itmetro

Perlu positif

Oleh Afiq Hanif

Kepantasan perkembangan teknologi memberi manfaat kepada manusia sehinggakan kita berupaya menikmati kemudahan perkongsian maklumat tanpa sempadan.

Perkongsian maklumat tanpa sempadan terbabit membuka peluang kepada pengguna menjadi pencipta kandungan.

Sesiapa saja boleh memindah naik status panjang lebar, menaip seakan-akan wartawan dan memuatkan video sehingga menjadi tular.

Namun, dalam kemudahan dan manfaat yang tersedia, adakah kesannya boleh menyebabkan keburukan menanti pengguna disebabkan kesukaran membendung penyebaran bahan tidak sesuai serta maklumat yang berunsur penipuan?

Kini pihak berkuasa berdepan cabaran untuk menyaingi perkembangan ini. Tugas mereka bertambah apabila perlu menyiasat kandungan tertentu yang saban hari tersebar di media sosial atau laman blog.

Malah, tekanan akibat kemajuan teknologi itu turut memberi tempias kepada medium media sebenar seperti akhbar, televisyen dan radio.

Belum lagi diambil kira jutaan pengguna Internet yang setiap masa berkongsi pelbagai maklumat dan bahan tidak sesuai di alam maya.

Sehinggakan ia menjurus kepada penyalahgunaan hak peribadi seseorang yang menjadikan teknologi itu semakin memberi masalah kepada pengguna.

Sekali lagi, apabila dunia tanpa sempadan kini menyediakan ruang kepada pengguna menikmati saluran maklumat dan hiburan dengan bebas di mana saja dengan Internet.

Ia sekali gus menjadikan kawalan terhadap bahannya bukan sesuatu yang mudah.

Oleh itu, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia diwujudkan di bawah Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) untuk membolehkan semua penyedia perkhidmatan televisyen, radio, pemilik laman web, penulis blog dan apa saja yang terpapar di media elektronik tahu apa batasan mereka dalam menyiarkan sesuatu.

Kalau dulu CMCF hanya untuk industri namun kini ia menjadi panduan kepada seluruh pengguna berdasarkan keupayaan mereka untuk memindah naik sendiri kandungan.

Pengarah Eksekutif CMCF Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan, berkata kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan iaitu kemudahan Internet yang dinikmati masyarakat seluruh dunia hari ini sememangnya menakjubkan.

“Teknologi semakin pantas namun pengguna terutama golongan muda mungkin tidak menyedari beberapa peradaban yang perlu dilindungi ketika menggunakannya,” katanya.

Katanya, dalam keseronokan menggunakan teknologi berkenaan, pengguna terutama golongan muda dinasihatkan supaya tidak sesekali memindah naik atau berkongsi sesuatu kandungan yang mungkin boleh menyinggung perasaan masyarakat atau individu lain.

Terdapat Seksyen 6 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kandungan yang dikongsikan hadir dalam pelbagai bentuk sama ada bunyi-bunyian, tulisan, gambar, video atau sesuatu persembahan.

Mustaffa berkata, kandungan juga boleh dihasilkan, dimanipulasi, disimpan, dijejaki atau dihubungkan oleh individu.

“Sebagai golongan paling ramai menggunakan Internet dan laman sosial, golongan seharusnya perlu lebih waspada,” jelasnya.

Katanya, apa saja kandungan yang dipindah naik atau dikongsi secara umum tidak boleh mempunyai unsur yang menyinggung perasaan orang lain.

“Apa yang anda muat naik atau kongsikan di laman sosial hari ini tidak akan hilang dengan mudah kerana ia mungkin akan memberi kesan pada masa depan.

Sebagai contoh, ketika bersembang di media sosial, semua maklumat diberikan kepada individu yang baru dikenali atau berkongsi sesuatu yang langsung tidak dipastikan kesahihannya.

“Keadaan ini boleh memaksa kerajaan bertindak. Jadi, jika mahu menggunakan Internet atau laman sosial, gunalah secara berhemah dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

CMCF pernah menganjurkan kempen ‘What You Do Sticks With You’ bagi memberi kesedaran kepada pengguna media sosial serta Internet mengenai kesan dan risiko yang bakal dihadapi terhadap perbuatan tidak wajar yang dilakukan.

Katanya, golongan muda harus belajar dan dididik untuk tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat di laman media begini kerana mereka adalah pemimpin negara pada masa depan.

“Kita tidak sekat kreativiti orang ramai termasuk golongan muda yang ingin menjadi ‘wartawan alam siber’.

“Namun, pastikan penyebaran perkongsian material atau apa yang dikongsikan itu tidak mengganggu dan menyakitkan hati orang awam.

“Jika kami menerima aduan, penyiar kandungan terbabit bakal berdepan risiko dikenakan hukuman mengikut akta yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata CMCF juga membuka talian untuk pengguna melaporkan serta memberi nasihat kepada mereka ketika berdepan masalah berkaitan kandungan.

“Baru-baru ini, saya sendiri menyelesaikan masalah seorang wanita yang tertipu dengan kandungan Internet sehingga mengakibatkan kerugian wang ringgit,” katanya.

Mustaffa berkata, CMCF akan menganjurkan kempen baru ‘Di sebalik wajah’ yang bakal dianjurkan September bagi mengelakkan masyarakat terlalu korup di sebalik Internet.

“Ia disasarkan kepada netizen yang mana pengguna dan ‘skrin’nya iaitu telefon atau TV dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa program dirancang bagi mencari rumusan dan mempromosikan kandungan yang bertanggungjawab dan positif.

“Kami mahu masyarakat menyebarkan kandungan yang memberi manfaat kepada orang lain dan bukan menyebarkan kandungan berbentuk fitnah,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 1:09pm
d