itmetro

Gajet ikut bajet

Oleh Afiq Hanif

Lagi seminggu raya berakhir, pasti ramai mengumpul segenggam duit raya bukan saja daripada pemberian mak abah malah saudara-mara terdekat.

Nilainya pula bukan sedikit tetapi mungkin mampu mencecah ratusan ringgit dan kalau ada berkemampuan, angkanya boleh mencecah empat digit. Maklumlah, pemberian sekali setahun.

Selepas anda memperolehinya, jangan lupa menyimpan tetapi ada juga yang berhasrat membelanjakan separuh atau suku daripada duit raya untuk membeli gajet diidamkan sejak sekian lama.

Namun begitu, ramai juga masih buntu memikirkan gajet yang bersesuaian dengan lebihan bajet dalam poket.

Bagi remaja berusia 16 tahun, Aiman Syafiq Mohd, beliau sentiasa menantikan musim raya untuk mengumpul duit bagi membeli keperluan aksesori seperti kasing telefon atau fon telinga model baru yang dijual di pasaran.

“Saya akan ketepikan sedikit duit raya untuk berbuat demikian.

“Biasanya saya akan memperoleh duit raya sekitar RM400 hingga RM500 tetapi hanya RM100 saja akan digunakan untuk membeli gajet baru di pasaran,” katanya.

Bagi murid tahun enam, Marisha Aisya Hamid, selepas memperoleh keizinan ibu bapanya, pada kebiasannya beliau akan mencari maklumat berkaitan gajet baru di Internet sebelum membelinya di kedai atau mendapatkan bantuan abangnya menempah di laman e-dagang.

“Duit raya yang saya perolehi mungkin tidak banyak, tetapi kalau ada lebihan saya akan cari game PlayStation yang baru di pasaran,” katanya.

Manakala bagi jurujual kedai gajet di pusat membeli-belah elektronik terkemuka di ibu kota, Zahariq Mohd Nor, 39, aktiviti pembelian selepas hari raya amat menggalakkan dan meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus.

“Kami sudah membuka kedai pada hari raya ketiga jadi ramai juga yang datang membelanjakan wang masing-masing membeli gajet.

“Sudah pasti telefon menjadi keutamaan, tetapi ada juga yang mahu mendapatkan aksesori tambahan,” katanya.

IT@Metro mencadangkan anda berbelanja secara berhemah berdasarkan bajet bersesuaian seperti di bawah:

Apa yang anda boleh perolehi dengan nilai ini?

RM50

1. Pemacu USB. Sangat diperlukan untuk tujuan penyimpanan dengan kadar kapasiti 16GB juga sudah boleh dibeli pada harga RM35 hingga RM40 yang boleh digunakan ketika memindah turun filem, lagu atau foto.

2. Tetikus game. Sudah pasti ramai yang bermain game jadi dengan harga semurah RM30 pun boleh memberikan gajet yang memuaskan hati.

3. Papan kekunci. Mungkin sudah tiba menukar papan kekunci komputer yang baru dengan harga RM49?

4. Set VR. Jenama ‘made in China’ berlambak di pasaran namun ada yang mempunyai kualiti baik untuk digunakan. Boleh dimuatkan untuk telefon pintar.

5. Beg kecil gajet. Ia bagi menyimpan semua gajet yang ada. Cari beg yang mempunyai beberapa ruang khas.

RM100

1. Set humidifier seperti yang berharga sekitar RM79 ke RM100 mengelakkan kulit anda menjadi kering dan menghasilkan inovasi membersihkan udara.

2. Jam pintar. Terdapat model murah namun mempunyai jaminan setahun yang kalis air. Ia dijual sekitar harga RM90 atau RM100 selepas diskaun di laman e-dagang.

3. Tripod. Model Keep Tripod dijual pada harga RM79 yang menyokong kamera dan mudah digunakan.

4. Bag laptop. Misalnya jenama Targus yang tahan lasak mempunyai dua ruang penyimpanan selain jaminan.

5. Mount tablet. Pastikan anda membelinya bagi memudahkan anda menonton filem dalam tablet pada jangka masa lama. Ia dijual pada harga RM79 dan boleh diputar 360 darjah.

RM200

1. Pembesar suara. Model Logitech menjadi pembesar suara tanpa wayar yang menarik bagi disambung ke telefon atau tablet ketika menonton filem atau menonton perlawanan bola sepak.

2. Telefon pintar. Jangan tak percaya jika ada model yang berharga murah namun spesifikasinya mungkin rendah pada pemprosesan dual core 1GHz, storan mungkin sekitar 16GB, RAM juga 1GB atau kurang di samping kamera 5MP.

3. Powerbank. Salah satu jenama di pasaran, ASUS dengan harga kurang RM200 untuk kapasiti sehingga 20100mAh.

4. Fon telinga. Model Sony yang menapis bunyi hebat juga boleh didapati pada julat harga ini cum ia mungkin model lama.

5. Projektor mini. Boleh didapati pada harga murah, jadikannya gajet baru menonton filem.

RM500

1. Tablet. Gajet yang sesuai untuk hiburan mempunyai ciri menarik pada harga kurang RM500 yang mempunyai skrin HD.

2. Telefon pintar. Pastinya ia pilihan pertama kalau ada duit lebih. Untuk harga ini, anda mungkin boleh mendapatkan telefon yang ‘ok’.

3. Sony PSP. Sekarang harganya mungkin sudah kurang tapi fungsinya masih relevan untuk kaki game.

4. Kamera kereta. Model baru seperti Xiaomi YiaoYi pun sudah cukup yang turut mengesan pergerakan selain lebih jelas pada waktu malam.

5. Pemain MP3. Model boleh dipercayai Sony NW-E394/R MP3 dijual pada harga RM400.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 1:52pm
d