimik muka teruja dan memuji usaha si kecil anda mengemas apabila siap proses itu, paling utama hargailah mereka,” ujarnya.

Menurut Nur Firdaus, soal mengemas itu adalah aspek kedua. Sekiranya ibu atau bapa mahu mengajar anak mengemas, ia bukanlah dengan harapan ruang itu dapat dibersihkan serta-merta.

“Perkara paling utama adalah membuatkan anak faham yang mereka perlu mengemas apabila membuat sepah.

“Ramai ibu merungut berasa penat hendak mengemas alat mainan yang bersepah namun berikan anak anda ruang untuk bermain dan ajarlah secara perlahan-lahan cara mengemas. Selepas anak mengemas, pujilah usaha mereka itu,” katanya.

Katanya, setiap ibu bapa perlu ingat anak bukanlah mesin yang sudah diprogramkan dan mereka perlu diajar mengemas yang ia termasuk dalam aspek berdikari.

“Mengemas barang ini termasuk dalam proses berdikari yang mempunyai banyak manfaat dalam pembesarannya. Terangkan kepada anak mengapa perlu mengemas semula selepas bermain.

“Walaupun anak anda masih tidak boleh bercakap, penting untuk memberi kefahaman kepada si kecil sebelum mereka mula bercakap,” ujarnya.

Menurutnya, anak yang berdikari dilihat lebih mempunyai keyakinan diri dalam pelbagai sudut kehidupannya.

“Semua tugas ini perlu dilakukan ibu bapa sebelum anak memasuki alam persekolahan iaitu sekolah rendah. Sangat sedih apabila ramai yang menyerahkan tanggungjawab mengajar perkara ini sepenuhnya kepada guru apabila si anak memasuki tadika.

“Hakikatnya, semua itu boleh mula diajar apabila si anak sudah boleh duduk sendiri. Ini semua adalah perkembangan anak-anak dalam membesar iaitu dalam konteks berdikari,” katanya.

Nur Firdaus berkata, malangnya, apa yang menyedihkan, kebanyakan anak generasi kini terlalu bergantung kepada gajet semata-mata yang menyukarkan golongan itu untuk cepat memahami.

“Belajar mengemas ini juga sebahagian daripada proses membentuk keperibadian anak. Berdikari maksudnya tidak bergantung kepada banyak sudut termasuk ibu bapa,” katanya.

LIMA SEBAB PERLU LATIH ANAK MENGEMAS

Meningkatkan kemahiran menggunakan deria

Waktu bermain adalah antara waktu yang paling banyak memberi pendedahan kepada anak kecil anda dengan penggunaan deria. Ajar anak secara perlahan mengenai proses mengutip semula mainan.

Meningkatkan kemahiran koordinasi

Pergerakan mengutip dan memasukkan satu persatu mainan ke dalam kotak memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi anggota badan terutama tangan dan kaki tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk mahir sepenuhnya. Bersabarlah!

Memupuk nilai berdikari

Membiarkan anak anda mengemas sendiri selepas selesai bermain dapat memupuk nilai berdikari pada diri si kecil tetapi pastikan juga anda mengawasinya.

Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang lebih baik

Ketika anak anda melatih diri untuk memasukkan semula barang mainan ke dalam kotak, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan dan kaki dengan baik.

Pembangunan saraf motor

Anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor. Mereka akan belajar sendiri cara mengutip, cara memasukkan mainan ke dalam kotak supaya tidak terkeluar. Semua ini akan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak anda.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 6:00am
d