hati

Rekahan tumit, tapak kaki

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

CANTIK itu bukan hanya terletak pada rupa paras mahupun bentuk tubuh seseorang. Ini kerana kecantikan sebenar bersifat menyeluruh yang tidak hanya merangkumi fizikal, malah turut membabitkan tingkah laku dan keperibadian.

Namun, penilaian utama biasanya diletakkan pada keadaan fizikal dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Rekahan di sekeliling tumit dan sekitar tapak kaki memang tampak hodoh dan mencacatkan penampilan wanita. Apabila berada dalam keadaan ini, keinginan untuk menyarung kasut jenis terbuka sering kali terpaksa dilupakan.

Bagaimana pun ada juga wanita yang ‘selamba’ menyarungkan kasut terbuka walaupun menyedari tumit kaki merekah.

Namun, sama seperti busana, rata-rata wanita yang mahu menjaga penampilan tidak sanggup memakai kasut yang mendedahkan keburukan diri. Pastinya mereka sentiasa berusaha merawatnya.

Secara umumnya, apabila melihat kaki dan tumit pecah, dalam fikiran sudah dapat mengagak individu itu dalam golongan mana.

Individu kakinya bersih dan cantik pasti dalam kalangan mereka yang sentiasa menjaga kebersihan dan kesempurnaan kakinya termasuk tumit halus serta tampak kemerah-merahan.

Masalah tumit merekah boleh berlaku kepada sesiapa saja. Jika tidak menjaga kebersihan dan kesihatan kaki, ia mudah saja terjadi.

PUNCA MEREKAH

Perunding kecantikan, Emelia Roslan berkata, tumit merekah adalah masalah biasa. Ia berlaku apabila kulit pada tumit menjadi terlalu kering hingga menyebabkan rekahan.

“Lapisan kulit yang kering ini mula menjadi keras, secara perlahan-lahan menebal dan kasar yang akhirnya merekah.

“Berat badan yang perlu ditanggung oleh kaki ketika kita berjalan akan memberi tekanan kepada bahagian ini yang dipercayai menyebabkan tumit merekah. Ia biasanya berlaku pada individu yang banyak berdiri atau berjalan dalam jangka masa lama,” katanya.

Menurutnya, antara faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah itu adalah tidak melembapkan kaki secara tetap, mandi air panas terlalu lama hingga menghilangkan kelembapan semula jadi kulit.

“Selain itu, masalah rekahan tumit boleh terjadi disebabkan menggunakan sabun yang bersifat kuat dan mengeringkan kulit, keadaan cuaca yang terlalu sejuk, kerap memakai kasut bertapak nipis atau kasut terbuka di bahagian tumit atau memakai kasut tumit tinggi yang ketat.

“Kegagalan mengambil makanan seimbang juga mendorong kepada pemasalahan itu. Kekurangan nutrisi seperti vitamin, mineral, zat zink dan asid lemak Omega-3 boleh menyebabkan rekahan tumit,” ujarnya.

Antara makanan asas untuk amalan diet seharian bagi menambahkan khasiat dan mengurangkan rekahan pada tumit kaki ialah:

Makanan yang kaya dengan vitamin E seperti minyak sayuran, sayuran hijau, bijiran, gandum dan kekacang. Makanan yang kaya dengan mineral termasuk:

i. Kalsium: Susu, keju, yogurt, susu kambing, susu kacang soya, air mineral, ais krim, ikan, jus, bijiran dan brokoli

ii. Zat besi: Daging, ayam dan ikan, telur, sayur, kacang legum

iii. Zat zink: Tiram, ayam, ketam, kacang merah, yogurt, beras perang, spageti

iv. Asid lemak Omega-3: Ikan salmon dan bijirin.

CARA PENJAGAAN

Tambah Emelia, ada banyak cara untuk mengurangkan risiko berlaku rekahan pada tumit seperti yang disarankan di atas. Bagi individu yang mengalami masalah itu, jangan bimbang kerana kini ada banyak produk yang boleh membantu.

“Bagaimanapun, masalah tumit merekah ini boleh dirawat sendiri dengan menggunakan bahan yang ada di rumah.

“Antara bahan yang diperlukan ialah satu sudu makan garam, setengah cawan perahan limau (atau lemon), dua sudu makan gel petroleum, air suam dan batu kecil. Caranya, masukkan garam, sedikit perahan limau, satu sudu makan gel petroleum dan air suam dalam besen.

“Rendam kaki anda selama 15 hingga 20 minit. Gosokkan batu pumis pada kaki khususnya tumit dan bahagian tepi tapak kaki. Bilas kaki hingga bersih. Jika rekahan anda agak besar, anda mungkin akan terasa pedih apabila disapukan perahan limau,” katanya.

Menurutnya, kemudian, campurkan gel petroleum dan jus limau. Sapu adunan itu pada bahagian yang merekah, oleh kerana adunan sedikit melekit, disarankan memakai stokin sepanjang malam.

“Cuci kaki anda hingga bersih keesokan harinya. Ulang beberapa kali seminggu sehingga tumit menjadi lembut.

“Apabila tumit sudah lembut, rajinkan diri menyapukan losen supaya ia kekal lembap dan lembut. Ingat, rekahan pada tumit bukan saja boleh mencacatkan penampilan, tetapi ia juga membuka laluan untuk kemasukan kekotoran yang mendedahkan anda kepada pelbagai jangkitan,” ujarnya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 5:00am
d