itmetro

DeX tukar fon jadi PC

Oleh Afiq Hanif

Jom kita lihat senario berikut, anda sedang menggunakan telefon pintar untuk melihat beberapa dokumen penting kemudian cuba mengingatinya bagi tujuan suntingan ketika dalam perjalanan ke pejabat.

Sebaik tiba di pejabat, anda mengaktifkan PC dan memasukkan kata laluan, membuka fail dan dokumen kemudian baru mencari fail yang mahu disunting tadi.

Apa kata jika anda gunakan penyelesaian DeX yang diperkenalkan Samsung. Dengan peranti seperti Samsung Galaxy S8 dan S8+ atau mungkin Note8 nanti, ia memberikan tambah nilai bukan saja pada reka bentuk UX tetapi perkomputeran lengkap.

Mana tidaknya, jika anda berada dalam senario tadi, apa yang perlu dilakukan hanyalah memasukkan fon anda dalam dok DeX merubah telefon pintar mereka kepada desktop dengan menyediakan ‘PC’ yang lancar, mudah alih, selamat dan mudah.

Samsung DeX menyediakan pengalaman desktop seperti berasaskan Android yang membolehkan pengguna untuk melancarkan aplikasi, menyunting dokumen dan melayari web pada skrin lebih besar.

Hanya masukkan S8 atau S8+ dalam dok DeX ini.

Antara muka yang dioptimumkan membolehkan pengguna untuk melakukan pelbagai tugas, menonton video dalam ‘windows resizable’, membalas mesej melalui bar tugas dan lebih terus dari telefon pintar mereka pada paparan yang lebih besar menggunakan papan kekunci dan tetikus.

Stesen DeX direka secara ergonomik untuk Galaxy S8 dan S8+ untuk memberikan pengalaman mudah alih yang berbeza, prestasi yang tinggi dan inovasi dari telefon pintar yang membolehkan pengalaman desktop dipermudahkan.

Semuanya boleh dilakukan dengan pemprosesan hebat dalam S8 dan S8+. Selain itu, teknologi USB-C Galaxy S8 dan S8+ membolehkan menghantar video dan imej ke monitor lebih pantas.

Bagi memulakan operasi Samsung DeX, pengguna hanya perlu sambung stesen DeX ke mana-mana monitor FHD (nisbah 16:9) yang menyokong paparan dengan port HDMI, Bluetooth, USB atau RF untuk papan kekunci dan tetikus.

Antara muka Samsung DeX mudah dilayari dan konsisten dengan kebanyakan desktop kerana ia menyokong papan kekunci dan tetikus yang membolehkannya beroperasi macam PC biasa.

Tambahan pula, dengan keupayaan untuk beralih antara aplikasi dan Windows yang cekap memang memudahkan.

Sementara itu, ‘Samsung DeX Home Screen’s Task Bar’ membolehkan pengguna untuk melihat aplikasi yang sedang beroperasi, manakala pemberitahuan pop-up di sebelah kanan bawah skrin memberitahu pengguna mesej yang diterima dan panggilan tanpa menghalang skrin.

Aplikasi dan perkhidmatan intuitif Samsung DeX membantu untuk memaksimumkan produktiviti dengan membenarkan pengguna untuk bekerja dengan lebih cekap di mana saja yang mereka mahu.

Sama ada anda sedang membuat perbandingan harga dalam laman beli-belah, menyunting gambar sambil membelek-belek galeri atau berbual dengan rakan sambil menyunting dek persembahan, Samsung DeX membolehkan semua itu dilakukan dengan cara yang lebih bijak selain mudah dan cepat.

Disebabkan hanya data di dalam telefon ini dipaparkan di skrin monitor dan tidak dipindahkan dari peranti mudah alih, pengguna enterpris akan berasa lebih terjamin apabila mengetahui maklumat adalah selamat apabila menggunakan Samsung DeX.

Dalam pada itu, setiap kali terhubung dengan stesen DeX, telefon pintar ini terus selamat dari sebarang ancaman siber menerusi platform Samsung Knox.

Stesen DeX dijual pada harga RM449.

INFO

SAMSUNG DEX

• Pengeluar: Samsung

• Ciri: Dek ubah telefon kepada PC

• Pro: Mudah guna

• Kontra: Mungkin boleh serasikan dengan Android lain

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 12:00am
d