itmetro

Google gegar dunia

Oleh Afiq Hanif

Google Inc, sejarahnya bermula apabila dua individu Larry Page dan Sergey Brin mengasaskannya pada 7 September 1998 yang ketika itu hanya fokus kepada perniagaan enjin carian Internet mampu mengubah dunia.

Ketika itu, idea terbabit seakan-akan tidak munasabah, namun selepas 19 tahun, siapa sangka syarikat perisian mampu pergi jauh dan kini mempunyai pendapatan RM388 bilion pada 2016 saja.

Google pernah ditawarkan kepada Yahoo Inc dengan harga RM4.3 juta, tetapi ditolak kini sudah mencecah berbilion dolar, manakala syarikat yang menolak tawaran itu kini lumpuh sejak kehadiran Google.

Kejayaan mereka menjadi sebutan apabila mencetuskan idea untuk mengumpulkan segala maklumat di satu tempat yang jika diperlukan, pengguna hanya duduk di depan komputer dan menaip apa saja melalui enjin carian Google serta dalam sekelip mata, semuanya berada depan mata.

Pada 2006, Google membeli saham laman strim video paling popular, YouTube bernilai RM7 bilion, sekali gus menjadikan mereka jutawan ke-13 dan ke-14 di Amerika Syarikat (AS) menurut senarai Forbes ketika itu.

Kini pada 2017, syarikat terbabit mengorak langkah lebih maju apabila cuba pula menyaingi dunia teknologi dengan perkakasan.

Kita sudah menyaksikan Google Glass, Google Cardboard, Google Car dan beberapa teknologi lain dalam pembikinan, namun jika anda perhatikan secara tidak langsung syarikat Page dan Brin terbabit sebenarnya sedang merubah dunia.

Jika Android yang turut dibeli menguasai pasaran sistem operasi telefon pintar sekarang, pengumuman Google sejak sebulan dua ini agak menggemparkan.

Lihat saja pada pembelian RM4.62 bilion syarikat pengeluar telefon pintar, HTC Corporation (HTC) untuk pasukan pekerja HTC yang terbabit dalam pembangunan model telefon Pixel.

Perjanjian itu sekali gus membolehkan Google menyerap 2,000 pekerja selain memperoleh lesen bukan eksklusif terhadap harta intelektual (IP) HTC.

Bagaimanapun, HTC akan tetap terbabit dalam pengeluaran produk telefon pintar.

“Bagi Google, perjanjian ini terus mengukuhkan komitmennya kepada telefon pintar dan pelaburan keseluruhan dalam perniagaan peranti sedang membangun,” kata Google dalam satu kenyataan.

Google dan HTC mempunyai sejarah kerjasama panjang dalam pembangunan bersama produk Android.

Kali pertama, kerjasama mencipta peranti HTC Dream yang turut menjadi telefon pertama Android pada 2008, selepas beberapa bulan Apple memperkenalkan iPhone.

HTC akan terus membangunkan telefon pintar dan dikhabarkan bakal mengeluarkan model baru tidak lama lagi selepas kejayaan HTC U11 beberapa bulan lalu.

Syarikat sama juga sedang memperkemaskan model realiti maya mereka melalui Vive dan kini memasuki teknologi masa depan membabitkan Internet untuk segalanya (IoT).

Minggu lalu, tumpuan diberikan kepada beberapa produk baru Google yang menyaksikan mereka benar-benar mahu menguasai barangan elektronik bermula daripada telefon pintar hingga perkakasan rumah.

Google Pixel dan Pixel 2 XL misalnya menjadi cubaan kedua Google dalam menerajui segmen telefon pintar selepas model pertama mencuri tumpuan.

Lawannya hanya satu, Apple! Sebab itu Pixel dan Pixel 2 XL yang membuang jek audio 3.5mm daripada rekaannya.

Meskipun Malaysia bukanlah negara tumpuan syarikat terbabit, fokus pasaran termasuk negara jiran maju seperti Singapura menunjukkan Google sudah bersedia dan tidak mahu berdiam diri sekadar projek biasa saja.

Kamera Pixel 2 juga memperoleh penambahbaikan dengan sensor lensa 22 megapiksel bersama apertur f1.8 dan penstabil imej optikal (OIS).

