itmetro

Bothie Nokia 8 [METROTV]

Oleh Afiq Hanif

Nokia 8 menjadi model terbaru dan senjata kepada syarikat HMD Global mempertaruhkan ‘flagship’ di pasaran telefon pintar sekarang.

Fokus kepada kamera, Nokia mempunyai dwikamera di bahagian belakang sekali gus memungkinkannya merakam imej bokeh dengan latar belakang menarik yang memanfaatkan sepenuhnya sensor RGB dan monokrom.

Kamera juga memperoleh kerjasama Zeiss, bermakna teknologi Jerman terus menjadi nadi kepada lensa kameranya.

Anda mungkin pernah mendengar mod ‘Bothie’ baru yang menggunakan kedua-dua kamera depan dan belakang beroperasi serentak jadi anda boleh merakam mana-mana imej di belakang telefon serta wajah anda (kamera depan).

Selain itu, terdapat juga teknologi rakaman audio OZO 3D Nokia yang sepatutnya membolehkan video yang lebih imersif apabila anda merakam.

Reka bentuk Nokia 8 menjadi antara faktor lain pembelian fon ini apabila ia telefon paling cantik ketika ini dalam kalangan jenama Nokia.

Reka bentuk unibodi aluminium dengan bahagian sisi membulat ke belakang menjadikannya selesa ketika dipegang.

Mereka yang mempunyai tangan yang lebih kecil juga selesa dengan peranti dilengkapi skrin 5.3 inci jenis panel LCD yang mempunyai resolusi QHD dan kecerahan 700, sangat tinggi untuk telefon pintar.

Ia bermakna paparan telefon anda mudah dilihat walaupun dalam cahaya matahari yang terang.

Menonton video memang kelihatan cantik pada Nokia 8 walaupun pada saiz skrin kecil sangat sesuai untuk menonton video tular di Facebook atau kandungan YouTube dengan fungsi HD.

Di bawah skrin terdapat pengimbas cap jari di antara dua butang navigasi dan berada dalam kedudukan yang mudah dijangkau. Sekali sentuh saja sudah boleh mengaktifkan telefon walaupun butangnya kecil.

Nokia 8 bukan kalis air tetapi ia kalis percikan jenis IP54 yang bermakna anda dapat menggunakannya dalam hujan tanpa perlu bimbang.

Bateri Nokia 8 berkapasiti 3090mAh. Ya, memang nampak kecil saja untuk beoperasi pada skrin QHD dan Qualcomm Snapdragon 835 tetapi mengejutkan apabila ia cukup lama untuk bertahan pada penggunaan aktif.

Bercakap mengenai kamera, tiga kamera iaitu depan dan dua di belakang semuanya beresolusi sehingga 13 megapiksel.

Gabungan RGB dan monokrom perlu menghasilkan imej yang berkualiti dan setakat ini ia belum mengecewakan.

Manfaat Bothie pula sehingga kini boleh dilakukan pada Facebook (misalnya Facebook Live) dan YouTube Live jadi cuba ambil peluang terbabit untuk berkreatif.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 2:20pm
d