hati

Bantu anak kawal emosi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KETIKA usia kecil sehingga melonjak remaja, anak lazimnya sukar mengawal atau menguruskan emosi, terutama apabila berdepan pelbagai situasi luar jangka.

Boleh jadi, satu kesilapan kecil yang dianggap remeh oleh ibu bapa atau masyarakat sekeliling boleh mencalarkan emosi anak sehingga mengganggu kehidupan mereka.

Dalam kebanyakan kes, reaksi ibu bapa memberi pengaruh besar. Andai ada penerimaan positif, anak pasti berupaya bangkit. Tetapi, jika tersilap percaturan, anak mungkin berdepan tekanan, kemurungan dan akhirnya bertindak mengorbankan nyawa sendiri.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, anak yang mudah rasa bersalah selepas melakukan kesilapan, mengecewakan ibu bapa atau gagal dalam pelajaran menunjukkan dirinya seorang yang baik dan bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, perasan itu harus dikawal dan tidak menekan diri mereka secara berlebihan. Anak yang berada dalam situasi ini cenderung untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Berbeza dengan anak yang tidak punya rasa bersalah, mereka akan mudah selesa dengan diri dan sukar berubah. Ada waktunya, kalau dimarah ibu bapa sekalipun, mereka tidak rasa diri bersalah dan takkan berubah.

“Jadi, perasaan bersalah yang sedikit itu tetap perlu ada dalam diri setiap anak. Pastikan ia tidak melampaui batas sehingga melumpuhkan emosi anak, membawa kepada kemurungan atau mengganggu pergaulan dengan orang lain,” katanya.

KENALI ZON POSITIF, NEGATIF

Jelas Zaid, rasa bersalah dan malu dalam kalangan anak perlu dilihat dalam perspektif lebih luas dengan mengambil kira kesan dan kelebihannya kepada diri setiap individu.

“Dalam era moden kini, ibu bapa perlu lebih peka dan tahu jika anak dalam situasi malu atau bersalah. Ini penting kerana, jika ibu bapa gagal mengenal pasti keadaan, mereka mungkin menambahkan lagi beban perasaan anak-anak.

“Kita bimbang, jika ada di antara mereka yang bertindak melepasi batasan, anak tidak akan mampu untuk undur kembali dalam zon positif.

“Contohnya, kalau anak mengecewakan ibu bapa, tidak dapat keputusan peperiksaan yang baik atau rasa bersalah atas sesuatu perkara, ibu bapa kena hormati perasaan mereka. Beri sokongan dan galakan kepada perasaan itu. Keadaan itu akan buatkan mereka berada dalam zon positif.

“Tapi, jika ibu bapa bertukar jadi geram dan marah, melempar pelbagai tuduhan seperti malas belajar, tidak mengikut peraturan dan sebagainya, itu boleh membebankan perasaan dan jiwa anak sehingga mereka bergerak ke zon negatif,” katanya.

Keadaan boleh jadi bertambah buruk jika ibu bapa mengeluarkan perkataan yang melukakan hati anak. Tanpa sedar, mereka menghidupkan rasa dendam dan benci anak terhadap ibu bapa walaupun seketika.

ANAK MUNGKIN BUNUH DIRI

Kata Zaid, anak yang melintasi sempadan negatif dan positif sekali sekala mungkin tidak memberikan kesan jangka panjang. Tetapi, jika dibiar berulang dan menjadi kebiasaan, ia boleh membuatkan anak hilang keyakinan diri.

“Dua perkara yang ibu bapa perlu jaga walaupun sedang marah atau kecewa. Pertama, dia perlu sokong keyakinan diri anak-anak. Kemudian, pelihara maruah atau martabat diri anak.

“Jangan sesekali sentuh soal maruah dan martabat diri anak. Usah kategorikan anak sebagai melampau, tidak berguna, tiada harapan dan sebagainya. Ini semua membabitkan maruah.

“Ia boleh menurunkan keyakinan diri anak, membuatkan mereka rasa malu dan bersalah yang amat besar sehingga terhimpit dalam zon negatif. Anak akan rasa tertekan.

“Perkara sebegini juga biasa berlaku ketika usia anak sedang meningkat remaja atau dewasa. Emosi mereka terlalu mudah tersentuh dan belum mampu berfikir secara rasional. Mereka tidak seperti orang dewasa yang boleh mengawal perasaan dan mengaku kesalahan diri,” katanya.

Menurut Zaid, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai orang dewasa yang lebih matang untuk sentiasa mengawal perasaan dan bertindak rasional apabila berdepan ragam anak-anak.

