itmetro

Persediaan bawa nama Malaysia

Oleh Afiq Hanif

“Kalau bukan kerana Geran Cabaran Pereka Harta Intelek (IPCC), usahawan mungkin tidak tahu hala tuju perniagaan.” Itulah yang digambarkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd (DD) Sinan Ismail yang menerbitkan siri Didi & Friends.

Malah, Sinan memaklumkan keghairahan menyertai IPCC menyebabkan beliau teruja untuk turut serta menonton pembentangan program terbabit setiap kali ia dianjurkan.

“Pembentangan di depan khalayak ramai membantu usahawan teknologi maju ke depan,” katanya.

Beliau masih mengingati hari pertama ketika menyertai IPCC beberapa tahun lalu.

“Saya gemuruh tapi ia semakin baik dari satu pembentangan ke pembentangan lain hingga membangkitkan keyakinan dalam diri.

“Selepas itu, meskipun sudah menjadi alumni IPCC, saya tetap mahu turut serta melihat pembentangan orang lain,” kata Sinan.

Hasil IPCC menyaksikan Didi & Friends menjadi antara karya animasi unggul bukan saja di Malaysia tapi juga luar negara.

“Kami sudah alih suara Didi & Friends ke bahasa Sepanyol kerana terdapat permintaan untuk tontonan di negara yang bertutur bahasa terbabit,” katanya.

Lebih membanggakan, animasi bersiri Didi & Friends bakal ke layar perak pada 2020.

Didi & Friends menampilkan karakter ayam serama yang terdiri daripada tiga rakan iaitu Didi, Jojo dan Nana.

Selain itu, mereka turut mempunyai kawan lain seperti Bingo seekor kucing, Tatak (katak) dan Pak Atan (orang utan). Siri ini menerapkan lagu tradisional sebagai keutamaan apabila diberi nafas baru sesuai dengan generasi sekarang.

Memfokuskan kepada kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, DD mahu melonjakkan animasi buatan Malaysia ini ke seluruh dunia.

“Kami sudah mempunyai alih suara ke bahasa lain seperti Sepanyol dan ia mendapat sambutan menggalakkan dalam usaha membawa Didi & Friends ke luar negara.

“Sudah pasti, kami juga sasarkan negara yang mempunyai penduduk tinggi seperti Indonesia dan China,” katanya.

Sinan antara usahawan yang mendapat manfaat IPCC seterusnya menjadikannya antara peserta industri kandungan kreatif dan animasi dilihat yang terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi digital negara apabila merekodkan pertumbuhan jualan eksport sebanyak RM1.42 bilion berdasarkan prestasi inisiatif MSC Malaysia pada tahun lalu.

Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Hasnul Hadi, berkata industri animasi sendiri mencatatkan pendapatan melebihi RM200 juta dan meningkat 18 peratus antara 2013 hingga 2017.

Katanya, jumlah eksport pula menggalakkan dengan lebih RM120 juta iaitu berkembang pada kadar 37 peratus sejak 2013.

“Sehingga kini, terdapat lebih 365 studio dalam negara yang terbabit secara langsung di beberapa produksi animasi sekali gus mencipta 11,150 peluang pekerjaan di pelbagai sektor kreatif seperti animasi, permainan, media baru, VFX dan platform prasarana.

“MDEC juga komited menyediakan sumber dan mencipta peluang bagi pemain kandungan kreatif membangunkan kandungan tempatan dalam memenuhi pasaran global,” katanya kepada IT@Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, Malaysia juga berpotensi besar menjadi lokasi pelaburan yang mampu membekalkan bakat dan kandungan bertaraf dunia sekali gus menjadi hab kandungan kreatif bagi rantau lain.

Sebagai permulaan untuk Malaysia, beliau berkata, industri animasi 3D turut menjadi sumber inspirasi dalam membangunkan industri kreatif.

“Sejak animasi 2D Hikayat Sang Kancil pada 1978, Malaysia merevolusi industri animasi apabila memperkenalkan 3D Saladin: the Animated Series pada 2010.

“Pada hari ini, Malaysia menjadi rantau yang paling aktif mengeluarkan kandungan animasi termasuk Didi & Friends dan Omar & Hana (Digital Durian), BoBoiboy (Monsta Studios), Ejen Ali (Wau Animation) dan Upin Ipin (Les’ Copaque),” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 2:14pm
d