itmetro

Helah gajet

Oleh Afiq Hanif

Cuti sekolah tiba. Pelbagai aktiviti dirancang ibu bapa bagi mengisi masa lapang anak masing-masing.

Pulang ke kampung, bercuti di dalam atau ke luar negara atau menyertai pelbagai kem yang dianjurkan pihak tertentu.

Namun, tempoh masa bersama keluarga bukan satu jangka masa yang lama berbanding jumlah cuti persekolahan selama sebulan yang diperuntukkan.

Misalnya, paling lama tempoh ibu bapa bercuti pun mungkin seminggu. Ini bermakna ada lagi tiga minggu untuk kanak-kanak atau remaja ini habiskan cuti di rumah.

Jika bukan musim cuti persekolahan, pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah, pusat tuisyen dan sebagainya. Mereka mempunyai masa terhad menggunakan gajet seper]ti telefon pintar sebelum masuk tidur awal.

Sudah pasti, lain pula ragamnya apabila tiba musim cuti persekolahan dengan sedikit kelonggaran diberikan bersama telefon pintar atau tablet.

Bagi kanak-kanak atau remaja, cuti sekolah membolehkan mereka menambah koleksi foto di laman sosial seperti Instagram atau Facebook ketika bercuti di kawasan percutian mahupun ketika keluar bersama rakan.

Pertambahan penggunaan gajet ketika musim sekolah memang dijangka namun dalam keadaan dunia tanpa sempadan sekarang, ia boleh mengakibatkan masalah sosial yang membimbangkan sekiranya tidak dikawal.

Ibu bapa keluar awal pagi seperti biasa menuju tempat kerja dan anak masing-masing yang diberikan akses kepada gajet mula menggunakannya.

Bagi ibu bapa yang berjaya mendidik awal penggunaan terhad gajet kepada anak mungkin boleh menarik nafas lega meskipun mereka seharusnya tidak terlalu yakin.

Ramai dalam kalangan ibu bapa sendiri mungkin ‘tertipu’ dengan helah anak yang pastinya menggunakan gajet secara ‘curi-curi’.

Tabiat kanak-kanak atau remaja itu sendiri apabila mahukan sesuatu pasti membuat apa saja helah bagi merealisasikanya.

Bukan sesuatu yang terlalu negatif namun sebagai ibu bapa langkah berwaspada perlu diterapkan dalam pemikiran.

Penulis baru-baru ini berjumpa rakan dan kami berborak lama sebelum bertukar laman ‘insta’ masing-masing.

Sudah menjadi kebiasaan, jika dulu bertukar nombor telefon, trend sekarang pula bertukar laman sosial.

Apabila pulang ke rumah, penulis hanya mengingati perkataan pertama saja daripada keseluruhan nama penuh yang diberikan rakan tadi.

Oleh itu, penulis menaip perkataan awal terbabit iaitu ‘gadis’ dalam ruangan cadangan di Instagram namun hasilnya amat mengejutkan.

Maka, keluar nama akaun seperti ‘gadis_******_my’, ‘gadis****’, ‘gadis18***’ dan sebagainya yang mungkin biasa, tapi hakikatnya ini yang boleh dilayari anak anda apabila mereka membuka laman sosial.

Sengaja penulis klik pada satu akaun dan klik pada gambar yang mempunyai ratusan komen.

Mungkin agak biasa bagi seorang dewasa memberikan komen kotor dalam gambar seksi gadis namun penulis terkejut apabila menjumpai komen seorang kanak-kanak yang turut menaip komen dalam satu gambar bogel.

Walaupun komen terbabit tidak berbaur lucah namun keterbukaan kanak-kanak yang mengikut perkiraan penulis melalui gambar di Instagramnya mungkin tidak mencecah umur 12 tahun.

Mereka sudah pandai menyapa wanita yang bergambar bogel di Instagram meskipun besar kemungkinan individu terbabit juga tidak menyedari gambarnya berada di akaun Instagram.

Bukan satu atau dua akaun yang memaparkan gambar seksi wanita sama ada bertudung atau tidak, tetapi puluhan ‘hashtag’ seperti ‘awekmelayu’, ‘b**bs’, ‘t***kbesar’ dan ‘bogel’ memautkan pengguna kepada gambar bogel di Instagram.

Instagram pula menjadi platform yang popular dalam kalangan remaja untuk menyimpan gambar tanpa memprivasikan foto masing-masing.

Di satu sudut pula, terdapat banyak gambar wanita yang dicuri daripada akaun individu lain sebelum mengumpulkannya di bawah satu akaun dengan gelaran seperti ‘gadis melayu’ dan banyak lagi.

Pemilik gambar itu sendiri mungkin tidak menyedari foto mereka disalah guna pihak bertanggungjawab, malah terdapat gambar yang menunjukkan ada dalam kalangan individu ini masih bersekolah.

Tidak dinafikan, ada dalam kalangan mereka yang menghantar sendiri gambar ke ‘admin’ atau pentadbir akaun Instagram yang tidak diketahui latar belakang mereka hanya disebabkan akaun terbabit mempunyai ribuan, malah ratusan ribu pengikut.

Apabila mereka berbuat demikian, secara tidak langsung mengundang pengikut ke laman Instagram masing-masing dan mengumpul pengikut yang ramai.

Di sini peranan ibu bapa perlu berkawan rapat dengan anak masing-masing bagi mengelakkan teraniaya dengan dunia digital yang meluas.

Kanak-kanak dan remaja ini tidak bersalah dan minda mereka masih belajar mengenal dunia yang memerlukan dorongan serta nasihat.

Tindakan kanak-kanak dan remaja bukan 100 peratus dibuat berdasarkan minda yang sudah dibentuk, tapi sifat keinginan melebihi segala-galanya.

Ibu bapa boleh menukar kata laluan untuk akaun Instagram atau laman sosial lain secara kerap atau tidak memberikan langsung gajet kecuali ketika berada di rumah.

Contohnya, apabila ibu bapa keluar bekerja, bawa bersama telefon anak bagi mengelakkan akses atau berkomunikasi secara kerap dengan anak.

Ibu bapa perlu tahu kandungan yang dihantar anak masing-masing ke laman sosial dan menjadi ‘follower’ mereka secara senyap.

Seharusnya, ibu bapa jangan terlalu berpegang kepada ayat ‘saya dah tua, teknologi ini mainan orang muda’ kerana di sudut lain, dunia digital lebih bahaya kepada kanak-kanak atau remaja yang sudah sebati dengan kehidupan mereka.

Jika ada yang menjumpai gambar tidak senonoh di Instagram pula, cepatlah bertindak dengan melaporkannya ke laman sosial terbabit.

Anda hanya perlu ke ruang lapor atau ‘report’ yang biasanya berada di hujung kanan atas gambar dan tekan saja sebelum ia akan membawa anda kepada ayat ‘It’s inappropriate’.

Kemudian klik pada ‘nudity or pornography’ dan klik lagi pada ikon ‘report’.

Kebiasaannya, Instagram akan bertindak pantas terhadap foto begini dan peranan orang dewasa penting bagi mengelakkannya terus berada di dunia digital.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 1:29pm
d