hati

Solekan retro [METROTV]

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

TIDAK ramai wanita yang berani menonjolkan gaya retro pada majlis makan malam bertema. Majoriti terlalu memikirkan busana, penampilan gaya, mainan warna solekan dan sebagainya.

Sebut saja gaya 70-an, mereka terbayangkan gaun polka dot, busana sarat labuci, reben kepala, skaf, sepatu merah bertumit tinggi, dandanan rambut yang berbelah di tengah dan pemakaian pelbagai aksesori.

Solekan pula lebih kepada mainan warna redup di bahagian mata dan gincu merah menghiasi bibir. Segalanya mengikut mood zaman berkenaan.

Mungkin juga kerana drama dan filem lama banyak menonjolkan wajah pelakon yang cerah, rapi serta kemas, ramai menyangka solekan gaya retro memerlukan asas lebih tebal berbanding mekap biasa.

Secara tidak langsung, inilah yang memberi tekanan kepada wanita untuk tampil dalam gaya klasik ini. Mereka bimbang terhadap risiko timbulnya garis penuaan di wajah, sekali gus mencacatkan penampilan.

Namun, menurut juru mekap artis, El Manda Zuhairy (@ mandalicious_official), solekan retro sebenarnya sangat mudah, ringkas dan tidak memerlukan banyak kemahiran khusus.

“Asas paling utama untuk menyerlahkan hasil solekan ini adalah semburan penyegar, serum wajah, krim pelembap dan sapuan primer. Semua rutin ini harus diberi perhatian untuk memastikan solekan tampak sempurna dan kekal bertahan lebih lama.

“Fokus solekan pula terarah kepada bahagian mata dan bibir. Mata biasanya dilatari rona coklat perang dan diulang garis dengan teknik ‘smudge’.

“Kening dibentuk ringkas, manakala bibir pula biasanya disapu gincu dan pengilat rona merah terang untuk menaikkan seri wajah, sekali gus menghidupkan tema retro,” katanya.

Jelas El Manda, solekan retro sebenar tidak menggunakan teknik pembayang untuk membentuk wajah. Tambahan pilihan alat solek zaman dulu agak terhad berbanding kini.

“Jadi, untuk mendapatkan solekan retro yang asli, kita perlu ikut apa yang ada dan tiada di zaman berkenaan. Dengan cara ini, solekan nampak lebih asli dan unik.

“Orang dulu juga tidak menggunakan bedak asas yang tebal. Penggaris mata juga menampakkan sedikit kesan lorekan pensil. Secara keseluruhannya, solekan mereka nipis, tetapi menyerlah dengan perincian warna dan dandanan rambut bersesuaian,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 10:12am
d