itmetro

HP Spectre x360 lengkap

Oleh Afiq Hanif

Antara jenama yang penguji menaruh keyakinan tinggi sudah pasti HP dan dengan model Spectre x360, ia benar-benar membolehkan penguji membuat dua tugas yang biasanya sukar diperoleh.

Tapi harganya pasti melangkau kemampuan poket yang berharga kira-kira RM5,199 (jika menggunakan i5) minimum.

Namun dengan harga yang dipertaruhkan, pengguna perlu memperoleh peranti yang berbaloi kerana anda boleh memanfaatkan laptop ini untuk segala-galanya daripada bekerja 24 jam atau menonton rancangan kegemaran di YouTube, Facebook Live atau Netflix berjam-jam lamanya.

Apatah lagi kehadiran Spectre x360 yang datang dengan CPU Intel Core generasi ketujuh memang merubah suasana ditambah sistem operasi Windows 10 64bit memang langsung tiada ‘lag’ yang ketara.

Laptop ini sangat nipis malah ringan walaupun saiznya 13.3 inci. Ia dilengkapi skrin 1920 x 1080 piksel HP penuh.

Penguji mendapati ia dilindungi kerangka yang ultra ringan diperbuat daripada aluminium yang tahan lasak.

Melihat papan kekuncinya pun cukup memperlihatkan ketahanan ketika menaip bagi tempoh lama dengan bahan gentian karbon. Senyap pula ketika menaip.

Skrinnya pula boleh diputar 360 darjah bagi menjadikannya pelbagai guna dan menarik sekiranya pengguna sendiri mahu menukarnya kepada tablet.

Kebanyakan sambungan memang lengkap dengan HP Spectre x360, ia dilengkapi penyambung WiFi Intel 802.11 b/g/n/ac dan Bluetooth 4.2.

Bagi sambungan wayar pula, terdapat teknologi baru Thunderbolt 3 dengan kepantasan penghantaran data setinggi 40Gbps serta pelbagai guna seperti sesuai untuk pengecasan keluar dan masuk.

Ia juga mempunyai dua sambungan USB 3.1 dan satu USB Type-A 3.1 Gen 1.

Paling menarik, Core i5-7200U (turut datang dengan pilihan i7) dengan kepantasan 3.1GHz yang lebih pantas berkelajuan 3.1GHz Intel Turbo Boost dan disokong RAM LPDDR3 sebanyak 8GB.

Dari aspek pengguna bateri, laptop ini boleh memainkan video HD sehingga 5 jam pada skrin HD Penuh dan storan SSD manakala jika anda melakukan kerja dicampur sambungan media sosial ia boleh menjangkau hingga sembilan jam.

Bagi pelayaran Internet pula, segalanya beroperasi pada tempoh masa 10 jam dengan skrin HD penuh dan SSD.

SPESIFIKASI:

PRODUK: HP Spectre x360

HARGA: Bermula RM5,199

PENGELUAR: HP

CIRI: Laptop 2-dalam-1

PRO: Laju, nipis, bateri tahan lama

KONTRA: Harga tinggi

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 12:18pm
d