itmetro

Ala kapal angkasa moden

Oleh Afiq Hanif

Jantung kepada sambungan Internet tanpa wayar tentunya terletak kepada peranti yang membolehkan pengguna mencapai gelombang untuk menerima jalur lebar dalam kawasan setempat seperti di rumah atau kafe tertentu.

IT@Metro bernasib baik kerana dapat menguji produk router daripada D-link iaitu model D-Link AC2600 EXO MU-MIMO Dual Band Gigabit.

Mungkin kebanyakan pengguna akan tertanya-tanya fungsi penggunaan model sebegini dalam kehidupan seharian kerana ada yang kurang arif dalam bidang teknologi.

Ia digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian dan subrangkaian tanpa wayar memandangkan kebanyakan pengguna memiliki lebih daripada satu komputer peribadi (PC) di rumah.

Jangan panik atau gusar apabila anda membeli produk ini kerana berpendapat pengetahuan teknologi maklumat (IT) anda sangat terhad kerana ia mudah dipasang sendiri.

Penguji agak tidak percaya pada awalnya apabila memegang produk ini kerana ia nampak macam terlalu besar dalam gambar tapi hakikatnya, saiz yang berpadanan.

Warna hitam dengan reka bentuk ala kapal angkasa moden ini tentunya menarik yang mampu menghilangkan rasa bosan seperti kebanyakan reka bentuk router lain di pasaran.

Terdapat empat antena yang meluaskan rangkaian WiFi dalam rumah sama ada satu tingkat, dua tingkat, malah tiga tingkat, capaiannya masih meluas.

Sudah pasti, penguji memasangnya untuk dipadankan bersama unifi menggantikan router biasa yang ditawarkan.

Hasilnya, prestasi lebih laju diperoleh dengan WiFi yang agak ‘ultimate’.

Baik, bacaan Speedtest masih sama, tapi kadar kelajuannya lebih signifikan dengan penukaran router ini berbanding router lama.

D-Link AC2600 EXO MU-MIMO Dual Band Gigabit mampu memberikan kelajuan sehingga 800Mbps pada 2.4GHz dan 5GHz jadi cukup sebenarnya dengan pakej Internet yang ada untuk memberikan impak kepada pelbagai tugas.

Bermakna, anda boleh strim atau bermain game dengan kadar ping yang sangat rendah.

Terdapat dua port USB format 2.0 da 3.0 untuk menyambungkannya kepada pemacu storan bagi perkongsian data dan sebagainya.

Adakah ia mesra semua telekomunikasi? Mengikut pengeluar, jika anda UniFi, HyppTV, Maxis Fiber Internet atau Time Fiber, tiada masalah langsung.

Produk ini sangat sesuai digunakan walaupun ia bukan peranti yang kerap diinginkan pelanggan dan mudah digunakan walaupun anda tidak berpengetahuan dalam IT.

Kelajuan Internet anda akan lebih baik dan mudah pasang namun banyak juga tunjuk ajar melalui YouTube bagi produk ini .

D-LINK AC2600 EXO MU-MIMO DUAL BAND GIGABIT

• PENGELUAR: D-Link

• CIRI: Router WiFi

• PRO: Kompak

• KONTRA: Perlu dipakejkan bersama syarikat telekomunikasi

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 2:51pm
d