Pixel 2 dimampatkan dengan skrin 5 inci HD penuh AMOLED manakala XL datang dengan skrin 6 inci QHD+ OLED.

Kedua-duanya didatangkan dengan Qualcomm Snapdragon 835 bersama RAM 4GB yang turut mempunyai pilihan storan 64GB atau 128GB.

Model Pixel 2 mempunyai kapasiti bateri 2700mAh manakala XL berkapasiti 3520mAh.

Dari aspek perisian, kedua-duanya menerima sistem operasi Android 8.0 Oreo selain kalis air serta debu pada sistem IP67.

Menurut Google, tempoh mengecas selama 15 minit sudah cukup membolehkan operasi telefon sehingga tujuh jam.

Pixel akan mempunyai pilihan warna biru, hitam atau putih manakala XL hanya dengan dua warna iaitu hitam atau hitam+putih.

Harga paling minimum ditawarkan ialah kira-kira RM2,725 bagi Pixel 2 manakala XL pula bermula pada harga RM3,565.

Google cuba menawarkan kekuatan Apple iaitu ekosistem yang bersepadu membolehkan pelanggan tidak mahu beralih arah dari Apple.

Oleh itu, pengenalan produk lain seperti Pixelbook sememangnya sangat bertepatan selepas Google sendiri tidak menyambung Chromebook pada tahun lalu.

Pixelbook yang dijual bermula pada harga kira-kira RM4,300 mempunyai rekaan yang nipis, aksesori tambahan seperti Pen dan sudah pasti datang dengan Chrome OS.

Selepas hampir 10 tahun, Apple mengekalkan perniagaan Mac untuk pelajar yang menggunakannya di sekolah dan terus menggunakannya selepas tamat pengajian dan memulakan karier.

Google juga mahu memulakan langkah sama. Pengenalan Pixelbook membolehkannya memasuki pasaran laptop bernilai RM4,300 ke atas yang kini 20 peratus daripada jumlah keseluruhan industri.

Pixelbook datang dengan pemprosesan minimum Intel i5 Kaby Lake tanpa kipas dengan saiz 12.3 inci.

Kemudian, ia menawarkan Pixel Buds, fon telinga tanpa wayar yang menyaingi AirPods (Apple) sesuai untuk pembeli telefon pintar Pixel 2 dan Pixel 2 XL yang datang tanpa jek audio.

Pada harga kira-kira RM683, Pixel Buds berbentuk bulat memang nampak ‘cool’ lengkap dengan kasingnya sendiri.

Matlamat sebenar Pixel Buds sudah pasti membantu satu lagi produk Google iaitu Google Assistant yang membolehkan arahan suara menerusi mesin menjadi realiti.

Google Clips, satu lagi produk yang lebih kepada kategori kamera aksi dicipta berdasarkan resolusi 12 megapiksel pada lensa 130 darjah sudut pandang mampu merakam sehingga 15fps imej dalam storan dalaman 16GB.

Ia kemudian boleh dipindahkan secara terus menggunakan sambungan WiFi yang pantas turut menyokong model telefon lain seperti iPhone dan Samsung.

Satu produk yang meneruskan potensi arahan suara termasuk pembesar suara Google Home Mini dan Google Home Max.

Pada harga kira-kira RM180, Google Home Mini mengesan suara apabila anda menyebut ‘OK Google’ atau ‘Hey Google’ boleh dicas menggunakan sambungan microUSB.

Google Home Max agak menarik apabila pembesar suara stereo pada harga kira-kira RM1,400 terbabit boleh didirikan secara menegak atau melintang dan peka pada Google Cast diletakkan di mana-mana ruang rumah.

Daydream baru, alat VR yang dikawal oleh Google bagi membolehkan anda meneroka dunia baru, menonton filem VR sendiri serta bermain permainan dengan aksi yang lebih menyeronokkan turut diperkenalkan.

Rekaannya kali ini nampak kemas dan agak futuristik.

Harapnya, pemodenan Google ini turut membabitkan Malaysia kerana kita agak tenggelam dalam teknologi baru diperkenalkan syarikat berkuasa tinggi itu.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 11:49am
d