hati

Kenali perilaku anak

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MEMBENTAK, menjerit dan menggulingkan diri dalam khalayak ramai antara perlakuan anak yang mungkin pernah dialami sesetengah ibu bapa hingga ada yang bimbang hendak membawa anak mereka keluar ke tempat awam.

Ada ibu bapa melihatnya sebagai perkara biasa dan ia menunjukkan anak anda menjalani perkembangan normal malah tidak kurang juga yang mengeluh apabila berdepan dengan kelakuan anak yang dianggap mencetuskan masalah.

Memang tidak dapat dinafikan kalau boleh semua ibu bapa hendak mempunyai anak yang mendengar kata, malangnya tidak ramai yang berusaha untuk mendekati dan memahami perubahan dunia si anak. Untuk mengatasinya, ada beberapa perkara yang perlu difahami oleh ibu bapa antaranya:

1. Perkembangan kanak-kanak

Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan santun seperti orang dewasa kerana dia belum boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.

Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.

Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarahkan.

Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah beri anak makan pelbagai produk yang mungkin hanya memudaratkan mereka. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.

2. Pembawaan kanak-kanak

Setiap seorang dilahirkan dengan sifat semula jadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan, tidak cerewet. Ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada pula pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.

Sebagai ibu bapa kita perlu mengetahui kategori pembawaan anak supaya kita boleh memilih kaedah pengurusan yang bersesuaian untuk mereka.

Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza. Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami perwatakannya.

3. Fahami kecenderungan anak

Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana ke mari, mencuba itu ini, menyentuh hampir setiap benda yang dilihatnya, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah dihalang.

Apa yang perlu dilakukan ibu bapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatannya.

Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibu bapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.

4. Ibu bapa perlu sepakat dalam mendidik dan membesarkan anak

Ibu bapa perlu sepakat untuk menentukan kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.

Jika ayah berkata ‘Ya’ dan ibu juga perlu berkata ‘Ya’. Jangan ayah kata ‘Ya’, ibu pula sebaliknya kerana ia akan membuatkan anak keliru. Itulah yang menjadi punca utama anak tidak mendengar kata dan ibu bapa yang tidak memahami keadaan ini melabelkan anak sebagai ‘degil’.

Apabila anak keliru untuk mematuhi arahan ibu atau ayah, akhirnya dia akan mengikut kata hatinya sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.

5. Ibu bapa guru dan model terbaik anak

Anak adalah cerminan diri ibu bapa. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak kita?

Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Antaranya adalah bimbingan ibu bapa, persekitaran, rakan, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosinya, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.

Jangan berputus asa membimbing anak yang bermasalah dan sentiasalah berdoa supaya anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 5:25am
d