itmetro

TP-Link AC3150 cepat sambung

Oleh Afiq Hanif

Nadi kepada sambungan Internet tanpa wayar tentunya terletak kepada peranti yang membolehkan pengguna mencapai gelombang untuk menerima jalur lebar dalam kawasan setempat seperti di rumah atau kafe tertentu.

Apabila bercakap mengenai jalur lebar tanpa wayar, pengguna sering mengaitkannya dengan ‘router’ sebagai peranti utama untuk merealisasikan sambungan berteknologi hebat itu.

Namun kadang-kadang sambungannya tidak cukup jauh, apatah lagi kalau anda mempunyai rumah besar melebihi tiga tingkat atau dewan yang luas.

Sambungan Internet akan terputus-putus atau tidak mendapat keupayaan rangkaian yang penuh.

Oleh itu, anda perlukan sambungan berkuasa tinggi seperti TP-Link AC3150 Wireless MU-MIMO Gigabit Router.

Mana tidaknya, anda akan memperoleh kelajuan menjangkau 3150Mbps pada jalur 2.4GHz atau 5GHz.

Mungkin kebanyakan pengguna akan tertanya-tanya fungsi penggunaan model sebegini dalam kehidupan seharian kerana ada yang kurang arif dalam bidang teknologi.

Ia digunakan untuk menambah rangkaian dan subrangkaian tanpa wayar memandangkan kebanyakan pengguna memiliki lebih daripada satu komputer peribadi (PC) di rumah.

Contohnya, si ayah dan si kakak mempunyai laptop manakala si adik menggunakan PC yang memerlukan sambungan jalur lebar tanpa wayar bagi rangkaian Internet.

Jangan panik atau gusar apabila anda membeli produk ini kerana berpendapat pengetahuan teknologi maklumat (IT) anda sangat terhad kerana ia didatangkan siap seakan-akan ‘plug n play’, hanya pasang dan tekan butang on saja.

Pengguna hanya perlu mengikut penetapan yang dijelaskan dalam manual seperti yang dilakukan penguji dan anda akan dapat menetapkan konfigurasi hanya dalam masa kurang 10 minit.

Selain itu, model ini membenarkan anda menghubungkan banyak peranti sekali gus dalam satu masa atau hanya tambah hab untuk meluaskan sistem rangkaian sebanyak mungkin yang dikehendaki.

Warna hitam dengan reka bentuk empat segi mungkin biasa saja tetapi tidak pula menimbulkan rasa bosan seperti kebanyakan reka bentuk router lain di pasaran.

Produk ini sangat sesuai digunakan walaupun ia bukan peranti yang kerap diinginkan pelanggan dan mudah digunakan walaupun anda tidak berpengetahuan dalam IT.

SPESIFIKASI:

PRODUK: TP-Link AC3150 Wireless MU-MIMO Gigabit Router

PENGELUAR: TP-Link

PERTANYAAN: TP-Link

LAMAN WEB: www.tp-link.com

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 12:21pm
d