itmetro

Masih ramai beratur nak beli iPhone baru

Oleh Afiq Hanif

TIGA iPhone baru model XS, XS Max dan XR mula dijual hari ini dengan empat syarikat telekomunikasi utama.

Celcom Axiata Berhad (Celcom), Maxis Berhad (Maxis), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan U Mobile Sdn Bhd ( U Mobile) membuka kaunter kepada orang ramai mendapatkannya, hari ini.

Kesemua empat telekomunikasi terbabit membuka pra minat dan tempahan hampir sebulan awal dan menerima sambutan baik di kalangan pengguna meskipun harga iPhone kali ini lebih mahal.

Tinjauan Harian Metro mendapati kekal dengan teknik pemasaran uniknya, masih ramai pengguna beratur di depan pintu meskipun jumlahnya kemungkinan kurang berbanding iPhone terdahulu.

Pembeli, Mustafa Ibrahim, 48, datang bersama keluarga bagi mendapatkan dua unit iPhone.

“Kami sekeluarga memang memakai iPhone cuma kali ini, hanya isteri dan anak sulung saja yang menukarnya.

“Saya tidak beratur lama kerana sudah membuat tempahan terlebih dulu jadi lebih mudah, tinggal ambil saja,” katanya.

Di pusat beli belah Sunway Pyramid, kaunter Celcom Blue Cube tetap meriah meskipun hujan lebat bermula jam 3 petang tadi.

Seorang eksekutif jualan yang enggan dikenali memaklumkan, konsep beratur masih kekal dan ada yang datang seawal jam 6 pagi.

“Semua unit habis untuk pra tempahan atau pembelian biasa dengan model XR antara yang mencuri tumpuan pembeli,” katanya.

Difahamkan, kaunter jualan keempat syarikat telekomunikasi dengan promosi menarik kekal hingga Ahad ini.

iPhone berubah dengan pengenalan skrin penuh tanpa butang tunggal bagi ketiga-tiga modelnya.

Harga ditawarkan iPhone XS termasuk RM4,999 (64GB), RM5,699 (256GB) dan RM6,649 (512GB).

Sementara itu, iPhone XS Max pula berharga RM5,399 (64GB), RM6,099 (256GB) dan RM7,049 (512GB).

Harga iPhone XR akan dijual pada harga RM3,599 (64GB), RM3,849 (128GB) dan RM4,299 (256GB).

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 5:56pm
d