hati

Reben Jalur Gemilang

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Reben bersilang cukup sinonim dengan kempen kesedaran kanser payudara. Asalkan ada simbol reben merah jambu, masyarakat mudah mengaitkannya dengan pelbagai kempen membabitkan wanita dan remaja perempuan.

Realitinya, terdapat sekurang-kurangnya 15 warna reben kesedaran yang diiktiraf di serata dunia. Majoriti daripadanya digunakan sebagai simbol menyokong kempen kesedaran kesihatan.

Cuma di Malaysia, reben merah jambu lebih dikenali berikutan penggunaan meluasnya dalam kempen kesedaran kanser payudara setiap kali tibanya Oktober. Reben merah jambu menjadi penyatu semua pihak dalam memberi sokongan kepada pesakit, bekas pesakit dan keluarga pesakit kanser payudara.

Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, reben dengan cetakan songkok dan kaca mata Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, berlatarbelakangkan Jalur Gemilang diperkenalkan sekali lagi kepada umum.

Reben unik ini dibawakan syarikat sosial, Projek57 tahun lalu untuk menghangatkan kempen Unity Ribbon bagi menyatukan kembali rakyat Malaysia.

Seiring kempen Unity Ribbon 2.0 Projek57 ‘Maka Kami, Rakyat Malaysia’ yang sedang berlangsung, Projek57 turut menganjurkan sesi dialog bertemakan #Undi18 dan Kesannya Terhadap Masa Depan Malaysia.

Ia bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan pemerkasaan belia di negara ini bagi mengatasi halangan dan menyerlahkan potensi penuh mereka.

Semua nilai teras ini dipercayai berupaya membentuk asas sosial dan menjadi nadi penggerak misi untuk menghidupkan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat, menimbulkan rasa bangga, ingin bersatu serta berdiri sebagai sebuah negara, sekali gus membantu kehidupan masyarakat kurang bernasib baik.

Lima ahli panel berkongsi pandangan sepanjang sesi dialog, antaranya Pengasas G25 dan mantan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Dr Azmi Sharom; mantan Presiden Entrepreneurs Organisation Malaysia, George Ang; pemimpin pelajar Universiti Malaya, Naznur Farahani Md Yusof dan graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Shangkharee Nadarajan.

Mohd Sheriff berkata, beliau bersetuju bahawa pembabitan belia dalam masyarakat penting untuk mendengar pendapat mahupun pandangan mereka.

“Masa depan kita terletak di tangan belia tidak kira lelaki atau perempuan kerana kedua-duanya memainkan peranan yang sama penting. Peranan kami adalah sebagai pembimbing yang sedia mendengar, jika mereka mahu memanfaatkan pengalaman kita,” katanya.

Hal itu disokong Dr Azmi yang nyata gembira dengan keterujaan belia terhadap Undi18. Beliau sendiri mengakui tertarik untuk mendengar pandangan dan aspirasi belia dalam dalam majlis dialog seumpamanya.

Pandangan positif turut dilontar George Ang. Katanya, negara memerlukan lebih banyak wacana dengan belia memandangkan golongan itu adalah sandaran untuk masa depan.

Bagaimanapun, Projek57 sudah memulakan kempen rebennya pada tahun lalu sebagai usaha melahirkan rakyat Malaysia dengan semangat patriotisme. Reben buatan tangan diilhamkan dari Jalur Gemilang itu melambangkan harapan, patriotisme dan rasa hormat kepada kepelbagaian.

Jika kempen tahun lepas menarik 165,000 rakyat Malaysia memakai reben ini, kali ini Unity Ribbon 2.0 berhasrat untuk menarik 200,000 orang. Reben ini juga memaparkan ikon Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman dalam warna emas.

Menurut pengasas bersama Projek57, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee, reben ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbangga menjadi rakyat Malaysia sambil menghayati kepelbagaian dan perbezaan supaya negara dan rakyatnya boleh bergerak ke hadapan sebagai satu.

Jelas Swee, dia faham betapa pentingnya semangat patriotisme kepada sesebuah negara. Berbekalkan semangat itulah mereka cuba menghidupkan kembali semangat kekitaan.

Tambah Syed Sadiq, tahun ini akan dikenang buat selamanya sebagai tahun perubahan bagi Malaysia dengan usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

“Kita mesti terus mengadakan dialog seperti ini supaya generasi muda boleh memahami bagaimana mereka boleh menyumbang kepada pembentukan negara, dan untuk menjelaskan pentingnya menghormati perbezaan supaya semua rakyat Malaysia boleh melangkah maju bersama-sama,” katanya.

Reben ini kini boleh didapati pada harga RM3 di kedai myNEWS.com di seluruh negara, restoran A&W dan cawangan am Pos Malaysia di setiap negeri. Lebih menarik, reben yang membawa maksud tersirat itu dihasilkan golongan belia - lelaki dan perempuan - yang bersama-sama mahu menjayakan projek penyatuan masyarakat sambil membantu golongan yang memerlukan.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 5:45am
d