itmetro

Dulu Android, kini Essential

Oleh Afiq Hanif

Penembusan telefon pintar di Malaysia memang tinggi apabila terdapat lebih 17 juta pengguna peranti terbabit yang peratusan penggunaan telefon bimbit melangkau 120 peratus.

Terdapat pengguna iPhone dengan iOS mereka dan Android pula menguasai pasaran telefon pintar bagi sistem operasi (OS).

Tidak perlu penulis masukkan senarai Windows atau Blackberry kerana penguasaan peranti berasaskan OS terbabit mungkin menyedihkan.

Dalam keghairahan pengguna Android yang mendominasi telefon pintar sekarang, ramai tidak mengetahui sejarah penciptaan OS terbabit dan ke mana ia membawa kita pada masa depan.

Pengilang telefon pintar boleh berbangga dengan pelbagai ciri perkakasan seperti kamera, RAM dan pemprosesan namun tanpa OS, semuanya tidak bermakna.

Kecenderungan pengguna kepada teknologi membawa perubahan besar membabitkan industri telefon pintar sehingga lahir Apple iPhone yang dikatakan ‘otak’ kebijaksanaan penciptanya, Steve Jobs.

Namun, Jobs tidak keseorangan menghasilkan idea gila sehingga kedua-duanya laris di pasaran dunia kerana selepas peranti terbabit yang menggunakan sistem operasi iOS diperkenalkan, ada lagi pencabar setandingnya.

Jauh di Palo Alto, Amerika Syarikat pada Oktober 2003, empat individu iaitu Andy Rubin, Rich Miner, Nick Sears dan Chris White jenuh berfikir untuk menghasilkan peranti mudah alih pintar yang bukan sekadar mengesan lokasi semasa.

Maka, lahirlah syarikat Android Inc yang membangunkan perisian untuk telefon mudah alih sehingga organisasi terkemuka Google, pantas membeli syarikat itu pada Ogos 2005.

Keempat-empat individu terbabit masih kekal di Android Inc, tapi mereka tidak menyedari ia bakal menyaingi iOS suatu masa nanti (sekarang).

Malah Android kini mengambil alih status Nokia Symbian sebagai perisian telefon pintar paling popular pada suku keempat 2010 sekali gus menamatkan penguasaan Nokia dalam industri berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Kejayaan sistem operasi Android, sumber terbuka yang menjadi standard bagi sebahagian besar pengeluar telefon, menyaksikan Google sebagai perisian melampaui komputer untuk mengakses web.

Android adalah sistem operasi untuk peranti mudah alih seperti telefon bimbit, tablet dan notebook.

Ia dibangunkan Google berdasarkan sistem perisian Linux dan perisian GNU selepas pengambilalihan Android Inc sehingga terbentuk Open Handset Alliance, konsortium 34 syarikat telekomunikasi, termasuk Google, HTC, Intel, Motorola, Qualcomm, T-Mobile dan Nvidia.

Kini, pengasas bersamanya, Andy Rubin yang meninggalkan Google bergerak sendiri dan mencipta telefon pintar (Essential) namun mengekalkan OS Android di samping pengenalan sistem berasaskan Internet untuk segalanya (IoT), Ambient OS.

“Ramai yang bertanya kenapa saya memulakan syarikat Essential dan kenapa tidak hanya berehat dan mengelilingi dunia, menunggang motosikal, bersama robot atau hanya lepak kedai roti milik saya,” katanya Rubin.

Katanya, secara jujurnya beliau juga bertanyakan soalan yang sama, namun semuanya berlaku pada satu malam apabila berjumpa rakan lama dan berbual mengenai teknologi terkini.

“Malam yang semakin melabuh tirainya merancakkan perbualan sehingga bangkit persoalan mengenai teknologi sekarang yang semakin hilang pilihan.

“Lebih banyak ciri yang kita tidak guna pun ditawarkan dalam telefon pintar dengan pertambahan lautan produk yang langsung tidak bekerja antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Rubin, bermulalah Essential yang mahu menjawab semua persoalan dan merungkaikan masalah pilihan yang sepatutnya diperoleh pelanggan.

“Jadi, jurutera perkakasan kami mahu saya bercakap mengenai betapa ghairah dan semangat perlu diterapkan dalam produk baru.

“Jurutera perisian pula mahu saya bercakap mengenai visi pembuatan telefon baru meskipun bukan keseluruhannya direka kami, namun ia boleh beroperasi bersama tanpa halangan.

“Rakan kongsi pula mahu saya bercakap mengenai kunci kejayaan syarikat teknologi direka selamanya,” katanya.

Beliau berkata, semua yang dinyatakan di atas adalah sesuatu yang benar.

“Saya bertanggungjawab terhadap teknologi yang saya bangunkan dulu.

“Sebaik-baik Android dicipta untuk membantu membawakan teknologi kepada hampir semua manusia, ia juga mencipta dunia pelik baru yang mana masyarakat terpaksa bertarung untuk belajar mengenai teknologi yang sepatutnya memudahkan mereka, namun sebaliknya berlaku,” jelas Rubin.

Rubin bertanya, adakah ini yang dimahukan sejak penciptaan Android atau adakah ini yang paling bagus kita boleh lakukan?

“Saya tinggalkan malam di mana semuanya bermula dengan perasaan kecewa terhadap teknologi yang ada sekarang dan selepas itu saya mengambil keputusan untuk memulakan syarikat yang menggunakan kaedah abad ke-21 untuk manusia yang mahu hidup dalam abad ke-21,” katanya.

Hasilnya, Essential yang bukan saja mengenai telefon pintar, tetapi peranti yang dianggap hakmilik peribadi.

“Kami tidak akan paksa apa yang anda tidak mahu di dalamnya,” kata Rubin.

Essential juga membolehkan perantinya beroperasi dengan baik bersama peranti lain di samping bahan premium serta memberi definisi kesenian sebenar.

“Peranti tidak seharusnya ketinggalan setiap tahun, tetapi ia patut berevolusi bersama anda dan teknologi patut menjadi pembantu anda menikmati kehidupan ini,” katanya.

Selain itu, Rubin menyatakan perkataan ‘simple’ atau ringkas itu lebih baik.

Essential mempunyai jenama telefon baru, Essential Phone PH-1 dilancarkan di Amerika Syarikat menawarkan rekaan kemas dan cantik diperbuat daripada titanium serta seramik yang dilapis kukuh, tahan calar atau tidak mudah bengkok.

Ia menggunakan paparan 5.71 inci jenis QHD 2560 x 1312 piksel yang mampu direka pada kenipisan 7.8 milimeter di samping pemprosesan Qualcomm Snapdragon 835.

Essential Phone PH-1 akan menggunakan dwikamera yang mana ia beresolusi 13 megapiksel (dwi RGB+mono) ditambah 13 megapiksel (monokrom).

Kamera depan pula datang dengan resolusi 8 megapiksel dan berupaya merakam video pada format 4K.

Menggunakan bateri berkapasiti 3040mAh, ia datang dengan RAM 4GB selain storan besar 128GB jenis UFS 2.1.

Essential Phone memanfaatkan sambu­ngan USB-C dengan slot bahagian atas memung­kinkannya disambung­kan pada kamera 360 yang dijual berasingan.

Ia dijual pada harga kira-kira RM3,100.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 12:16pm
d