“Cubalah untuk selalu berpegang pada konsep, anak-anak adalah cerminan diri kita. Anak yang selalu dijerkah, akan membesar menjadi pemarah; anak yang selalu diherdik, akan belajar mengkritik; kalau kerap dimalukan, dia akan jadi pemalu.

“Tetapi, jika anak selalu dipuji, dia pasti akan belajar menghargai; andai mereka kerap dibelai, dengan izin-Nya dia boleh jadi pandai. Semua ini cerminan diri ibu bapa dalam mendidik.

“Kalau kita sedar anak sudah mempunyai perasan bersalah dan malu, bantulah mereka untuk memahami perasaan itu. Tanyakan soalan dan berbincang dengan baik supaya mereka tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Tambahnya, konsep zon positif dan negatif penting untuk difahami bagi mengenal pasti malu sihat dan malu yang boleh melumpuhkan emosi anak-anak.

“Apabila konsep zon positif dititikberatkan, anak akan membesar menjadi seorang yang lebih kreatif dan sentiasa bersemangat untuk mengelakkan kesilapan sama terus berulang.

“Mereka akan belajar untuk sentiasa ke arah yang lebih baik, berhati-hati dalam pertuturan atau perbuatan dan menunjukkan teladan baik kepada orang lain.

“Namun, jika ibu bapa mendorong ke arah zon negatif, boleh jadi anak-anak diselubungi tekanan, tidak mahu keluar rumah atau berjumpa orang lain, murung, lebih suka mengurung diri dan menyalahkan diri hingga lumpuh emosi.

“Dalam keadaan ini, lazimnya anak akan terus kecewa, merasa diri tidak berguna, berputus asa, malu dan hilang keyakinan serta tidak mustahil mempunyai keinginan membunuh diri,” katanya.

PSIKOLOGI TERBALIK

Antara kaedah terbaik untuk mengukuhkan emosi positif dalam diri anak adalah dengan menggunakan pendekatan psikologi secara terbalik (reverse psychology).

Berbanding memberi arahan, mengugut atau memaksa anak melakukan perubahan, Zaid berkata, amalan psikologi secara terbalik mungkin lebih sesuai.

“Apabila anak rasa bersalah dan malu, kita tanya balik kepada mereka. Gunakan konsep soalan saja. Tidak perlu beri arahan atau jawapan dan biar mereka berfikir sendiri.

“Berikan mereka situasi dan tanya bagaimana mereka boleh pastikan ia tidak berulang dan apa pengajaran yang boleh diperoleh daripada tindakan mereka.

“Gunakan pendekatan psikologi secara terbalik secara bijak. Sebenarnya, setiap ibu bapa perlu tahu bagaimana menggunakan pendekatan ini supaya kita dapat jawapan dari hati mereka sendiri.

“Biasanya, apabila anak dalam rasa bersalah dan malu, mereka cenderung memberi jawapan ikhlas kalau ditanya dengan betul. Lebih dari itu, mereka mungkin bertekad untuk berusaha menjadi lebih baik. Kalau ini datang dari keinginan diri mereka sendiri, besar kemungkinan anak akan berubah ke arah positif,” katanya.

Satu lagi kaedah yang boleh diguna pakai adalah konsep memaafkan. Kata Zaid, memandangkan perasaan malu dan bersalah timbul dari kesan dari perlakuan seseorang, konsep memaafkan boleh menjadi pengubat jiwa.

“Tidak kira sama ada memberi atau memohon maaf, kedua-duanya mampu mengubat jiwa anak atau ibu bapa itu sendiri. Bagi anak remaja, kalau mereka ada melakukan kesalahan, mengecewakan orang lain, maka mohonlah maaf kepada orang terbabit. Mereka mungkin ibu bapa atau kawan-kawan.

“Jika anak remaja yang jadi mangsa, ajar mereka untuk memaafkan walaupun pelakunya tidak minta maaf. Kemaafan itu adalah hadiah yang tidak ternilai kepada diri sendiri.

“Walaupun orang tidak maafkan atau tidak minta maaf sekalipun, tapi kita ajar anak supaya berikan kemaafan. Dengan kemaafan, kita sebenarnya membebaskan diri dari belenggu rasa bersalah, rasa kecewa dan pelbagai perasaan negatif,” katanya.

Berbeza dengan anak yang masih kecil, kata Zaid, ibu bapalah yang patut mengambil peranan sama ada memaafkan atau meminta maaf.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:15am
d