itmetro

Moto M padat

Oleh Afiq Hanif

Baru-baru ini saya berpeluang menguji Moto M, sebuah telefon pintar Motorola yang saya kategorikan sebagai fon peringkat pertengahan berdasarkan RAM 3GB bersama pemprosesan MediaTek Helio P15 octa-core 2.2GHz 64 bit.

Secara ringkas, penguji sebutkan spesifikasi fon ini mempunyai rekaan aluminium, paparan HD penuh 5.5 inci sesuai bagi melayari laman sosial, bermain game dan menonton siri kegemaran.

Dalamannya lengkap storan 32GB tapi boleh ditambah dengan kad microSD hingga 128GB selain kenipisan 7.85 milimeter jadi tidaklah terlalu kembung poket anda dilihat dari luar.

Lagipun, harganya RM1,199 jadi janganlah terlalu mengharapkan ‘bulan bintang’ dalam fon yang anda pegang ini.

Berdasarkan berat 163 gram, ia lebih berat berbanding model K6 namun dapat difahami kerana faktor kapasiti baterinya menjangkau 3050mAh.

Bahagian kiri telefon dipadatkan dengan butang audio dan kuasa manakala kanan pula terdapat slot kad microSD serta kad SIM, biasa didapati pada fon biasa.

Audio dan port USB-C pula di bawah manakala kamera serta pengimbas cap jari pula di bahagian belakang.

Terdapat dua ciri utama yang saya tekankan iaitu paparan, kalis air serta kualiti audio Moto M.

Paparan Moto M bersaiz 5.5 inci jenis IPS menghasilkan resolusi 1080 x 1920 piksel ditambah densiti piksel sehingga 480dpi.

Tahap kecerahan yang ditetapkan sama ada rendah atau tinggi memang memuaskan ditambah ujian tekanan pada skrin dengan menyentuhkan berulang kali tidak mendatangkan masalah yang mengakibatkan fon ‘gila’ sebentar.

Saya tidak dapat memperoleh dengan jelas jenis IP untuk ciri kalis air namun setakat percikan air dan basah terkena hujan, penguji tidak melihatnya sebagai masalah namun belum berani mencelupnya dalam air.

Penguji tertarik dengan sistem audio Dolby Atmos yang menjadikan telefon ini sesuai untuk dijadikan platform menonton aplikasi strim sama ada anda memasang pembesar suara atau memuatkan fon telinga.

Cuma, apa yang mengecewakan saya apabila kemaskini Android 6.0 Marshmallow ke Android 7.0 secara tiba-tiba merubah kecekapan mengesan rangkaian 4G serta memberi sedikit kesan kepada kualiti audio.

Mungkin Moto mahu melihat perkara ini kemudian nanti?

INFO

MOTO M

• HARGA: RM1,199

• PENGELUAR: Moto

• CIRI: Telefon peringkat pertengahan

• PRO: Kalis air

• KONTRA: Kemas kini perisian

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 2:07pm
d