itmetro

Nova 2 Plus unggul

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Sebagai syarikat pengeluar telefon pintar, Huawei tidak pernah mengalah dalam menghasilkan peranti dengan ciri dipertingkatkan agar dapat bersaing dengan jenama gergasi lain.

Terbaru, Huawei melancarkan Nova 2 Plus di pasaran Malaysia selepas melancarkannya di beberapa negara lain pada akhir Mei lalu.

Tampil dengan kamera selfie 20MP, Nova 2 Plus berupaya menghasilkan kualiti gambar terbaik yang pasti tidak akan mengecewakan penggunanya.

Kamera hadapannya juga dipertingkat dengan pencahayaan pintar bagi membolehkan pengguna berswafoto dalam keadaan kurang cahaya.

Dengan fungsi dwikamera pada 12MP dan 8MP untuk kamera belakang, Nova 2 Plus bukan saja disasarkan untuk golongan muda dan penggemar swafoto, malah untuk pencinta fotografi.

Sensor f/1.8 didatang bersama dwikameranya khas untuk penggambaran dengan sudut lebih luas dan sempurna, sekali gus berupaya menghasilkan impak yang lebih mengujakan.

Yang pastinya, penguji amat berpuas hati dengan hasil akhir kedua kamera depan dan belakang model ini.

Dengan gabungan pemprosesan Kirin 659, sistem operasi Android7.0+EMUI5.1 dan 4GB RAM, kuasa model terbaru Huawei terbabit tidak boleh disangkal lagi.

Ia mampu berfungsi dengan baik dan lancar meskipun membuka lebih daripada satu aplikasi dalam satu masa yang sama.

Storan 64GB pula boleh disokong dengan tambahan kad microSD sehingga 128GB untuk memaksimumkan kadar penyimpanan.

Berbanding skrin 5 inci pada Nova 2, model Nova 2 Plus mempunyai paparan HD penuh 5.5 inci dengan resolusi 1920x1080 piksel.

Resolusi yang tinggi di samping warna skrin sehingga 16.7 million bukan saja memberikan kepuasan dalam melihat paparan skrin, tetapi juga menawarkan kepuasan untuk tontotan video, drama serta filem.

Selain dicipta untuk memenuhi keperluan generasi muda yang meminati fotografi, Nova 2 Plus turut direka untuk memenuhi kehendak penggemar muzik.

Ia mempunyai teknologi yang digunakan Huawei dalam peranti kelas atasan seperti siri P dan Mate iaitu cip AK4376a HiFi.

Cip terbabit berfungsi untuk meminimumkan gangguan dan bunyi bising bagi memastikan muzik yang terhasil lebih tajam dan segar.

Untuk bateri pula, Nova 2 Plus dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,340mAh dengan keupayaan pengecasan pantas.

Baterinya mampu bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan biasa dan hampir 24 jam dengan penggunaan yang lebih kerap.

Dalam masa kurang dua jam, anda sudah memperoleh bateri penuh untuk digunakan sepanjang hari.

Dengan gabungan spesifikasi yang ada di dalamnya, model terbaru Huawei ini terbukti mampu menyampaikan kuasa terbaik kepada penggunanya.

Anda Nova 2 Plus kini boleh didapatkan di semua cawangan Huawei dalam tiga warna pilihan iaitu emas, biru dan hitam pada harga runcit RM1,999.

HUAWEI NOVA 2 PLUS

• PENGELUAR: Huawei

• CIRI: Telefon swafoto

• PRO: Kamera depan dan bekalang hebat, gambar berkualiti tinggi

• KONTRA: Gambar kurang memuaskan pada waktu malam

• LAMAN WEBSITE: www.huawei.com/my/

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 11:08am
d