hati

Contohi sikap arwah abah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SEKALIPUN sibuk dengan kerja hakiki sebagai pegawai sains di Universiti Putra Malaysia (UPM), minat dan kecintaan wanita ini terhadap kerja amal tidak menghalang dirinya mencuri sedikit waktu peribadi untuk menceriakan golongan memerlukan.

Tidak perlu mengeluarkan modal yang besar, apatah lagi menjelajah ke serata pelosok negara, sikap prihatin, kesungguhan, keinginan dan minat wanita ini membuktikan dia masih mampu menceriakan orang lain dengan cara tersendiri.

Selebihnya, bantuan rakan, kenalan media sosial dan sokongan orang ramai yang menjadi pembuka jalan untuk dia merealisasikan usaha murni, sekali gus mengukir senyum di bibir penerima.

Kata Musliyana Mansor, senyuman yang menguntum di wajah penerima bantuan setiap kali dia dan rakan sukarelawan turun padang menyempurnakan misi cukup berharga untuk dikenang.

Mengenali anak kelahiran Pontian, Johor ini secara dekat, Musliyana mengakui membesar dalam keluarga yang gigih bekerja.

Arwah bapanya dulu seorang tukang kebun di sekolah. Ada waktunya mengambil upah memotong rumput dan membuat rumah, manakala ibunya pula bekerja sebagai tukang masak di kantin kilang.

“Idea membantu orang susah datangnya daripada arwah abah sendiri. Walaupun hidup kami tidak mewah, abah suka membantu orang yang susah mengikut kemampuannya ketika itu.

“Abah mengajar kami tidak lokek berkongsi, waima dengan peminta sedekah. Kalau nampak saja peminta sedekah, dia akan letakkan duit di tangan saya dan menyuruh saya sampaikan kepada orang berkenaan.

“Mak juga pernah bercerita, semasa saya melanjutkan pengajian di UPM, mereka selalu naik turun bas di Puduraya. Abah pasti akan sediakan duit kecil di poket supaya mudah untuk dia berikan kepada peminta sedekah di tepi jalan.

“Ada juga kenalan lama yang berjumpa dan mengucapkan terima kasih kepada mak. Katanya arwah abah pernah hantar beras ketika keluarganya berada dalam kesusahan. Semua ini memberi inspirasi kepada saya melakukan kerja amal dan saya sangat berterima kasih kepada arwah ayah,” katanya.

Jelas Musliyana, pada awalnya dia hanya mengikut rakan membantu projek yang dianjurkan teman-teman. Dengan pengalaman itu, dia mula cuba mengetuai projek sendiri.

“Cuma, disebabkan kekangan kerjaya, projek amal ini saya laksanakan mengikut kemampuan saja dan tidak dilakukan sepenuh masa. Antaranya, Toys4Kidz oleh TwtUpCampus (2012), Baju Raya Project oleh Sukarelawan Projek Kasih (2014 hingga 2019), Putra Bakti Free Books and Toys (2018 dan 2019), Putra Bakti Freemarket Baju Raya (2019) dan Putra Bakti Street Library (2018 sehingga sekarang).

“Projek kebajikan yang pernah saya ikuti adalah program jualan untuk anak-anak autisme, program ziarah ke wad pediatrik, lawatan ke rumah kebajikan, menyediakan sumbangan makanan kering, telekung dan kain pelikat untuk golongan memerlukan, mengumpulkan dan menyalurkan permainan terpakai untuk kanak-kanak memerlukan, menyalurkan bahan bacaan ke lokasi sasaran dan membantu mangsa kebakaran.

“Alhamdulillah, kini saya aktif bergerak sebagai sukarelawan Putra Bakti UPM, Sahabat Masjid UPM dan Projek Kasih,” katanya.

Menurut Musliyana, dia seronok setiap kali dapat membantu golongan memerlukan dan memastikan bantuan yang dikumpul, sampai kepada golongan sasar.

“Saya banyak gunakan pengalaman dan kemahiran diri yang sesuai untuk melaksanakan tugas sukarelawan. Saya selalu ingatkan diri dan kawan-kawan yang kerja sukarelawan perlulah dibuat seikhlas hati tanpa mengharapkan ganjaran.

“Selain itu, pengalaman melaksanakan projek atau program pejabat juga banyak membantu dalam menguruskan sukarelawan serta menyelaras tugas kebajikan.

“Ada waktunya saya juga suka berkongsi pengalaman sebagai sukarelawan dan memberikan tunjuk ajar kepada sesiapa yang mahu berjinak-jinak dalam kerja amal. Saya seorang yang mementingkan kerjasama dalam pasukan.

“Saya percaya peranan setiap daripada ahli sukarelawan sama ada kecil atau besar adalah kunci kejayaan sesuatu projek. Bagi saya, kesungguhan itu datang sebab minat. Bila kita minat, perkara akan dibuat dengan seikhlas hati kita,” katanya.

Tambahnya, dia sudah mencuba pelbagai cabang kerja sukarela dan kebajikan, namun apa yang dibuat kini paling serasi dengan jiwa dan diri.

“Saya akan membantu setakat mana yang saya mampu saja. Biasanya kerja ini dibuat secara berpasukan atas dasar rasa tanggung­jawab atau keinginan untuk membantu masyarakat susah. Lagipun, saya bukanlah aktivis kemanusiaan yang aktif di lapangan. Memadai hanya buat ikut kemampuan tenaga dan masa saja.

“Begitupun, saya bersyukur. Keluarga terutama ibu tidak pernah berhenti memberikan sokongan moral yang tinggi dan doa untuk saya.

“Saya selalu kata padanya yang saya mungkin tidak dapat memberikan harta yang banyak untuk membalas jasanya dan arwah abah. Saya hanya mampu niat untuk sedekahkan pahala hasil daripada kerja sukarelawan dan kebajikan buat bekalan mereka di akhirat kelak,” katanya tersenyum.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 5:30am
d