itmetro

Mengekang manipulasi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEMAJUAN teknologi sepanjang sedekad lalu sememangnya perkara yang boleh dibanggakan terutama dalam teknologi menerusi platform telefon pintar.

Telefon yang menemani pengguna kini bukan lagi peranti biasa malah ia boleh diklasifikasikan sebagai ‘komputer kecil’ terutama kepada golongan profesional.

Jika beberapa dekad lalu, telefon bimbit hanya dilengkapi nombor telefon kenalan dan peranti untuk berbalas mesej, bagaimanapun keadaan sudah berubah apabila ia umpama diari peribadi penggunanya.

Daripada data transaksi perbankan Internet, maklumat peribadi individu dan keluarga hingga maklumat sulit seperti kod rahsia kredit kad, semuanya tersimpan dalam gajet penting ini. Tanpa disedari, keadaan itu sememangnya mengundang pelbagai risiko.

Kemajuan teknologi ini antara bukti pencapaian manusia namun ia turut membuka ruang lain kepada teknologi berkenaan dimanipulasi.

Kumpulan Penyelidikan Telenor iaitu syarikat telekomunikasi terkemuka berpangkalan di Norway menggariskan tujuh aspek utama yang wajar diberi perhatian pengguna terutama membabitkan trend kepenggunaan teknologi sepanjang tahun ini.

Sebanyak tujuh aspek itu digariskan sesuai dengan perkembangan teknologi dan antara perkara yang diberi perhatian adalah pemalsuan identiti menerusi pengecaman biometrik.

Naib Presiden Penyelidikan Telenor, Bjorn Hansen berkata, kumpulan penyelidiknya memberi penekanan kepada aspek ini yang lebih dikenali dengan nama ‘Deepfake.’

“Ia berbentuk topeng, peneduh dan penyaring yang menjadi kegilaan ramai terutama membabitkan aplikasi di media sosial, mesej serta pengecaman kekunci biometrik untuk telefon pintar.

“Pemalsuan imej biometrik ini bukan lagi misi mustahil di alam siber kerana ia sudah menjadi suatu kenyataan hasil daripada ‘Deepfake’ iaitu satu pengecaman yang tidak benar.

“Sepanjang tahun ini, pastinya membawa lebih banyak kandungan pemalsuan kerana terdapat usaha yang akan dilaburkan oleh pemain utama untuk meningkatkan algoritma keselamatan termasuk sekatan biometrik.

“Usaha memperkemaskan algoritma keselamatan yang dipanggil rangkaian berlawanan generatif (GAN) adalah usaha untuk menyekat sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi kaedah keselamatan berkenaan,” katanya dalam satu taklimat di Ibu Pejabat DIGI Telecommunications Sdn Bhd di Subang, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, algoritma ini membolehkan penghasilan kandungan ‘Deepfake’ mengakibatkan kesukaran untuk membandingkan antara tulen atau palsu dalam dunia digital.

Selain itu, katanya, aspek yang perlu dilihat adalah kesedaran pengguna untuk mengawasi tempoh anak mereka melihat skrin paparan dan kemungkinan lebih ramai pengguna akan kembali kepada teknologi telefon boleh lipat.

“Ini antara persoalan yang sering diperdebatkan apabila orang awam terutama ibu bapa sudah mula menyatakan kerisauan berhubung bahaya anak mereka melihat skrin paparan dalam tempoh yang lama.

“Berdasarkan trend digital menunjukkan semakin ramai pengguna mula menggunakan aplikasi penjejakan masa skrin dan mod waktu malam supaya pendedahan cahaya skrin dapat diminimumkan.

“Oleh itu, wujud kemungkinan ibu bapa akan memilih telefon boleh lipat supaya tempoh pendedahan cahaya skrin dapat dikurangkan terutamanya membabitkan kanak-kanak,” katanya.

Bjorn berkata, segmen berikutnya yang akan berkembang pesat adalah teknologi hijau kerana orang ramai sudah melihat perlunya beralih kepada suatu peranti lebih mesra alam.

“Ia juga sejajar dengan Laporan Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan perubahan iklim yang berlaku lewat 2018 dan bermula daripada itu, kebanyakan pihak mengambil inisiatif untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar.

“Ketika kedua-dua kebimbangan terhadap perubahan iklim dan kesedaran penggunaan meningkat dengan mendadak dalam kalangan masyarakat, gelombang teknologi hijau berpandukan peranti akan membantu orang ramai hidup dan mengguna dengan lebih bijak,” katanya.

Segmen lain yang diberikan perhatian adalah penyertaan bot perbualan untuk peralatan pengguna, revolusi perindustrian 2.0, kemunculan teknologi kelajuan 5G dan kebanyakan pemain industri memberi fokus kepada kecerdasan buatan (AI).

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 1:10pm
d