itmetro

PC lama lagi bahaya

Oleh Afiq Hanif

KAJIAN yang dilakukan Microsoft dan Intel melalui agensi penyelidik Techaisle menunjukkan kos penyelenggaraan PC berusia lebih empat tahun sebenarnya boleh digunakan untuk membeli sekurang-kurangnya dua PC moden baru.

Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih menggunakan sistem operasi Windows 7 dalam organisasi perlu berusaha membuat peralihan sebelum sokongan kepada OS terbabit berakhir pada Januari 2020.

Techaisle meninjau lebih 2,156 organisasi PKS di seluruh Asia Pasifik mendapati kos penyimpanan PC lebih daripada empat tahun adalah AS$2,736 (kira-kira RM11,218) untuk setiap peranti yang cukup untuk menggantikan perkakasan dengan dua atau lebih PC baru.

Kajian itu juga mendedahkan PC yang berusia lebih daripada empat tahun juga 2.7 kali lebih berpotensi untuk ‘masuk kedai’ bagi pembaikan, mengakibatkan kehilangan produktiviti.

Lebih 85 peratus PKS yang mempunyai organisasi besar dengan lebih 500 pekerja mempunyai PC melebihi empat tahun berbanding 60 peratus PKS yang lebih kecil menggunakan kurang daripada 100 pekerja.

Ia sekali gus menunjukkan penggunaan meluas peranti lama dalam kalangan PKS di rantau ini.

“PC adalah enjin yang produktif untuk kebanyakan PKS di rantau ini apabila organisasi sangat bergantung kepadanya, peranti untuk tugas seharian mereka.

Bagaimanapun, lebih tujuh dalam 10 PKS yang dikaji mempunyai PC yang melebihi empat tahun yang ketara dalam meningkatkan kos penyelenggaraan,” kata Naib Presiden, Jualan Pengguna dan Peranti Microsoft Asia Bradley Hopkinson.

“Dengan kekangan bajet yang menjadi cabaran IT nombor satu dalam kalangan PKS hari ini, pemimpin perniagaan perlu berusaha mengadaptasi strategi pemodenan peranti supaya mereka dapat mengekalkan kos sambil melindungi organisasi mereka daripada risiko digital yang lebih baru,” katanya.

Peningkatan keselamatan dan kebolehpercayaan dengan peranti moden antara isu utama perniagaan hari ini.

Kajian baru mendedahkan pada tahun lalu saja, lebih 67 peratus PKS mungkin mengalami isu keselamatan dan kecurian data dengan hanya 15 peratus daripada mereka melaporkan serangan ini.

“Dengan PC moden yang dikuasakan oleh Windows 10, PKS seharusnya yakin mengenai kemas kini keselamatan terkini, dikuasakan oleh kecerdasan pintar perkomputeran ‘cloud’ yang secara proaktif melindungi perniagaan mereka,” kata Hopkinson.

Katanya, mengurangkan potensi risiko siber dengan PC moden membolehkan PKS memperbaiki produktiviti dan mengelakkan ‘downtime’ mereka.

Menangani keutamaan perniagaan dengan pendekatan peranti moden antara yang memerlukan perhatian PKS di negara ini.

“PKS menguasai 98 peratus perusahaan di rantau Asia Pasifik dan menggaji setengah tenaga kerja di Malaysia.

“Namun ramai di antara mereka masih mempunyai PC berusia lebih empat tahun yang kami percaya dengan memindahkan mereka untuk PC moden yang dikuasakan oleh pemprosesan Intel Core membolehkan mereka membuka kunci produktiviti yang lebih besar untuk perniagaan sambil mengurangkan masa pengurusan IT dan kos,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Jualan dan Pemasaran, Wilayah Asia Pasifik Jepun Intel, Santhosh Viswanathan.

Responden dalam kajian mengenal pasti keutamaan perniagaan mereka sebagai peningkatan keuntungan, pertumbuhan perniagaan dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.

Kajian ini menekankan PKS melihat IT sebagai tindak balas untuk menangani isu perniagaan mereka.

Keutamaan IT teratas termasuk melabur dalam PC, penyelesaian ‘cloud’ dan penyelesaian keselamatan.

“Kami mendapati halangan utama dalam memindahkan ke peranti yang lebih baru adalah kebimbangan terhadap aplikasi lama tidak dapat bekerja pada sistem operasi yang lebih baru bersama dengan kekurangan belanjawan,” katanya.

Bagaimanapun, faedah mengamalkan strategi peranti moden melebihi kebimbangan. Seringkali pemilik PKS memberi tumpuan kepada kos jangka pendek berbanding jangka panjang.

PKS perlu menilai semula keputusan mereka dengan melihat kos yang tinggi mengekalkan PC lama yang mempunyai kesan kumulatif yang lebih besar pada belanjawan daripada membeli PC baru dengan teknologi terkini.

“PKS di rantau ini perlu mempertimbangkan secara serius membuat perubahan kepada PC yang lebih baru di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Techaisle, Anurag Agrawal.

PKS mempunyai peluang untuk meningkatkan operasi keseluruhan mereka dengan peranti moden.

Dengan kemas kini Windows10 yang akan datang, pengguna boleh meningkatkan produktiviti mereka untuk membantu membuat sebahagian besar masa mereka di kerja dan rumah.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 6:30am
d