itmetro

Neffos X1 Lite

Oleh Afiq Hanif

Anda mungkin memerlukan telefon namun sebaik menyeluk kocek mungkin mengeluh kerana bajet tidak mengizinkan.

Tidak dinafikan, banyak telefon di pasaran tetapi harga dan spesifikasi yang diinginkan melangkau RM1,000 ke atas.

Dengan hanya RM499 anda sudah boleh mendapatkan fon yang sesuai untuk kegunaan sekarang namun janganlah terlalu berharap sesuatu yang bombastik.

Neffos X1 Lite adalah pilihan yang juga adik kepada Neffos X1. Bersaiz 5.0 inci jenis 1280 x720 piksel untuk skrin depan yang turut dilengkapkan pemprosesan MTK MT6750 (4 x Cortex-A53 1.5GHz + 4 x Cortex-A53 1.0GHz).

Pada harga terbabit juga, anda memperoleh sebuah fon yang dilengkapi pengimbas cap jari untuk operasi lebih mudah.

Setakat yang diuji, kesinambungan RAM 2GB yang kecil dan pemprosesan terbabit mampu mengelakkan fon kerap ‘lag’ pada penggunaan yang aktif.

Boleh dikatakan, ia menjadikan operasi telefon beroperasi lancar dan menjimatkan bateri.

Selepas menggunakan beberapa minggu, penguji mendapati Neffos X1 Lite membolehkan anda menggunakan telefon untuk pelbagai keperluan seperti bekerja, melayari laman web dan bersosial.

Elakkan bermain game yang terlalu berat namun setakat Mobile Legends, teruskan usaha!

Jika dilihat pada RAM sebanyak 2GB dan storan 16GB mungkin tidak dapat diperoleh dengan harga di atas ditambah pula kelengkapan pengimbas cap jari yang pantas iaitu kurang 0.2 saat.

Kamera pula lain ceritanya, Neffos bekerjasama dengan Sony dalam menghasilkan kamera 13 megapiksel yang merakam imej pantas.

Mungkin kualiti terhasil daripada telefon ini agak biasa namun dengan harganya, ia masih berbaloi.

Penguji mendapati ia boleh tahan walaupun ada sedikit ‘noise’ yang mengganggu dan kamera depan pula, 5.0 megapiksel dan bersedia untuk rakaman swafoto.

Satu lagi yang mencuri tumpuan ialah ketahanan bahan buatannya. Sengaja penguji membaling telefon ini ke dinding dan ia hanya menghasilkan sedikit calar.

Tiada ‘kemek’ serius pada telefon dan ia beroperasi seperti biasa.

Memegang di tangan lebih selesa dengan lengkung di sisi pada bahagian belakang memang cantik dan menawan.

Masuk poket pun tidak begitu tersembul. Menariknya fon ini pernah terjatuh dari poket penguji namun tiada kesan yang ketara.

Rekaan ergonomik itu sangat penting kepada pengguna dan tahap kenipisan 8.5mm bagi X1 Lite mungkin biasa saja.

NEFFOS X1 LITE

• PENGELUAR: TP-Link

• CIRI: Telefon pintar 5.0 inci

• PRO: Harga murah

• KONTRA: Perlu aksesori pihak ketiga

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 1:10pm
d