itmetro

Potensi besar

Oleh Afiq Hanif

Laman e-dagang, 11street akan memperkenalkan aplikasi baru yang lebih mesra pengguna ketika membuat pembelian selain menawarkan keupayaan pilihan pembayaran yang pelbagai.

11street memperlihatkan revolusi baru yang akan mempertingkatkan pengalaman membeli-belah pengguna dan memberikan sumbangan signifikan terhadap ekonomi digital Malaysia.

Transformasi ini susulan usaha sama strategik yang terjalin antara 11street dan PUC Ventures Sdn Bhd meneroka dunia digital secara lebih meluas melalui kesepaduan dan saling kendali merentasi platform yang memenuhi sektor e-dagang yang pesat berkembang di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 11street Cheong Chia Chou berkata dunia digital semakin berkembang dalam kehidupan seharian, terdapat keperluan untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang kukuh.

“Seterusnya membolehkan integrasi penuh perjalanan fizikal digital pelanggan sehingga perniagaan dipaksa untuk mengikuti ombak perkembangan pesat industri ini untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih besar bagi mencapai keuntungan dan kehadiran di pasaran.

“Pasaran online di Malaysia tentunya dijangka berkembang pada kadar yang pantas dalam tahun-tahun akan datang dan penampilan baru 11street mengulangi komitmen kami untuk terus menyumbang terhadap segmen digital,” katanya.

Ekonomi digital Malaysia menyaksikan pertumbuhan eksponen dengan sejumlah 25 juta pengguna Internet pada jumlah penduduk seramai 32 juta orang.

Pada masa ini terdapat 15.2 juta pembeli-belah online di Malaysia yang membelanjakan purata seorang RM321.15 setiap tahun.

Sungguhpun demikian, kadar penebusan pengguna yang membeli-belah online dijangka meningkat kepada 51.4 peratus pada 2018 dan seterusnya kepada 63 peratus menjelang 2022.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 1:23pm
d