hati

Bantu biasa-biasa jadi luar biasa

Oleh Siti Zarinah Sahib

IA bermula dengan anak sulung wanita ini yang pada awalnya agak ketinggalan dalam pembelajaran. Namun Ruha Dani dan suami, Azmin Razali, tidak terlalu menekankan akademik semata-mata sebaliknya meraikan kelebihan dan kecenderungan anak mereka.

Untuk itu Ruha mula memberikan intervensi dan latihan minda sehingga lama-kelamaan anak ini menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.

“Anak saya dimasukkan ke kelas paling akhir kerana tidak pandai membaca walaupun sudah berusia tujuh tahun, namun disebabkan rangsangan minda yang kami berikan dia berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada usia 16 tahun. Malah ia dituruti adiknya apabila mendapat ijazah pada usia yang muda,” katanya memulakan bicara.

Bermula dari situ wanita yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Statistik, Matematik dan Sains Komputer ini mula memikirkan cara terbaik bagi membantu lebih ramai individu yang tidak berjaya dalam pelajaran tetapi mampu menyerlahkan potensi diri ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya mula menggali dan mengkaji bidang berkaitan kepelbagaian kecerdikan dan menemui latihan otak atau kuasa minda yang banyak dijalankan di luar negara.

“Kemudian secara profesional saya mengikuti kursus dalam bidang ini yang ditawarkan di Universiti Harvard, Kejurulatihan Pendidikan Minda di University of Brain Education, Korea Selatan dan beberapa lagi latihan berkaitan otak, neuroplastisiti serta neurogenesis,” jelasnya yang membuka Akademi Smart IQ pada 2013 bagi memberi pilihan kepada ibu bapa yang inginkan pembelajaran dalam sudut berbeza.

Katanya, sepanjang mengikuti latihan, dia sering terfikir mengenai anak orang Jepun dan Korea yang bijak serta memiliki peradaban yang tinggi. Daripada situ Ruha tahu mereka mengikuti latihan dan budaya hebat yang dipraktikkan.

“Melalui kajian pakar neurologi dan pendidikan, hasilnya kami adaptasi kepada modul yang lebih praktikal, agar ia dapat diguna pakai di peringkat sekolah. Kami berharap dengan pendidikan ini anak Malaysia juga boleh menjadi bijak pandai seperti mereka,” katanya.

Jelas Ruha lagi, menggunakan pendekatan dan teknik yang sama, dia dan suami berjaya membantu lebih 1,000 pelajar yang mempunyai latar belakang ‘biasa-biasa’ sehingga menjadi ‘luar biasa’ hanya dengan menyerlahkan potensi diri ke tahap lebih tinggi. Ada di antara pelajar berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Saya percaya setiap manusia mempunyai kepintaran dan kecenderungan masing-masing tetapi pendidikan masa kini mengukur hanya pada ukuran yang sama. Di dalam program asas akademi ini, kuasa minda potensi diri anak diasah dan dikeluarkan bagi menyerlahkan kebolehan diri setiap individu,” katanya.

SOKONGAN KELUARGA

Dibesarkan di dalam keluarga yang dipenuhi sifat berkasih sayang, menurut Ruha, dia sangat bersyukur kerana ibu bapa menyokong apa juga pilihan mereka adik-beradik. Mungkin disebabkan dia sendiri diajar berdikari sejak kecil menjadikan dirinya tidak lemah semangat dan sentiasa berusaha mendapatkan sesuatu.

“Ibu saya seorang yang lembut dan penyabar manakala ayah pemimpin yang tegas. Saya dididik berdikari sejak kecil. Sebagai contoh saya sudah mula menaiki bas ekspres sendiri dari Muar ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur pada usia 11 tahun.

“Saya juga mula bekerja secara sambilan ketika masih belajar dan diizinkan menyertai aktiviti lasak bagi menguji ketahanan fizikal serta mental sejak di bangku sekolah.

“Semua ini sangat membantu bagi membentuk jati diri menjadi individu yang kuat, bersemangat dan tidak mudah berputus asa. Semua ini datangnya daripada kekuatan minda dan aplikasikan apa yang dipelajari dan pengalaman di tadika saya,” katanya.

Kata Ruha, kedua-dua ibu bapanya menyokong penuh usaha dalam bidang pendidikan. Ini kerana ia diinspirasikan menerusi junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang tidak pandai membaca tetapi sangat hebat dan mulia akhlaknya. Jadi dilihat kehebatan seseorang bukanlah terletak pada intelektualnya sahaja sebaliknya pendidikan menyeluruh iaitu emosi, rohani dan kreativiti.

“Jika dilihat Rasulullah sudah mengadaptasikan ilmu kepelbagaian kecerdikan ini pada zaman kegemilangan dan kerasulan sebelum Barat mula melakukannya. Inilah yang kami cuba gabungkan yang diadaptasikan di sini dari cara didikan Nabi melalui kitab Tarbiyatul Aulad,” katanya.

Sebagai pengasas kepada pusat pendidikan swasta, semua kos termasuk penyelidikan dan operasi ditanggung sendiri. Cabaran utama adalah dari segi kewangan kerana banyak pelaburan digunakan untuk kajian dan latihan minda yang dijalankan di Malaysia.

“Kami perlu mendapat latihan dan rujukan di luar negara dengan kos yang sangat tinggi. Pendidikan pula bukanlah perniagaan yang besar keuntungannya. Jadi kami tidak memikirkan keuntungan sebagai asas utama sebaliknya menetapkan sebagai jihad untuk pembangunan ummah.

“Kami rasa terpanggil untuk membangunkan anak dan pemimpin masa depan yang bukan hanya bijak tetapi besar jiwanya. Alhamdulillah selain peringkat sekolah, kini kami sudah mula menerima jemputan dari syarikat korporat, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melatih pekerja dan penjawat kerajaan untuk latihan pembangunan dan sumber manusia berasaskan minda seperti program menambah baik neurosensori, pengurusan tekanan, keibubapaan minda, solat dan kajian sains,” katanya.

BUKA CAWANGAN LAIN

Ruha juga berharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepintaran yang bukan hanya diukur menerusi pencapaian akademik tetapi lebih luas skopnya. Sebagai persediaan anak dalam era kecerdikan buatan yang serba canggih ini perlu diterapkan kemahiran kemanusiaan, kreativiti, personaliti dalaman dan luaran, sosial, emosi, dan kemahiran kognitif.

“Pada awal penubuhan tadika ini, skop pendidikan hanya memberi tumpuan kepada anak bawah 17 tahun. Namun alhamdulillah, kami mempunyai beberapa modul yang boleh membantu orang dewasa dan korporat untuk meningkat potensi minda mereka sekali gus memperbaiki produktiviti kerja.

“Kami juga menekankan solusi menangani isu mental dan tekanan di tempat kerja dengan cara yang lebih berkesan berdasarkan kajian bidang neurologi di universiti. Dengan memahami ilmu ini ramai orang dapat menjalani hidup dengan lebih bahagia, berjaya dan cemerlang,” jelasnya.

Pada masa akan datang mereka berharap dapat memperluaskan ilmu dalam bidang kuasa minda ini ke seluruh Malaysia. Ini kerana ramai ibu bapa yang datang dari jauh seperti Seremban, Nilai dan Shah Alam ke Bangi, semata-mata memastikan anak mereka mendapat pendidikan berbeza.

“Insya-Allah memang ada perancangan untuk menambah cawangan tetapi masih dalam perbincangan kerana banyak perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan sebelum merealisasikannya,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 5:40am
d