hati

Busana lelaki juga perlu ikut tema

Oleh Siti Zarinah Sahib

MENCARI padanan sesuai untuk acara formal, ke pejabat atau majlis anugerah sememangnya memerlukan penelitian terutama untuk pakaian lelaki.

Walaupun zahirnya nampak mudah tetapi kebanyakan golongan Adam sangat cerewet dari segi potongan dan rekaan digayakan.

Memahami kehendak mereka mendorong Maswira Abd Majid mengeluarkan pakaian lelaki berkonsepkan kasual dan mewah.

Menurut Maswira, ramai beranggapan hanya wanita memerlukan busana mengikut konsep tertentu sebaliknya lelaki boleh memakai apa sahaja yang dikira sesuai.

“Sebenarnya lelaki juga perlu memilih mengikut tema. Misalnya pakaian jalan, pejabat, formal, permaidani merah, sukan atau makan malam.

“Semuanya memerlukan padanan berbeza dengan memberi tumpuan kepada potongan dan rekaan ditampilkan,” katanya.

Menekankan konsep sederhana, bergaya dan berada dalam kelas tersendiri, Maswira menterjemahkan rekaan mengikut cita rasa dan konsep yang diinginkan agar setiap padanan mengikut arus fesyen semasa. Pada masa sama, kehendak dan penampilan pelanggan juga menjadi inspirasi kepadanya dalam mengetengahkan rekaan.

“Apa sahaja rekaan, saya mahu ia sesuai dipakai sepanjang zaman. Misalnya baju polos menjadi kegemaran semua begitu juga jika bercorak, hiasannya hendaklah tidak keterlaluan,” katanya.

Mengambil ton warna yang sentiasa menjadi pilihan seperti merah, hitam, biru dan putih, pereka ini menggunakan daya kreativiti menghasilkan sut polos dan bercorak yang sesuai digayakan dengan denim dan slack.

Dia juga mengeluarkan kemeja-T tanpa lengan untuk mereka yang gigih bersukan atau bagi memenuhi gaya jalanan.

Untuk setiap rekaan dia sangat mementingkan pemilihan fabrik kerana lelaki mempunyai sifat lasak jadi dalam keadaan cuaca panas, material lembut dan menyerap peluh sangat membantu mereka kekal sempurna. Antara fabrik yang menjadi kesukaannya adalah jacquard, kain bulu campuran dan scuba.

Menyediakan padanan untuk sewaan, belian atau tempahan menerusi laman media sosial atau datang sendiri ke butik yang terletak di Pandan Indah, Ampang.

Pada masa akan datang, Maswira berimpian untuk mengembangkan lagi perniagaan pakaian sedia dipakai menerusi dalam talian serta mengembangkan hab fesyen dalam beberapa portal popular tempatan.

Selain itu, dia juga ingin memperbanyakkan lagi pakaian untuk disewa yang membabitkan untuk majlis anugerah, permaidani merah dan makan malam.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 5:10am
d