itmetro

5 e-sukan dipertandingkan Julai ini

Oleh Hazril Md Nor

SYARIKAT Syarikat pengeluar minuman tenaga, Red Bull Malaysia (RBM) mengumumkan kejohanan e-sukan Red Bull Coliseum (RBC) musim kedua akan bermula Julai ini.

Pengarah strategi dan pelaburan Red Bull Malaysia, Jate Samathivathanachai berkata, RBM akan meneruskan pendekatan tahun lalu dengan membuka penyertaan kepada pemain dari luar negara.

"Lima permainan akan dipertandingkan antaranya Dota 2, Counter Strike: Global Offensive, FIFA 17, FIFA Online 3 dan Overwatch dengan hadiah terkumpul RM100,000, meningkat daripada RM50,000 pada musim lalu.

"Penyertaan terbuka kepada lebih 5,000 peserta yang mana separuh daripadanya adalah peserta untuk Dota 2. Selain itu, RBC turut membuka penyertaan kepada warga Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya di majlis pelancaran di Petaling Jaya, semalam.

Menurut Jate, pendekatan terbaru ini bagi memastikan pemain tempatan ditempatkan dalam kejohanan e-sukan sebenar dan kompetitif yang membabitkan pemain dari negara luar khususnya rantau Asia Tenggara.

Pusingan kelayakan akan bermula secara dalam talian pada Julai manakala acara utama akan diadakan pada Oktober ini.

Pendaftaran untuk RBC akan dibuka dalam masa terdekat dan ia lebih memfokuskan penyertaan daripada pemain dan pasukan amatur tempatan.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 11:59am
d