hati

Jaga jahitan selepas melahirkan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

APABILA melalui proses bersalin normal tidak bermakna ibu boleh bersenang-lenang tanpa perlu memikirkan jahitan di perut kerana luka bersalin pada vagina turut memerlukan penjagaan rapi.

Paling mengerikan sekiranya jahitan pada luka itu terbuka semula mungkin atas sebab tertentu terutama kurang penjagaan.

Berkongsi tip yang boleh digunakan ibu sepanjang tempoh awal selepas kelahiran normal, Pegawai Perubatan Klinik Ibu dan Anak MBBS, Dr Farhanah Ibrahim berkata, dia banyak menerima rujukan kes luka bersalin yang terbuka dan terpaksa dijahit semula.

Menurutnya, terdapat satu kes seorang ibu yang baru bersalin tujuh hari dirujuk ke klinik dan apabila pemeriksaan dilakukan mendapati semua benang jahitan tertetas sebelum lukanya bercantum.

“Wanita itu sendiri mengakui mencuci luka itu menggunakan cecair antiseptik. Berkemungkinan cara itu tidak serasi dengannya atau cecair antiseptik itu tidak dilarutkan terlebih dulu hingga menyebabkan benang jahitan terhakis.

“Secara umumnya luka jahitan bersalin akan sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu. Benang yang digunakan itu akan larut sendiri tanpa perlu dibuang selepas luka sembuh,” katanya.

Namun Dr Farhanah berkata, setiap ibu yang melalui proses bersalin normal dan dijahit vagina itu perlu menjaga aspek kebersihan kawasan itu selain tidak terlalu bergerak aktif.

“Walaupun tidak melalui proses pembedahan, anda tetap dijahit yang memerlukan penjagaan khusus.

Luka akan mengambil masa untuk sembuh dan jangan sesekali mengabaikan penjagaan diri terutama dalam minggu awal selepas melahirkan anak,” katanya.

Dr Farhanah turut berkongsi beberapa panduan untuk menjaga jahitan di vagina selepas bersalin:

1. Jaga kebersihan luka

Bersihkan luka selepas setiap kali ke tandas. Alirkan air di tempat luka bagi mengelak jangkitan. Lalukan air bersih dan lap luka.

2. Dedahkan luka sekali sekala

Jika berpeluang, ambil masa dalam sehari untuk membiarkan luka terdedah supaya luka dapat melalui pengudaraan yang baik.

3. Rapatkan punggung

Rapatkan punggung ketika mengubah posisi untuk elak luka meregang.

4. Rendaman air garam

Ambil segenggam air garam dan larutkan dalam satu bekas air panas. Campurkan dengan air biasa supaya menjadi suhu suam dan tuangkan ke dalam besen. Duduk di dalam besen itu dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

5. Elakkan sembelit

Minum air secukupnya dua hingga tiga liter sehari dan makan makanan yang kaya dengan fiber.

6. Lakukan sedikit tekanan ketika membuang air besar

Tekan kawasan perineum dengan tuala wanita bersih ketika membuang air besar. Kerap meneran ketika membuang najis boleh menyebabkan luka meregang dan terbuka semula.

7. Senaman kemutan

Lakukan senaman kemutan untuk menguatkan semua otot pelvik yang mengembang sepanjang kehamilan.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 5:15am
d