hati

Serlah gaya klasik moden

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

MUAT naik swafoto pakaian untuk hari ini atau disebut OOTD (outfit of the day) bukan lagi fenomena baru dalam kalangan pengguna media sosial hari ini.

Tidak kira golongan muda mahupun di pertengahan usia, kebanyakan daripada mereka berkongsi gaya untuk tujuan suka-suka. Ada juga yang memuat naik gambar untuk kepuasan peribadi.

Namun jika dilihat kepada kepelbagaian gaya OOTD yang ditonjolkan, mereka sebenarnya membantu rakan-rakan menyesuai padan pakaian harian dan memberi idea berani dalam fesyen.

Tidak semestinya menggunakan pakaian baru dibeli atau mahal, jika kreatif dan kena pada gaya, OOTD mampu menyerlahkan penampilan seseorang serta keperibadian individu terbabit.

Bagi sesetengah individu, baju lama yang pernah digayakan ibu bapa dulu sesuai untuk diberi nafas baru. Bayangkan denim lama, blazer potongan besar dan jaket kulit yang popular sekitar era 90-an.

Padankan kembali setiap helaian ini dengan tambahan beberapa aksesori ringkas. Pasti terserlah gaya klasik moden yang kini kembali dalam dunia fesyen selepas melalui putaran masa.

Kata jurugaya, Ahmad Allif Firdaus Ahmad Latifi (Latifi), dia sengaja memilih jaket kulit dan skirt bercorak yang mencerminkan gaya fesyen kedua-dua ibu bapanya sewaktu muda.

“Saya padankan skirt bercorak dengan baju-T bersama sepatu bertumit potongan tinggi. Gaya ini diinspirasikan daripada ibu. Kemudian, tali pinggang dan rantai pinggul ditambah sebagai pelengkap gaya.

“Blazer hitam potongan besar sesuai dijadikan padanan tambahan untuk menukar gaya, mengikut kesesuaian majlis,” katanya.

Jelas Latifi, gaya kedua pula diinspirasikan daripada bapanya. Jaket kulit potongan longgar dipilih untuk disuaikan dengan celana denim rabak. Melengkapkan gaya ranggi ini, dia menggunakan skarf dan tali pinggang lebar.

“Ini gaya jalanan grunge. Saya sengaja pilih rona gelap untuk memberi mood dalam menonjolkan gaya pemberontak. Selalunya fesyen grunge menggunakan celana denim potongan tirus dan melekap tubuh atau ‘skinny’. Namun, saya tukar kepada konsep skirt untuk nampak lebih feminin.

“Kedua-dua gaya ini mudah digayakan, ringkas dan tidak lapuk dek zaman. Memandangkan ia fesyen jalanan, jadi bila-bila saja boleh dipakai. Lebih sesuai untuk wanita bertubuh sederhana atau kecil molek,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 5:10am
d