itmetro

Xiaomi Redmi Note 4 bagus

Oleh Afiq Hanif

Bagi individu yang mencari telefon harga patut, tapi mempunyai spesifikasi yang boleh dikatakan baik, anda mungkin mahu memilih Xiaomi Redmi Note 4.

Pada harga RM799 bagi model RAM 3GB dan storan dalaman 32GB, ia cukup baik dengan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow bersama MIUI 8.

Dijangkakan, versi ini menerima kemas kini Android 7.0 Nougat tidak lama lagi.

Bagi kebanyakan pengguna sekarang, skrin besar memainkan peranan penting dalam kehidupan apabila mereka memerlukan saiz sedemikian untuk berhibur, membaca atau melihat visual lebih jelas.

Oleh itu, membeli telefon yang mempunyai saiz skrin besar menjadi keutamaan nombor satu, cuma harga bagi model seperti itu mengekang bajet dalam poket.

Xiaomi mempunyai versi terbabit yang ternyata menawarkan pilihan kepada pengguna.

Bersaiz 5.5 inci HD penuh, Redmi Note 4 menjadi model versi murah berbanding phablet lain di pasaran.

IT@Metro berpeluang mengujinya dan ternyata pemprosesan Snapdragon 650 octa-core tidak mengecewakan dalam memacu operasi telefon walaupun penguji sendiri lebih menggemari cip Snapdragon berbanding Mediatek.

Digabungkan dengan RAM 3GB, ia menjadikan Redmi Note 4 berupaya membuka aplikasi kategori berat atau bermain game yang agak ‘hardcore’ tanpa masalah.

Cuma, ada kalanya apabila sudah sejam lebih menghadap telefon untuk bermain game, secara tiba-tiba berlaku sedikit ‘lag’.

Ia boleh diselesaikan dengan menutup beberapa notifikasi laman sosial dan anda boleh terus bermain tanpa masalah.

Apabila membelinya dan nasihat penguji, lebih baik mendapatkannya terus di laman Xioami sendiri kerana anda memperoleh kotak diperbuat daripada bahan kitar semula berwarna coklat.

Di dalamnya, ia datang dengan telefon, buku panduan pengguna dan kad waranti, pengecas USB output 2.0A, kabel mikroUSB serta bateri berkapasiti 41000mAh.

Skrin beresolusi HD Penuh 1920 x 1080 piksel ternyata memberi kepuasan terutama ketika menonton video.

Pada bawah skrin, terdapat tiga butang kapasiti berlampu.

Pada bahagian atas pula, anda mendapati lensa kamera 5MP bersama pembesar suara.

Kamera belakangnya 13MP siap dengan flash LED, namun bagi penguji ia bukanlah kamera terbaik, tetapi cukuplah kalau mahu merakam suasana atau menyimpan memori anda.

SPESIFIKASI:

Produk: Xiaomi Redmi Note 4

Pengeluar: Xiaomi

Ciri: telefon pintar dengan pengimbas cap jari

Pro: Harga murah

Kontra: Kamera kurang baik

Laman FB: XiaomiMalaysia

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:48am
d