hati

Elak makanan tertentu ketika hamil

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

MENJAGA diri saat hamil penting untuk kesejahteraan jangka panjang bagi ibu dan bayi. Bagi ibu muda yang masih tercari-cari perkara penting yang perlu diberi perhatian sepanjang hamil, semak panduan berikut.

Rujuk doktor dan pegawai perubatan bertauliah jika terdapat kekeliruan. Ini kerana setiap kehamilan berbeza untuk setiap individu.

1. Rancang rawatan antenatal

Penjagaan antenatal penting untuk kesihatan bayi. Pilih doktor yang akan menjaga anda dari awal untuk proses kehamilan sehingga melahirkan kelak.

Jika tidak, pilih klinik atau hospital terdekat yang boleh dirujuk setiap kali memeriksa kandungan.

2. Makan dengan baik

Tidak perlu makan untuk dua orang apabila hamil. Usah membazir membeli pelbagai produk makanan tambahan di pasaran. Makanlah ikut keperluan yang dicadangkan seperti dalam piramid makanan. Ambil diet sihat dan seimbang. Jangan mengabaikan sarapan pagi dan kawal pemakanan snek di antara waktu makan.

3. Pastikan makanan bersih

Lebih baik mengelak makanan tertentu semasa hamil kerana ia boleh merisikokan kesihatan bayi anda. Jangkitan Salmonella boleh berlaku disebabkan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak.

Listeria pula boleh menyebabkan keguguran atau penyakit yang teruk pada bayi baru lahir. Ia mungkin berpunca daripada keju lapuk matang yang lembut, seperti Brie dan Camembert, dan keju berurat biru, seperti Stilton.

Pakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman. Elakkan daripada makan daging yang kurang masak atau mentah. Cuci sayur-sayuran dan salad sebelum makan.

4. Ambil asid folik

Juga dikenali sebagai folat, ia boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi. Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk.

Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

5. Bersenam

Senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang diperlukan untuk menampung berat badan sepanjang kehamilan. Ia juga memudahkan anda untuk kembali balik ke bentuk badan asal selepas bayi dilahirkan.

6. Senaman Kegel

Adalah agak biasa bagi wanita mengandung atau yang sudah melahirkan anak untuk mengalami masalah tekanan inkontinens; apabila sedikit air kencing bocor akibat aktiviti tertentu, termasuk bersin, ketawa dan senaman.

Anda boleh membantu mengelakkan perkara ini daripada berlaku dengan melakukan senaman Kegel dan mulakanlah ini sebelum hamil atau semasa mengandung.

7. Kurangkan pengambilan kafein

Kopi, teh dan minuman jenis kola adalah perangsang yang sederhana. Walaupun bukti penyelidikan belum jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko bayi mempunyai berat badan lahir rendah atau meningkatkan risiko keguguran.

8. Rehat secukupnya

Keletihan yang anda rasakan pada trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu supaya tidak mengambil mudah masa rehat.

Tidur sekejap mungkin boleh membantu anda untuk kembali cergas sepanjang hari. Pastikan tubuh dalam keadaan tenang supaya emosi tidak dipengaruhi unsur negatif.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 5:20am
d