itmetro

Mana pergi rasa kasihan?

Oleh Afiq Hanif

Hening pagi Khamis lalu menjadi petanda suram bagi sebuah pusat yang melahirkan penghafaz Quran.

Penggerak agama maut dalam kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur memang sesuatu yang menyedihkan.

Seawal jam 8 pagi, kebanyakan pengguna Internet sudah melihat gambar dan video kejadian di fon masing-masing.

Sudah pasti, ia meruntun jiwa apabila melihat sesuatu kejadian yang memberi kesan apatah lagi 23 nyawa melayang.

Lebih menyayat hati, lingkungan umur individu yang syahid itu masih muda. Kecuali dua ustaz yang turut meninggal dunia, kebanyakan mereka hanya belasan tahun malah ada yang semuda enam tahun.

Bukan soal kejadian yang penulis mahu nyatakan dalam artikel ini.

Seawal jam 12 tengah hari pada hari kejadian ketika mahu menikmati juadah tengah hari lebih awal memandangkan tugasan petang bakal muncul, bunyi telefon menandakan notifikasi membuatkan penulis yang sedang berjalan ketika itu berhenti.

Terpampang di skrin telefon penulis beberapa keping gambar yang mengejutkan daripada salah satu ‘group’ WhatsApp.

Gambar yang menyayat hati membuatkan tangan penulis sendiri menggeletar dan tidak meneruskan proses pindah turun gambar berikutnya.

Penulis mengambil keputusan memadamkan semua gambar yang diterima dari kumpulan WhatsApp terbabit.

Tidak sampai 10 minit, bunyi notifikasi tiba lagi dari satu kumpulan lain. Sekali lagi, penulis melihat imej yang sama.

Sedih dan sekali lagi penulis memadamkan foto yang disebarkan satu persatu.

Tidak sampai sampai 30 minit, lebih lima kumpulan yang penulis sertai mempunyai gambar sama di dalam sehingga imejnya mengganggu fikiran.

Sepanjang hari, imej terbabit tidak padam di fikiran dan ia bermain sehingga menjejaskan tumpuan penulis sendiri.

Bayangkan, jika penulis yang bukan dalam kalangan individu yang terbabit secara langsung dalam kejadian Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pun kurang selesa melihat imej yang disebarkan di group WhatsApp, apatah lagi keluarga 23 mangsa.

Kenapa gambar mangsa selepas kejadian terbabit perlu disebarkan? Apa motifnya mereka berbuat demikian?

Ia persoalan yang timbul di minda penulis. Perkara ini bukan kali pertama berlaku malah setiap kali kejadian malang menimpa, imej kurang selesa akan tersebar secara meluas seluasnya di media sosial.

Kemudian, ia akan disebarkan di kumpulan WhatsApp. Dari satu individu yang merakam hinggalah ke jutaan pengguna Internet melihatnya.

Saya tidak hairan dengan dapatan kajian Digital News Report 2017 oleh Institut Kajian Kewartawanan Reuters terhadap yang menunjukkan 51 peratus daripada 31 juta rakyat Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan berita berbanding negara seperti Brazil (46%), Chile (39%), Singapura (38%), Hong Kong (36%) dan Sepanyol (32%).

Dapatan itu sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia paling gemar menggunakan WhatsApp untuk mendapatkan berita berbanding penduduk di 35 negara lain.

Peratusan penggunaan WhatsApp di Malaysia itu juga untuk berkongsi atau berbincang berita dalam tempoh seminggu berbanding Amerika Syarikat yang hanya penggunaannya bagi tujuan sama, 3%.

Penggunaan keseluruhan WhatsApp di Malaysia adalah 77%, sekali gus menjadikan aplikasi berkenaan paling popular di negara ini berbanding FB (74%), YouTube (63%), Instagram (37%) dan WeChat (29%).

Angka terbabit memang tinggi namun untuk menyebarkan sesuatu yang menganggu fikiran menunjukkan penyebarnya juga seorang yang sakit. Mungkin sakit mental.

Sifat ingin menjadi orang pertama yang memperoleh dan menyebarkan berita perlu dihentikan dan ia perlu dihentikan serta-merta.

Kepada penyebar gambar yang mengganggu fikiran mengenai pusat tahfiz terbabit, tidakkah anda membayangkan perasaan keluarga mangsa yang menerima foto terbabit di telefon masing-masing?

Mana yang anda pilih, menjadi penyebar pertama WhatsApp atau menjaga hati keluarga mangsa?

Bayangkan jika ia berlaku kepada keluarga, adakah memindah naik gambar begitu membantu melegakan keresahan, ketakutan atau kesedihan akibat kehilangan insan tercinta sekelip mata?

Adakah imej itu adalah imej terakhir yang perlu keluarga mangsa masukkan dalam minda masing-masing berbanding bertahun-tahun wajah kegembiraan ketika masih hidup?

Jika ditanya kepada penulis, hanya tiga perkataan yang boleh dihemburkan iaitu ‘tak da kerja!’

Media sosial antara teknologi yang paling dekat penggunaannya dalam kalangan manusia namun penulis sendiri pasti pencipta asalnya bukan berkehendakkan penggunanya menyalahgunakannya bagi tujuan yang salah.

Ramai yang berlumba menyeleweng media sosial sebagai platform menjadi yang pertama mahu menyebar maklumat sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Tambahan lagi, gambar semua remaja yang dikatakan membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terus tular di media sosial biarpun polis sudah memberi amaran kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran maklumat dan gambar berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh memberi amaran supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan fakta kes dan gambar lelaki dalam balai polis yang dikatakan suspek kes itu dalam semua medium media sosial dan aplikasi mesej.

Menurutnya, ia perlu dihentikan kerana boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses perundangan mahkamah.

Jadi, mengapa masih berdegil? Apa faedahnya menularkannya?

Fikir semula, kewujudan laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain aplikasi sembang termasuk WhatsApp dan WeChat pada masa kini membolehkan sesiapa saja berhubung dan berkongsi maklumat tanpa batasan namun bukan menyebarkan sesuatu yang menjejaskan kehidupan orang lain.

Meskipun memberi kebaikan sebagai penghubung keluarga, rakan, jiran mahupun sesebuah komuniti, ia tidak terlepas sebagai platform penyebaran maklumat palsu, fitnah dan hasutan.

Penyebaran informasi tidak tepat turut menyusahkan pihak lain seperti penyebaran maklumat berunsur fitnah akan menjatuhkan maruah seseorang serta mengundang aib, penyebaran maklumat palsu menyusahkan pihak berkuasa untuk menyiasat selain yang berunsur hasutan boleh mencetus pergaduhan.

Pergaduhan pula bukan setakat secara fizikal namun berbalas komen di laman sosial pun turut menjejaskan emosi pengguna Internet.

Teknologi seharusnya menjadikan pengguna lebih berdisplin namun dan kalau berterusan begini, mungkin kita memerlukan sekolah khas hanya mengajar masyarakat makna kemanusiaan dalam arus digital.

Kerajaan sudah menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa penyebarnya bagi menyekat penularan maklumat tidak sahih namun nampaknya kesedaran masyarakat mengenainya masih lagi rendah.

Penyebar sekadar beralasan, ‘copy paste group sebelah bagi ‘menghalalkan’ perbuatan mereka dan terlalu cetek mindanya untuk memikirkan kesan kepada orang lain.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:07am
d