itmetro

Mula langkah dengan Kre8tif!

Oleh Afiq Hanif

Anda boleh lihat betapa kreatifnya rakyat Malaysia di Internet terutama di media sosial yang menyaksikan mereka menghasilkan video atau bahan digital lain sehingga ia menjadi tular.

Dari situ, ia menunjukkan kreativiti rakyat negara ini tidak terbatas dan lebih menarik tahap kreativiti terbabit boleh diterjemahkan kepada perniagaan. Pendek kata, buat duit!

Bermula tahun ini, ia seharusnya menjadi tahun menceburi industri kreatif terutama kepada pelajar yang sedang memilih kerjaya.

Ia perlu dimulakan sekarang memandangkan untuk mencapai kejayaan di dalam industri ini sememangnya boleh, tetapi mengambil masa untuk seluruh ekosistem supaya matang dan berupaya membantu satu sama lain.

Apatah lagi, kerajaan menerusi pelbagai inisiatif melaburkan lebih RM800 juta dalam industri kreatif sejak 2010 sebagai pemangkin untuk melonjakkan industri kreatif multimedia negara.

Jika berkecimpung dalam industri ini di Malaysia, anda sangat beruntung mempunyai akses pelbagai jenis bantuan daripada dana, pinjaman mudah, latihan dan pelbagai jenis bantuan lain.

Banyak hasil dapat dilihat menerusi pelbagai jenis filem, animasi dan permainan dibangunkan untuk dipersembahkan kepada pengguna di dalam negara, tetapi dilihat masih ada ruang boleh ditambah baik dan jurang itu amatlah besar.

Cuma di Malaysia saja kita agak kekurangan produk yang bagus jadi apa anda perlu lakukan ialah iltizam bagi merealisasikan produk bertaraf dunia.

Selain itu, platform seperti Kre8tif! menjadi tunjang malahan pemula kepada mereka yang mahu berjinak dalam industri ataupun yang sudah lama bertapak.

Berbekalkan semangat untuk mengembangkan industri kreatif di negara ini, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menganjurkan Festival dan Persidangan Kandungan Kreatif Asia Tenggara 2017 (Kre8tif!) yang akan diadakan 9 hingga 10 Ogos ini.

Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologinya Hasnul Hadi Samsudin, berkata persidangan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu mampu membuka peluang kepada industri tempatan.

“Kami jangkakan kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa mampu bekerjasama dalam pembangunan industri terutama untuk produksi bersama,” katanya.

Beliau memaklumkan persidangan terbabit menyasarkan seni, permainan, kesan khas dan media digital sebagai kandungan utama acara itu.

“Secara tidak langsung, persidangan ini mampu mempromosikan industri kreatif kepada penduduk tempatan dan negara asing mengenai keupayaan Malaysia dalam bidang ini,” kata Hasnul.

Katanya, persidangan dua hari itu membabitkan 36 penceramah.

“Industri di Malaysia memerlukan pendedahan dengan standard antarabangsa untuk menghasilkan produk yang bagus,” katanya.

Kre8tif! berupaya menjadi persidangan terunggul di Asia Tenggara yang membawa pelabur dan pemerhati ke negara ini.

“Ia membuka mata mereka betapa Malaysia mempunyai bakat,” katanya.

Beliau berkata, meskipun tenaga kerja mungkin masih terhad, ia bukan hanya berlaku di Malaysia.

“MDEC melakukan apa saja untuk mengasah dan mencari bakat dengan pelbagai program dan mula menjejaknya di peringkat rendah iaitu sekolah,” katanya.

Namun, beliau teruja dengan percambahan idea yang dimiliki rakyat negara ini tidak pernah kering sehingga mampu membangunkan harta intelek (IP) sendiri di rantau ini yang kukuh.

“Namun, banyak lagi perlu dilakukan dalam menyalurkan bakat yang bagus kepada syarikat layak dalam menghasilkan kualiti lebih baik,” katanya.

Industri kandungan kreatif sehingga 2016 berupaya menghasilkan pendapatan sehingga RM7.6 bilion untuk tempoh tiga tahun.

Malah, impak industri yang hebat mampu menghasilkan 10,913 peluang pekerjaan dalam sektor seperti animasi, permainan, VFX & media baru dan platform khas.

Jadi, Kre8tif! patut menjadi platform tiga peringkat iaitu perniagaan, bakat dan umum yang membolehkan ekosistem berjalan dengan lancar.

Ia juga penting buat negara apabila kandungan kreatif menyalurkan sebanyak RM9.55 bilon kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

“Sehingga kini, Malaysia mengeksport sehingga RM6.8 bilion kandungan kreatif,” kata Hasnul.

Kre8tif! menyaksikan nama besar seperti Disney, Cartoon Network, Google & YouTube, Les Copaque, Digital Durian, Animonsta, Animasia dan Wau Animation (Ejen Ali) yang menjadi tunggak menyalurkan idea.

Ini kerana mereka sudah pakar dan mampu memberikan idea kepada peserta.

Kemudian, masyarakat pula boleh menyertai aktiviti pada 11 dan 12 Ogos yang mana anda boleh menemui karakter seperti Boboiboy, Didi and Friends, Ejen Ali dan Chuck Chicken.

Kre8tif! akan dianjurkan di Cyberjaya Resort & Spa, Cyberjaya manakala festival yang dibuka kepada seluruh masyarakat pula akan berlangsung di TSI Sports Arena, Cyberjaya.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 2:21pm
d